Saturday, April 30, 2011

8:00 am



Alhamdulillah, aku sampai di rumah dalam jam 7.50am dengan menaiki bas dari perhentian bas Batu Pahat. Suasana sepi sahaja sepanjang perjalanan di Batu Pahat. Seolah ada sesuatu yang pelik berlaku di bumi Johor. InshaAllah, aku hadir kembali di sini untuk menjaga bumi Johor. Andai Allah izinkan, ingin aku sebarkan cara hidup Islam dan keagungannya di sini sepertimana bumi serambi Mekah. Sepertimana wasiat Sultan Johor terhadap rakyatnya agar menjaga agama,dengan menyediakan sekolah agama,seperti itu juga aku akan meneruskan titah perintahnya walaupun sudah berkurun lamanya wasiat itu. Sedangkan aku hanya rakyat biasa di sini. Diperli bila berpolitik, dicerca bila melontar suara,dibuang bila memberi. Percayalah, roda kehidupan tetap berpusing pada paksinya! Jangan engkau merasa senang, kerana suatu masa roda itu akan terhenti di tempat yang engkau tidak ingin jejaki.


Aku disambut pagi ini dengan suatu kejutan yang pelik, tiba-tiba ayah aku menyuruh aku membaca akhbar di atas televisyen, untuk apa?

Aku baca sekali lalu. Malasnya nak baca dengan detail. Tapi , aku baca dan baca.... apa kaitannya. Ada perkataan "Su#@&**"  yang melambangkan kombinasi dua nama. Nama tersebut tertulis pada rantai mangsa bunuh dan bakar di Johor. Aku makin keliru.

Akhirnya, ayah aku memberitahu dan disambung dengan ibuku yang sudah sedih menerima berita tersebut mengatakan insan sepermainan aku sejak kecil yang aku anggap dia sebagai Kakak aku telah menjadi mangsa tersebut  20 hari lalu sehari selepas hari kelahiran aku.  Aku dirahsiakan dengan berita ini. Kerana ketika itu aku sedang menduduki exam final. Namun, terlintas di hati aku, andai berita buruk datang menempa aku ketika aku exam final ini, adakah mampu aku harunginya? Ternyata berita itu mampu dirahsiakan daripada aku oleh kedua ibu bapaku.Mungkin mereka risau ia bakal mengganggu aku. Allahuakhbar. Namun, berita ini masih dalam siasatan.

Bermula saat ini, aku bertafakur balik akan kelemahan diri, bagaimana aku boleh tidak mempercayai insan yang aku kenal sejak kecil dan sudah memahami sifat murninya? Bagaimana aku boleh memberi kepercayaan kepada orang yang tidak pernah memahami Kakak aku dan kami semua?  Bagaimana aku hilang akal dan kewarasan dalam mengadili sesuatu.  Cukuplah pengajaran hari ini agar aku lebih berhati-hati. Inilah peringatan daripada Allah agar kita lebih adil dalam kehidupan. Berhati-hati dengan orang 'munafik' atau 'drama king'!

Insan sepermainan yang sanggup membeli apa sahaja yang aku minta jika dia mampu, insan yang sanggup bersusah payah berpanas dan berhujan mengharungi liku kehidupannya. Insan yang penuh motivasi dalam membantu keluarganya yang seolah mengganggap dia sebagai 'kuli' dalam keluarga. Inilah realiti dalam hidupnya. Simpati dan empati aku dalam setiap genap kehidupannya kerana kami selalu bertemu dan berkongsi cerita bersama dua saudara yang lain untuk melepaskan tekanan. Jalan kisah percintaan dia juga dikongsi dan dia juga meminta pandangan aku. Sehingga saat dia melarikan diri dari rumah, hanya aku sahaja mampu mengesan di mana dia dan bagaimana keadaannya. Akhirnya, kami terpisah kerana dia sudah berkahwin dan hubungan persaudaraan kami semakin berjauhan. Mungkin kerana masalah dalam keluarganya. Akhirnya, satu per satu ujian muncul menggasak masalah yang sedia ada menjadi semakin serius. Aku mendiamkan diri kerana aku semakin sakit bertemu dengannya yang semakin angkuh dengan hidupnya. Entah mengapa sikapnya berubah. Aku tidak faham . Diam aku menandakan betapa aku sedang marah atau aku tidak mahu menerima kehadiran seseorang ketika itu.

Cerita itu sudah berlalu. Hari ini ternyata aku berada di penghujung sebuah novel kehidupan seorang insan yang aku kenali bahawa dia sudah pergi dan menemui Ilahi. Ya, ketika ibu bapa aku memberitahu berita itu, aku tiada respon yang berlebihan kerana aku menganggap mati itu perkara wajib dan sesiapa boleh mati. Namun, sejenak aku menaip kisah itu di blog ini, aku terasa suatu kehilangan insan yang amat berjasa, insan yang telah banyak memberi motivasi dalam hidup aku yang menjadi penggerak kejayaan aku. Setiap kali aku balik kampung, dia akan sentiasa mengucapkan tahniah atas kejayaan exam aku! Dia insan yang percayakan aku mampu lakukan sedangkan aku sendiri tidak memiliki sifat percaya pada diri. Sehinggalah hari ini,aku sudah  mampu membina sifat itu. Dalam masa yang sama, dia pula semakin jauh dan hari ini dia telah pergi.

Bertambah kisah kehilangan insan yang banyak berjasa dan pemberi motivasi padaku. Jika tahun lepas dalam kitaran masa sebegini juga aku kehilangan seseorang yang aku hormati. Hari ini,sekali lagi. Kau pergi.

Pemergian engkau pasti tidak sia-sia,kerana hasil tunjuk ajar,motivasi dan pengorbanan kau telah banyak membuatkan orang lain senang. Semoga Allah merahmati engkau dan memaafkan segala kesilapan engkau. Setiap yang hidup pasti kembali pada Allah.

Friday, April 29, 2011

Masa Berlalu



Jumaat, 29 April 2011, hari yang penuh barakah. Terasa aku keseorangan bila rakan-rakan semua pergi melancong dan ada yang bersiar-siar di bandar Kota Bharu. Alhamdulillah,mereka memanfaatkan masa terluang. Bukan aku tidak mahu pergi seperti mereka, tapi aku percaya tak semua yang kita mahu kita akan dapat.  Hari ini, 'bura' aku nak rehat. Kawan baik aku 'raqib dan atid' pun nak minta cuti. Maka, aku duduklah dalam bilik diam-diam sambil mengemas bilik(dari tadi tak start mengemas pun).

Terasa kesunyian duduk di bilik sendirian merancang ingin berkemas dan bersiap untuk balik. Malah terasa sedih teramat sangat melepaskan bumi Kelantan dan USM kampus kesihatan yang telah mengajar aku erti seorang hamba ALLAH. Ya Allah, hebatnya pengajaran engkau berikan padaku. Terima kasih Ya Allah atas kurniaan dan rahmatMU.

Di sini terasa sesuatu yang aku rasa aku tidak dapat di tempat lain.

Betapa ketika aku berumur  11-12 tahun, seorang ustaz dari Kelantan datang mengajar kami  subjek agama Islam dengan dialek Kelantan. Kami pun blur nak faham dia kecek. Tapi akhirnya kami pun boleh faham. Hahaaha. Masa inilah aku baru kenal ada 'alien' masuk ke bumi aku. Huhu.. Betapa aku tak dapat bayangkan Kelantan itu sebuah tempat yang bagaimana. Aku cuma bayangkan, suatu hari aku akan datang ke Kelantan untuk berada di sini melihat apa itu Kelantan. Inilah azam aku setiap kali melihat ustaz lalu di hadapan kami (aku bersama kembar aku) sementara menanti ibu bapa kami ambil dari sekolah.


Takdir Allah itu pasti, ternyata doa sekecil itu dimakbulkan dengan begitu indah. 2 minggu selepas result matrikulasi keluar, aku pergi melancong ke Pulau Tioman atas tajaan pak cik aku sepenuhnya dan aku seolah jadi pengikut atau penambah ahli dalam rombongan ahli keluarganya.  Katanya, ini adalah hadiah SPM kamu yang cemerlang. Aku angguk dan senyum. Betapa aku merasa begitu takut dan risau akan keputusan aku dalam SPM lalu akan memberi tekanan buat anak-anak mereka sehingga akhirnya merenggangkan hubungan kami antara sepupu. Realiti ternyata menjadi benar satu per satu. Setiap mereka yang melepasi SPM sudah berubah menjadi pendiam, mungkin aku perlu husnuzan, namun, realiti tetap realiti tiada siapa mampu menafikanya. InshaAllah, pasti ada jalan.

Sejurus tamat percutian di Pulau Tioman, kami ke Kuantan dan terus ke Kelantan untuk membeli belah. Bukan akulah yang mahu beraya sakan, tapi pakcik dan mak cik aku. Mereka memang suka melancong membawa keluarga. Best! Sampai di Kelantan buat pertama kalinya dalam hidup aku!! aku teruja dan teringat Ustaz yang bernama Rasimi. Namanya pelik, tapi dialah ustaz kami masa sekolah rendah. Di mana dia dan bagaimana keadaan dia, aku pun tidak tahu. Semoga Allah merahmati dia.

Kelantan bumi PAS dan Tok Guru yang paling aku tidak suka ketika itu. Aku masih berpegang bahawa PAS perosak perpaduan rakyat. UMNOlah yang paling baik ibarat malaikat! Masa ini aku masih tidak dapat bezakan malaikat mana yang baik dan jahat. Manakan mungkin malaikat baik mengutuk malaikat yang jahat! Namun, melihat keadaan Kelantan ketika itu, aku terasa amat panas dan kurang selesa. Cuacanya berbeza.Namun, bila melihat sawah padi dan pantai yang indah, aku terpikat untuk datang. Allahuakhbar. Cantiknya. Akan tetapi ada orang kata, Kelantan ini sama je tarafnya dengan Batu Pahat. Bagi aku, ia terlalu berbeza. Kelantan terutamanya Kota Bharu adalah sebuah tempat yang berpendirian dan pendiriannya jelas iaitu ISLAM. Hidup dengan Islam. Itulah yang menambat hati aku.

Selesai di sini buat 2 hari, kami bertolak balik. Aku balik menaiki bas dari Kelantan seorang diri ke Batu Pahat.Manakala, pak cik aku balik ke Kedah. Dia cuba mengajak aku ke Kedah, tapi aku menolak kerana mahu bekerja. Hebat betul aku ketika itu kerana tidak merasa takut atau seram. huhu biasanya aku ini seorang yang takut menaiki bas seorang diri untuk perjalanan yang jauh. Mungkin kerana penat, aku tertidur dalam bas dengan amannya.

Seminggu kemudian, ketika aku bekerja, dapatlah surat yang mengatakan aku dapat melanjutkan pelajaran di USM. Yeah!! I like USM for unknown reason!  Aku memang pelik kerana menyukai sesuatu tanpa ada sebab nyata. Aduhai. Mungkin USM adalah U pertama aku pernah dengar dalam hidup aku. Hahaha.. Kalulah U pertama aku pernah dengar adalah U di Mesir,Alexanderia ke? mesti aku dapat kat sana. Hihi..

Aku berhenti kerja dan pulang ke  kampung halaman, membelek surat dan melihat alamatnya di Kelantan? Hah? Kelantan lagi? Aku tersenyum. Ingatkan USM Penang!

Aku tersenyum kerana lawatan aku seminggu lalu adalah lawatan perkenalan dan persahabatan dengan bumi Kelantan. Inilah pengalaman yang membuat aku tidak lupa akan Kelantan yang sungguh misteri dalam hidup ini. Menghantui dalam kebenaran . Membawa seribu makna dalam hati-hati yang ingin mencari ketenangan.

Bermula hidup di Kelantan, tidaklah merisaukan aku, kerana aku sudah bersedia untuk hidup di dunia universiti yang aku latih sejak masuk Matrikulasi Johor. Tambahan pula pak cik aku ada di Bachok,lagilah tenang hidup aku. Sahabat baik aku pula di Maktab Pengkalan Chepa ketika itu. Lagilah seronok aku hidup di sini. Lagipun, andai homesick, beli tiket hujung minggu dan balik. Macam balik rumah naik bas dari sekolah ke rumah. Hmmmm. Jadi aku memang tidak tergugat sangat dengan keadaan. Alhamdulillah.


Tahun satu....

Tahun dua dan tiga...

Tahun empat dan lima...

Hari ini, tamat. 24 April 2011, tamat sudah exam terakhir kami. 28 April, result keluar. Aku lulus. Begitulah kesudahan 5 tahun di sini. Sekejap. Seolah berlalu dengan begitu pantas. Jika setahun lalu ternyata, kami terasa takut dan risau akan apalah nasib kami di exam final nanti. Ia berlalu. Kami lulus. Alhamdulillah. Walaupun ada sahabat yang terpaksa melanjutkan pengajian 6 bulan lagi, akan tetapi ia bukanlah perbezaan yang amat ketara. Aku yakin mereka mampu lakukan!  Mereka sahabat yang rajin,hebat dan mampu menjadi insan yang baik.

Pagi ini, aku coretkan perjalanan yang diringkaskan tentang sejarah lalu...
Melihat matahari yang sama setiap hari... akan tetapi pokok yang di sebelah ini semakin besar, ada yang mati ada pula yang tumbuh baru. Begitu juga kulit yang anjal menjadi berkedut. Muka yang comel kini semakin matang, rambut yang hitam menjadi kelabu... Saat masa berlalu. Di persimpangan kita bergerak memilih arah tuju. Mencapai dan menuju destinasi tersendiri . Hari ini kita bersama. Hari ini kita bersepakat... masa depan.. belum tentu kita akan bertemu  lagi.. mungkin dua dunia memisahkan kita, tiada siapa mengetahui.

Pesanan Buat Kami


Alhamdulillah, selesai pengumuman keputusan akhir exam kami, terasa bagaikan mimpi kerana tidak menduga bahawa kami sempat menghabiskan masa selama 5 tahun. Seterusnya menjadi orang Kelantan selama 5 tahun juga walaupun tak diiktiraf orang di sini kerana Kelantan celup. hihhihi. Hakikatnya, kami orang luar terpaksa bekerja keras memahami dialek Kelantan,cara makan, cara atau adat mereka serta sikap dan layanan mereka. InshaAllah, segalanya OK tiada yang merumitkan.

Selepas sahaja makan dan solat Zohor, kerana pengumuman diumumkan pada pukul 12:20pm dan tamat dalam pukul 12. 40pm, kami masih mengucapkan tahniah dan dalam masa yang sama terasa juga atas sahabat baik yang tidak disebut namanya ketika pengumuman disampaikan. Ini bermakna mereka terpaksa menyambung 6 bulan lagi. Aku perhatikan mereka sungguh kuat dan tabah. Dalam ketabahan mereka, tak semua mampu menyimpan air matanya yang bertakung penuh. Apakan daya, meluahkan sedikit perasaan sedih itu lebih baik dan menenangkan berbanding menyimpannya. Bukan meminta simpati tetapi sebagai suatu perasaan untuk dikongsi tanda persahabatn yang terpahat sejak 5 tahun. InshaAllah, wahai sahabatku, aku juga pernah mengalami saat kegagalan dan ia amat pedih dan amat payah. Percayalah, Allah pasti membantu kita!

Pesanan sebelum exam yang aku pegang, "Jagalah Allah, pasti Allah menjaga kita. Berhati-hatilah diri dalam mencapai kejayaan,mengapa? mungkin ada yang mengatakan aku tidak payah susah-susah ke masjid pun aku boleh berjaya, aku tinggal solat pun aku boleh berjaya. Masa hampir dekat exam nanti baru aku banyakkan ibadah agar aku beroleh kejayaan. Allah Maha mengetahui,Allah Maha adil, Allah Maha bijaksana. Buatlah apa yang kamu suka di muka dunia ini kerana hari yang paling utama adalah selepas ini. Inilah peringatan buat aku ketika aku masuk alam universiti. Peringatan daripada banyak pihak yang aku simpulkan menjadi ringkas dan padat.Kita mamp menipu diri atau orang lain, tetapi Allah Maha Mengetahui!"

Seorang pensyarah O&G, Prof N Z, kami jumpa ketika dalam perjalanan ke hospital. Dia berpesan " hmmm Jagalah nama baik USM, jadilah seorang yang baik dengan pesakit, ikhlas, jangan sesekali melampaui batas. Bertanya jika tidak tahu. Teruskan belajar dan mengajar. Jangan merosakkan nama baik USM dengan perangai kamu. "

Kemudian kami menuju ke Jabatan Orthopaedic,O&G, Paediatric, Medical dan Surgery. Jumpalah beberapa pensyarah. Hmm Tapi yang paling penting, diharap dapat bertemu dengan mereka lagi di Malam Graduasi.Ahad ini. InshaAllah. :)

Banyak pesanan daripada mereka. Terutama Dr perempuan yang sememagnya memiliki bakat memberi nasihat kepada anak-anak.

Prof N drpd O&G " Jadikanlah kegagalan suatu cabaran untuk kita kenali kelemahan dan berusaha membaiki kelemahan. Usahlah bersedih dan berfikiran negatif. Jika fikiran kita asyik memikirkan yang negatif, kita sendiri susah hendak maju. Percayalah. Allah meletakkan kita di tempat atau di situasi tertentu agar kita belajar sesuatu. Janganlah terasa sangat bila kita merasa kegagalan kerana lebih baik kita gagal sekarang daripada kita membuat kesilapan besar masa kerja nanti. Bukan kerana kita tak pandai, tetapi ini takdir Allah buat kita. Dia pasti mengetahui yang terbaik buat kita. " Nasihat beliau selaku pensyarah yang memang terkenal garang dan suka mara-marah kepada pelajar. Dia berkata demikian kerana mengenang kembali kami yang menduduki Remedial Posting O&G semasa tahun 4 kerana gagal dalam posting tersebut. Huh... seksa aku ketika itu. Namun, yang pasti. Aku memang plan terpaksa failedkan diri kerana tak cukup budget nak buat elektif. Alhamdulillah, Allah beri failed sebelum aku merancang. Apa yang pasti, failed tersebut memang terkesan! Membuka kelemahan diri dan menyedarkan aku betapa bodohnya diri ini. Malah, dapat bonus lagi, Failed posting Orthopaedic. Huh.. Dengan mudah je aku failed. Hanya present summary dan ditanya satu doa soalan yang aku tak pernah diajar dengan betul cara menjawab. Maka dengan menggunaka segala teknik, aku tewas. Yap,lengkaplah 2 posting untuk remedial! Sangat seksa dan berat!

Seterusnya Pensyarah Paediatric, my favourite place. Dr R dan Dr S. Nasihat mereka memang power dan cool. " Kamu mesti tunjukkan akhlak yang baik bermula posting pertama sehinggalah habis kalau boleh. Jika tidak, kamu akan dilabel sebagai pemalas atau bermasalah sampai mati. Kamu mesti lebih baik dariapada yang lain. Kalau mereka kawan-kawan sekerja kamu datang lewat atau tak buat kerja, janganlah kamu ikut. Kamu mesti ada pendirian."

Malah dalam masa  itu juga, datang seorang doktor yang aku kagumi selepas Prof NZ,ketua fasa kami, Dr A, " hmmm kopiah? hmm tak payah pakai pun tak apa kopiah masa kerja. Yang penting dalam hati. Bukan apa. Imej kamu membawa kopiah amat besar. kamu kena tunjuk akhlak yang lebih baik daripada orang yang tak pakai kopiah. Jika tidak kamu akan merosakkannya. Orang yang pakai kopiah mesti lebih pandai dan hebat!" Ketika ini, aku diam sambil memikirkan bahawa aku dulu pun seorang pemakai kopiah. Sejak aku kehilangan kopiah ketika pulang ke kampus untuk mendaftar Tahun 4, terus aku tidak berkopiah. Kerana ada sesuatu mesej daripada kehilangan kopiah tersebut. Mengapa? Kerana cara kopiah itu hilang pun sudah membuat aku tertanya-tanya, bagaimana kopiah aku boleh hilang dalam sekelip mata, sedangkan aku memegang erat kopiah itu sambil menunggu bas. Akhirnya, ketika aku duduk dan melihat tangan kanan aku yang sepatutnya memegang kopiah, tetapi apa yang aku pegang hanya genggaman jari jemari sahaja. Kopiah? entah kemana. Aku toleh kanan kiti, bawah depan dan belakang. Tidak jumpa. Aku nekad. Ini bermakna, aku kena simpan kopiah tetapi bersikap seorang yang lebih baik daripada itu. Aku faham,tahun 4 dan 5 adalah tahun yang memaksa aku bertemu masyarakat dan pensyarah dengan lebih kerap. Maka, ramai yang akan menekan imej berkopiah. Ia realiti.

Alhamdulillah, jam 5 pm, aku pulang ke bilik dengan penuh kepenatan. Allahuakhbar, memang dapat merasakan inilah hari paling gembira sejak 5 tahun belajar. Alhamdulillah. :)

Sunday, April 24, 2011

Ulasan buku : TDK1000M (Belum baca lagi)


Karya seorang musafir di bumi anbiya' untuk semua.
blog : Buku Travelog

 
Komen :

Buku travelog tersebut belum lagi saya baca dan perincikan, namun atas kehendak diri untuk memahami kisah perjalanan insan lain, saya memutuskan untuk turut memiliki buku tersebut kerana yang membuatkan sesuatu bernilai atau tidak adalah diri sendiri. Kisah perjalanan di atas hanyalah sebuah pengalaman yang datang dan pergi, hakikatnya pengajaran daripada perjalanan tersebutlah yang memiliki nilai melebihi segunung permata atau selautan mutiara.



"Untuk menjadikan buku Travelog menarik, perlu menterjemah definisi travelog dalam bentuk penulisan  berjiwa hakikat dan menggabungkan kisah-kisah  sahabat sebagai pengiktirafan daripada seorang musafir di bumi Allah.
"


Apa yang aku tahu tentang Buku Travelog?

Pertamanya, aku bukanlah meminati buku sejak kecil. Hanya dalam umur 13 tahun, aku mula berjinak-jinak membelek buku dan menjadi 'ulat' buku. Perubahan ketika itu, banyak memberi makna dalam hidupku dalam mengubah pandangan aku yang merasakan masa hadapan aku masih tidak menentu. Alhamdulillah, berkat amalan membaca dan membaiki amal ibadat, aku mampu memajukan diri dalam hidup.

Hari ini, jika ditanya soal ilmu pengetahuan am, aku masih lagi kekuarangan ilmu. Begitu juga jika ditanya soal apa itu buku travelog? Maka, jawapan aku, hanya sebuah buku yang menceritakan perjalanan seseorang atau sekumpulan orang dalam mencapai matlamat perjalanannya.

Buku travelog yang pertama aku baca adalah Travelog Haji ,hasil penulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman beliau yang memberi tunjuk ajar kepada aku untuk memiliki hati seorang hamba. Buku kedua travelog? hmmm.. InshaAllah, masih menanti kehadirannya. Iaitu buku Ustaz Farid yang sudah hampir setahun saya menanti untuk membacanya. Melihat daripada hasil karya ustaz ini di blognya,jelas menunjukkan yang karyanya sungguh berlainan daripada yang biasa. Namun, bukan kerana kenalan,puitisnya bahasa atau cantiknya kulit buku, tetapi kerana aku ini seorang pengembara di dunia yang fana, maka jatuh dan bangun aku bergantung pada bekalan tenaga,ilmu,semangat,pengalaman dan sebagainya. InshaAllah, memilih untuk membaca buku karya ustaz tersebut adalah untuk menghayati hakikat perjalanan seorang hamba Allah di bumi Anbiya. Semoga diri ini juga dapat merasa tempias kehidupan di sana untuk dabadikan dalam sebuah perjalanan ini menuju ke alam akhirat yang lebih bermakna. InshaAllah

Friday, April 22, 2011

Aku Bertawakal

Alhamdulillah, exam final pun sudah sampai dipenghujungnya. Tinggal sehari lagi iaitu hari Ahad depan untuk menamatkan exam final ni. InshaAllah, segala usaha dan segala kekuatan yang Engkau berikan dan pinjamkan kepadaku telah aku sempurnakan dengan sebaiknya walaupun penuh dengan kecacatan dan kekurangan. Aku insan lemah,wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi. Ampunilah dosa-dosaku atas kelemahanku. Semoga Engkau membantu aku dalam perjalananku ini dalam menjunjung agamaMu.

Bantulah kami Ya Allah dalam perjuangan ini.

Perjuangan masih diteruskan!

Saturday, April 16, 2011

Peperiksaan Akhir




Esok adalah hari pertama peperiksan akhir aku dan juga rakan-rakan setelah 5 tahun mengaji di USM kampus Kesihatan. Semoga Allah mengizinkan kami untuk mencapai impian hujung April ini seterusnya menjadi insan yang berbakti pada semua. InshaAllah.

Maaf atas silap dan perselisihan. Semoga kita berjaya! Good luck everybody!




InshaAllah, Allah bersama kita!

Thursday, April 14, 2011

Masa Yang Tinggal Berbaki

Allahuakbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar


hanya Allah yang tahu betapa terumbang ambing hati ini melayari saat yang amat menggerunkan kebanyakan hamba-hambanya yang akan menduduki peperiksaan akhir ini.

Hanya keyakinan aku, Allah Maha Adil dan Dia tidak pernah menzalimi setiap hambanya. Dia Maha Memahami dan Maha Penyayang.

Hanya padaMu aku serahkan segalaNya.

Sunday, April 10, 2011

Terima Kasih



Alhamdulillah,segala pujian padaMu yang membenarkan aku hidup di dunia yang penuh kepalsuan dan penuh dnegan ujian yang amat payah untuk aku lalui dalam menuju kepadaMu. Hari ini, terasa khuatir dan bimbang akan segala amalan aku hanya untuk mencapai niat dan hasrat dalam kebahagiaan dunia semata-mata dan bukannya untukMu. Allah Maha Pemaaf, ampunilah hambaMu. Sesungguhnya aku insan lemah yang lemah dalam setiap penilaian dan lemah dalam menjaga setiap amalan aku. Ampunilah aku dan bimbinglah aku dalam setiap detik hidupku. Janganlah Engkau pesongkan aku sesudah engkau berikan aku hidayah petunjuk.

Alhamdulillah, dalam melalui saat akhir sebelum menemui jalan yang amat payah iaitu Peperiksaan Akhir Pro 3, aku masih diterima dalam study group mereka yang hebat-hebat. Banyak ilmu aku pelajari daripada mereka. Alangkah indah dapat belajar dalam suasana sebegini iaitu belajar dengan mereka yang sedia menerima ahlinya,kelemahan dan kelebihan. Saling membantu sehingga semuanya mendapat manfaat. Segala ketidakpuasan hati akan dibiarkan sahaja tanpa menyimpan sampai bermasam muka. I like this group. Berusaha sehingga ke tahap 'Master'. Alhamdulillah,semoga aku beroleh manfaat daripada mereka juga. Ya, seolah aku tidak mampu menyumbang apa-apa untuk group yang sudah hebat ini. Semoga kita semua lulus dan aku mampu hadiahkan kepada mereka sebuah kejayaan juga. :)

Allah Maha Mendengar segala isi hati dan Dialah Tuhan yang Maha Mengurniakan segala permintaan. Hanya padaMu kami berharap.


Ampun dan maaf aku minta sekali lagi jika ada yang menaruh segala harapan yang aku tidak ketahui, menaruh kepercayaan yang aku khianati, menaruh kebaikan dan apa saja yang aku abaikan, sesungguhnya ,aku ini manusia biasa dan aku tidak mampu memberikan apa-apa. Mintalah padaNya. Perjalanan aku.... masih jauh atau... berakhir bila-bila masa...tiada siapa yang tahu.

Saturday, April 9, 2011

Memori lalu

Terima kasih atas pemberian gambar diatas..  Walaupun diberi pada hari kelahiran kembar saya, namun, saya terima seadanya. hhuhu.. Tq, Ok. Komen kepada gambar ni, hmm Ok lah ada kemajuan. Background yang nampak meriah dan cool,evergreen beb!!.. Cuma tulisan tu nampak tak striking lah, hahahak, cuba tengok gambar yang aku buat tu, kalau boleh buat macam aku buat untuk aku 'like' tulisan. hahah.. Maklumlah, aku kan seorang yang rabun. Benda yang kabur dan 'blur' susah nak tengok. Huhu. As usual, pandai komen, suruh buat tak tahu. Inilah diagnostic criteria for tronx013, pandai cakap tapi buat entah pape je.. Bila nak berubah? Semalam dah berubah dah bro!. :)


Memori lama kian kembali meneroka pintu pemikiran. Membuka lembaran sejarah lama. Terkenang aku akan zaman kanak-kanak yang aku fikirkan, ketika itu, 'siapakah aku pada 10 tahun lagi?" Hari ini terjawab. Ketika itu juga aku terfikir, " Bagaimanakah aku di alam universiti jika aku layak memasukinya?" . Malah aku selalu berkata, " Hebat sungguh mereka yang berjaya terutamanya doktor, hmmm aku hanya duduk diam dan membisu sambil membilang bilangan vocubulary yang aku hafal. Hmmmm... doktor memerlukan mereka yang pandai berbahasa Inggeris, petah berbicara dan otak genius. Aku? Hmm setakat orang kampung yang bermain parit, membaling selipar, baling tin , menangkap burung,tupai, melastik semua benda di belukar. Apalah kelebihan aku untuk merasai dunia itu. Keluarga pula, duit pasti menjadi bahan penghalang.hmmm ". Inilah yang selalu aku luahkan dalam hati ketika aku di alam kanak-kanak lagi.


Namun, satu per satu langkah aku lalui. 'Seolah' Tuhan mendengari luahan dan rintihan hati. Dia juga membimbing hambaNya tanpa diminta ke jalan yang diimpikan. Menjaga hambaNya daripada tersesat jauh tanpa disedari. Allah Maha Besar. Jika aku bukan pilihanMu, kepada siapa harapan dan impian akan aku luahkan lagi. Tiada Tuhan selain Engkau.

Ya Allah, padaMu kami berharap dan bergantung.

FAAM

Oh, ini Ijat. Adik sepupu aku. Dia bukan perekod video politik ataupun sedang menonton video picisan ahli politik tempatan, tetapi sedang memikirkan bagaimana nak merekod video. Hebat betul. Aku masa kecil pun, nak sentuh benda ni,macam mustahil. Sebabnya, semua orang yang ada tidak akan membenarkan. Tapi, aku sendiri memberi kepercayaan kepada budak sekecil ini memegang DSLR aku under my supervision.huuhu. Mengapa? Sebabnya untuk mendedahkan mereka kepada ilmu dan merasa apa yang aku rasa. Walaupun dengan memetik button sahaja.
Aku suka mengajar orang yang lebih muda sesuatu yang mereka perlu tahu. Akan tetapi golongan ini merasa kurang selesa bila peringatan dan teguran, malah ada yang mempertikaikan sehingga mereka menemui jalan mati atas pertikaian mereka. hmm... Maka, aku akui, ini generasi sekarang memag layak menerima apa yang mereka miliki iaitu perasaan EGO dan tidak sedia menerima perubahan yang baik. Main redah dan bantai sahaja!... What you give, you will get back!

MAAF-FAAM


Sabtu, pagi hari ini aku membuka tirai malam setelah melelapkan mata dalam 3 jam selepas isyak jumaat untuk mengembalikan tenaga sudah hampir hilang setelah berhari-hari melalui minggu Study Week. Pasti ramai lagi yang lebih penat daripada aku dalam minggu study ni. Walau bagaimanapun, aku mesti teruskan usaha sehingga ke saat peperiksaan dan menanti keputusannya sehingga selamanya. Kerana tawakal dan usaha adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.

Sempena hari exam yang sudah hampir tiba, aku mengambil kesempatan lagi untuk memohon maaf atas segala kesilapan kata-kata Mungkin aku nampak baik jika pertama kali kalian membaca blog ini? Atau mungkin nampak baik tapi menjengkelkan? Atau nampak berpura-pura baik? Atau nampak memang penzalim lah, suka nak kutuk orang? Atau apa sahaja yang buruk?

Maka, dengan merendah diri pada Allah, aku memohon maaf dalam hubungan sesama manusia demi mencapai redhaNya.

Mungkin aku berniat sengaja atau tidak segaja dalam menyakitkan hati, hakikatnya Allah sahaja yang tahu.

Kata-kata penutupkan entri kali ini, usahlah kita mengharap sesuatu yang tak pasti sedangkan rahmat dan kasih Allah itu pasti, mengapa kita tidak mengejarinya? Ayuh, percayalah dan yakinlah padaNya kerana Dialah Tuhan yang memberi segalanya.


p/s: Aku juga ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Mohd Hilmi, kembar aku yang menyambut hari lahirnya semalam. Huhuhu.. Semoga sejahtera dan bahagia hidup di dunia dan akhirat. Semoga sentiasa dibawah naungan rahmat dan cinta Ilahi. Amiin. :)

Wednesday, April 6, 2011

Kata Sahaja



Tinggal dalam 10 hari lagi untuk berusaha sebelum menjejakkan kaki ke dalam dewan peperiksaan. Jantung yang berdegup kencang semakin terasa kehangatan dan kegentaran saat menghadapi saat sebenar. Allahuakhbar. Betapa hebatnya ujian kali ini. Benar orang kata, ujian itu biasa dan mati itu ujian paling besar untuk kita lebih takut.

Ya, tiada siapa mampu nafikan. Akan tetapi logiknya, manusia biasa akan menghadapi apa yang aku hadapi ini,iaitu saat yang menakutkan dan saat yang mendebarkan, peperiksaan. 

Terasa study week untuk kali ini amat berat perjalanannya sehingga aku terasa amat letih dan ada kala sedikit rungutan dan tertekan dengan keadaan. Maklumlah, dalam dunia peperiksaan semua tertekan. Akan tetapi janganlah melemparkan stress sendiri kepada orang lain. Ini yang amat menstresskan aku bila sikap orang yang tak tahu mengendalikan stress dirinya lantas mengganggu orang lain dan sengaja menambah stress. Siapa? Bila? Di mana? tidak perlulah diselidik, membazir dan amat merugikan masa.



Apapun, jadilah muslim yang bijak dalam mengendalikan diri . Usah menampal ayat-ayat Quran dan meletakkan link tanpa menerimanya sepenuh hati. Usahlah mengingatkan orang lain sekadar melepas tangan seolah mengingkari arahan Surah Soff ayat 1-3 yang mengajak kebenaran tetapi melupakan apa yang dikatakan.


Dalam masa ini juga,aku suka baca link ini yang mengajar tentang kehidupan seorang Muslim yang mencontohi perjalanan Nabi. (p/s: tronx013@gmail.com)  
 Terima kasih atas perkongsian.

Saturday, April 2, 2011

Cemburu



(Pertamanya: Mahu memohon maaf jika selama ini ada menyakitkan hati semua. Kesempatan saya untuk menduduki exam, ingin saya sampaikan hasrat yang terbuku lama. Maklumlah, siapa saya untuk menafikan kesilapan diri. Maaf atas segala kesilapan . Apapun, saya sentiasa memaafkan sesiapa sahaja, namun, saya juga insan biasa, untuk berbaik semula amat payah. InshaAllah, suatu masa ia akan kembali murni.)

Jika mahu diikutkan hati, pasti banyak perkara yang akan aku merasa cemburu. Cemburu kepada kejayaan. Cemburu kepada kekayaan. Cemburu kepada kepandaian,kehebatan dan kesolehan. Aduhai hati yang lemah, mengapa cemburu juga yang engkau mahu bangkitkan isunya?

Hidup ini banyak cabaran. Sebagai seorang Islam, segala amarah, cemburu,kedekut, dengki pasti dapat dibendung andai amalan kita sentiasa diiringi dengan ilmu agama dan sikap sedia berubah menjadi lebih baik.

Bayangkan kehidupan yang saling kejar mengejar kejayaan dan nama. Amat sukar untuk menahan sikap cemburu.

Bagi aku sendiri, sifat ini menjadi-jadi ketika di alam sekolah menengah apabila aku mula menjejaki tempat top 5 dalam kelas. Huh... pandailah sangat sampai mahu cemburu dengan orang lain. Andai aku tahu kesan dan akibat sifat ini, pasti aku tidak mengulangi ketika itu. Hanya sekarang dalam masa ini aku mengerti akan 'siapa' itu cemburu. Ia sifat yang amat bahaya untuk kita ada dan pelihara.


Namun, kemunculan sifat ini dalam diri banyak mengajar erti hidup dan perjuangan. Alhamdulillah, segala ketentuan Allah, kita kenalah syukuri dan bertaubat jika kita melanggari perintahnya.


 


Mood exam...

Hari ini, hari yang amat payah dalam perjalanan aku setakat ini kerana aku terpaksa berdepan dengan suatu ujian yang amat besar bagi aku iaitu Peperiksaan Profesional 3 yang menentukan aku dan rakan-rakan lain layak menjadi doktor ataupun sebaliknya. InshaAllah,semoga semuanya lulus dalam peperiksaan ini. Lima tahun kami bersama dan berusaha keras. Namun, bukanlah usaha kami yang menentukan kejayaan kami,tetapi Allah jualah yang menentukan. 

Teringat aku ketika segala usaha keras aku dan latihan yang intensif akhirnya menafikan kejayaan aku hanya dengan satu soalan penentu. Ketika ini, betapa hati terasa hilangnya arah tujuan. Allah Maha Besar. Akhirnya, aku sedar -segalanya hanya padaMu dan Kaulah yang menetukan segala. Usaha tidak akan dapat mengubah ketentuan Engkau. Saat itu, baru aku fahami, Allah mampu lakukan apa sahaja dalam saat yang kita tidak mampu duga. Namun, ujian yang amat berat itu bukanlah malapetaka bagi aku,tetapi ia suatu kurniaan daripada Allah agar menyedarkan aku untuk kembali study dengan lebih baik, sentiasa mendampingi Allah,tidak terlalu yakin dan sentiasa membaiki diri. Usah merasa bangga dan ego. Alhamdulillah, segala ujian itu ditempuh dengan seribu makna atas pertolongan rakan-rakan disekeliling termasuklah yang berada di alam maya juga.

Semoga kesilapan lalu tidak berulang lagi. Semoga aku gunakan petunjuk yang diberikan bahawa setiap apa yang kita lakukan hendaklah sentiasa mengingati Allah, Dialah penentu segalanya. Sentiasa menjaga solat, zikir, bacaan quran, sunnah. Sedia melapangkan masa untuk berdiskusi atau mendengar tazkirah. Usah sombong dengan pendirian dan ego. Kerana cemburu, ego dan segala yang mazmumah itu akan membunuh hati yang merobek segala kejayaan yang sepatutnya kita kecapi. Sedialah menerima kelemahan dan berubahlah. Usaha dan teruskan perjuangan! Allah Maha Pemurah dan Allah Maha Memahami.

Friday, April 1, 2011

Biru

Ini merupakan gambar yang pernah aku letak di blog, tetapi kali ini aku tukarkan warnanya kepada biru. Untuk menemukan tema kehidupan Bila Dunia Menjadi Biru.


Jika ditanya, " apakah kamu menyukai dunia menjadi biru?"

Aku akan menjawab " Biru? Wow ! I like Blue, tapi kalau bumi jadi biru, aku kena jadi macam Avatar lah ye? Tak maulah. Pegang bendera biru pun aku tak mau. Kecuali bendera Negeri Johor. huhuhu. "

monyet ni aku cuba nak birukan tetapi sukar sebab jiwanya bukan biru. Tapi bayangkan jika monyet pun jadi biru, apakah dunia sudah menjadi kartun dan permainan dunia khayalan? Aduhai... rugilah mereka yang selalu berkhayal.


Tak semua yang kita suka itu perlu kita ubah semua yang ada di sekeliling untuk membentuk apa yang kita sukakan sehingga mengubah ketetapan sunahtullah. Aduhai, manusia, tidakkah kita melihat dunia ini sudah menghampiri garisan kesudahannya? Tidakkah kita membaca kalamullah dan memahami bahawa janji Allah itu pasti? Fitnah di akhir zaman itu pasti? Maksiat dan segala kelalaian di akhir zaman itu juga pasti?

Jadi, mengapa kita mahu menjadi salah seorang dalam golongan yang Allah janjikan kehancurannya?
Adakah kita merasa kita telah berada di jalan yang benar dengan melaungkan aku Islam! Aku sudah beli seribu Quran untuk diberi kepada orang miskin dan orang kampungku ?
Aku sudah solat dan aku juga telah membaca al-quran. So what? Mengapa syurga bukan milikku lagi?

Ya Allah, jika aku perhatikan para hambaMu yang kau janjikan surga, sudah pasti aku jauh ketinggalan dan sudah pasti tidaklah layak aku menjenguk tempat pilihan dan tempat idaman para manusia.

Betapa para solehin dulu kala amat teliti dalam ibadatnya, malah perjalanan kehidupannya amat hebat. Sentiasa menjaga segala amalan dan pergaulan. Makan dan minum serta tidur pun terjaga dengan ingatan terhadapMu.

Hari ini berbeza, di saat manusia bergelar Islam tetapi merasai dirinya pasti mendapat syurga. Ya, aku sedar, orang Islam akan masuk syurga akhirnya. Namun, adakah mereka akan singgah di Neraka atau terus ke syurga. Inilah yang membuatkan aku takut merenung diri yang lalai dan terkejar-kejar dengan tanggungjawba dunia. Moga perjalanan aku hari ini menemukan aku kepadaMu. Moga perjuangan aku ini merentasi amanah yang Engkau berikan iaitu dalam dunia perubatan ini, bakal mendekatkan lagi aku padaMu. Hanya beberapa hari lagi kami akan menemui rintangan yang amat besar untuk kami lalui, namun ia amat kecil bagi Engkau untuk memberi kemudahan dan kebaikan kepada kami.Rayuan kami padaMu Ya Allah, agar Engkau membantu dan memberi kejayaan kepada kami semua. InshaAllah. Kaulah Tuhan Yang Maha Memahami dan Maha Mengasihani.

Tak Sihat


Alhamdulillah, syukur pada Allah yang memberi segala kekuatan, walaupun aku sebenarnya sudah  seminggu batuk dan  baru baik demam 3 hari lalu. Huh.. nampak cool je aku bila jalan ke hospital dan macam tiada masalah. Cuma sesekali sahaja batuk sebab dah tak leh tahan cool. huh. Tak kan mahu tunjuk sakit di depan pesakit yang mengharap kita membantunya suatu masa.

Ya, kalau nak diikutkan, memang nak melepak dalam bilik je, rehatkan badan dan sendi yang penat berfungsi. Kesian juga melihat diri sendiri yang berusaha mahu mencapai sebuah kejayaan, tetapi aku sendiri masih malas memahami dan fokus. Masih lalai, masih khayal dalam usaha mendekati pencipta.

Mahu mengharap simpati kawan sebab demam? Mahu mengharap simpati Dr? lagilah mustahil. Tiada siapa yang kenal rapat kot dan sedia memahami. Ingin aku jumpa Dr sebab demam, tapi terasa malas pula menunggu di klinik. Kelas pula penuh dan study group plak agresif siang hari. Exam posting plak  dalam dua hari dan banyak kena study lagi. Aduhai, semuanya menguatkan aku untuk tidak bertemu Dr. Aduhai. Jadi Dr sendirilah. huhu.. Semoga aku sembuh secepat mungkin daripada batuk dan demam serta diberi kekuatan mengharungi saat perjuangan ini.

Impaknya, badan mula letih tak menentu masa, petang tadi tertidur aku selepas asar sampai maghrib pun terlepas solat berjamaah. Solat dibilik sahajalah aku. Allahuakhbar. Lemahnya diri ini. Sehingga nak makan pun terpaksa ditunda kerana mengantuk.

Kisah lain.

huh, melihat gelagat rakan seperjuangan yang mahu menghadapi exam final juga,membuatkan aku makin pening dan pelik, mengapa sampai  ingin membuat poster yang pelik? Siap warning tak bagi masuk bilik. Aduhai. Kejam pula aku tengok ayat sebegitu. Aku pun stress tapi tak lah sampai membuat poster sebegitu. Seolah menolak rahmat Allah. Bukankah setiap tetamu yang datang membawa berkat. Atau tetamu datang membawa kacau? huhu aku pun bila mahu study,aku kunci bilik dan tutup lampu utama,hanya buka lampu meja. Ini menandakan aku tidak mahu dikacau. Sesekali aku kunci bilik, sebab ada tetamu masuk secara mengejut dan ada kalanya membuatkan aku terkejut dalam tenang. Huhu.. Paling tidak,dengan mengunci bilik, aku dapat bersedia menerima tetamu. huhu.. Kalau tak buka langsung tu, padan nah muka sebab aku mungkin dah tidur. huhu maaf ye.

Apapun, gelagat manusia memang sukar diramal. Kena menerima gelagat mereka selagi ia tidak mengganggu kita dan tidak menzalimi kita. Biarlah urusan dia dengan Tuhan . Kita berusaha membaiki kedaan dan sedia berubah menjadi lebih baik. Maka, kena sabar dan tenang.


p/s: Kalau terasa atau tak puas hati dengan entri kali ini, aku minta maaf. Cuma, memang tak wajar seorang Muslim berkelakuan pelik ketika mahu Exam seolah 'kehilangan Tuhan'. Ingatlah, Tuhan itu bukanlah tempat untuk kita mainkan, bila kita rasa mahukan nikmat dunia, kita berpura-pura 'alim meminta-minta daripadaNya seolah Dialah Tuhan Yang Satu,Dialah segalaNya,sedangkan masa lalu kita lalai, dan setelah nikmat dikecapi kita semakin lalai dan syukur kita hanya sementara.

Percayalah. Inilah kerugian yang nyata. Meminta nikmat dunia dan melupakan akhirat.






Study Week bermula, 17 hari lagi.......

Ya Allah, bantulah kami, berikanlah kelapangan masa untuk menelaah ilmuMu.
Berikanlah kami kenikmatan dalam mengharungi perjalanan ini agar kami dalam naungan rahmatMu.
Inilah sebenar nikmat kehidupan bila setiap nafas dan nadiku sentiasa menyebut namaMu.

Allahuakhbar, aku merayu padaMu agar kau berikan kejayaan kepada kami.