Saturday, November 27, 2010

Jalan-jalan Pagi Jumaat 26 NOv 2010


ISh? kenapa  dia ada dalam gambar? aku nak tangkap gambar papan tanda tu..ish.. :P




Sudah lama juga aku tidak ke padang golf. Nah! ambil! Sudah hampir siap bangunan semua. Terkejut aku melihat semuanya yang hampir siap...

Waduh, sibuk dengan dunia study sampai lupa nak berexercise!... Azam baru mesti kena ubah diri termasuklah banyakkan bersenam(juga ibadat) walaupun sibuk.

Friday, November 26, 2010

Wednesday, November 24, 2010

Jika?



 Persoalan mudah buat sang pemikir:


Jika anda melakukan kebaikan, memberi nasihat dan teguran serta sebagainya kepada seseorang itu, anda memerhatikannya, sedikit demi sedikit dia berubah. 

Pastinya di dalam hati  anda, terdetik bahawa aku telah berjaya mengubahnya. Betul bukan?

Sedangkan jika kita perhatikan dengan lebih teliti, benarkah apa yang kita lakukan itu membuatkan seseorang itu berubah? atau ada sesuatu yang berlaku disebalik peristiwa yang kita tak tahu? atau dia berubah itu mungkin atas nasihat ringkas daripada insan yang menemui dalam jangka masa yang amat singkat. Siapa tahu?

Hanya Allah yang tahu.

Maka, sedarilah bahawa setiap amalan kita janganlah rasa ia adalah mutlak daripada kita. Rasalah ia sebagai suatu keizinan Tuhan yang memberi kita kekuatan untuk melakukan kebaikan. Percayalah, lupakanlah kebaikan yang kita lakukan. Anggaplah ia sebagai suatu tanggungjawab sebagai umat Islam. Jangan mengenang amalan kita dengan pujian yang bertambah-tambah. Hakikatnya,mengenang itu pasti melupakan kita pada Tuhan. 

Ya, buatlah kebaikan ikhlas kerana Allah. Usahlah merasa bangga dengan setiap apa yang kita lakukan. Sebaliknya muhasabahlah diri  jika ada kekuragan yang perlu dibaiki.

Sunday, November 21, 2010

Bila Kamu Sedar Yang Kamu Ada Satu Pilihan?



Persoalan di atas adalah suatu kesedaran yang aku, kamu dan mereka perlu tahu. Apabila kita mempunyai satu pilihan saja. Apakah yang aku maksudkan dengan satu pilihan?

Apabila kita tidak memiliki apa-apa disekitar, tiada harta, tiada sahabat, tiada kekuatan,hidup lemah longlai mengharapkan kekuatan itu hadir. Akan tetapi seumpama beban yang semakin bertambah, kekuatan jauh mahu datang meresap ke dalam jasad. Kemana harus kita minta lagi?

Sudah pasti kepada Tuhanlah kita akan meminta. Hakikatnya, inilah selemah iman manusia yang baru sedar akan Tuhan mereka ketika dalam kepayahan! Meminta ketika diri sudah tiada upaya. Bila senang dengan kekuatan dan harta, jiwanya bongkak melupakan Tuhan!

Hati menangis meminta pertolongan , merayu-rayu meminta itu dan ini. Sesudah semuanya dikecapi, berlarilah ia keseronokan. mengucapkan 'alhamdulillah' kepada seluruh insan dan alam, hakikatnya hanya butiran perkataan itu sahaja menjadi saksi syukurnya. Sedangkan diri dan hatinya tidak pernah mahu berubah menjadi insan yang lebih baik. Sedarlah wahai diri, tatkala kamu mahu membincangkan soal agama, soal hukum dan ajaran Islam, mahu berdakwah dan memperlihatkan kebaikan, hakikatnya kamu dusta pada agama kamu sendiri. Kamu lalai dan melakukan perkara sia-sia. Selalu sahaja menyakiti hati saudara seislam kamu. Tidak pernah membantu mereka yang dalam kepayahan. Malah suka dan gembira bila kamu mendahului mereka. Pernahkah kamu merasa kemanisan bersahabat dengan persaudaraan Islam? Bila kamu menyayangi saudara kamu kerana Allah, kamu lakukan kebaikan dengan jujur. Tidak mengharap apa-apa melainkan rahmat Allah agar Dia menyayangi kamu. Inilah sebenarnya yang wajib kita cari. Keikhlasan.

Tidak guna menyatakan kepada orang lain bahawa " Aku telah sedar". Kemudian bertemu dengan orang di tempat lain, mengatakan  lagi bahawa diri ini telah sedar. Tidak perlu menyatakan itu semua, kerana kata-kata yang tidak dibuktikan itu umpama seorang munafik menabur fitnah dan dusta. Sesungguhnya Allah melaknat orang -orang yang berkata-kata tetapi tidak melakukan apa yang dilakukannya.

Maka, sedarlah!Sedarlah wahai insan di bumi Allah ini.
Ya, pilihlah untuk menjadi hamba Allah yang Allah sayangi. Bagaimana? Buatlah apa yang membuatkan Allah sayang diri kita. Apakah perkara-perkara itu? Sudah pasti quran dan sunnahlah yang menjadi rujukan dan pelarilah semuanya daripada orang yang layak. Usah segan.

Friday, November 19, 2010

'Bad Mood'

18hb November 2010,setelah  sehari meninggalkan hari raya haji, aku hampir hilang arah tujuan menilai balik diri . Lemah aku di sini.  Aku tiada daya. Bangkit dan rebah jiwa dan kekuatan. Di mana kekuatan aku dahulu? Keluhan yang tiada untungnya.

Ah! Biarkan kelemahan bermaharaja rela, hakikatnya aku mesti terus menempuhi hidup. Buat apa memnbelek kelemahan yang tidak pernah ingat dan membantu kita.

Pasti cabaran amat payah. Antara agama dan kehidupan. Kanan dan kiriku yang penuh dengan budaya yang menghancurkan. Quran dan sunnah ditinggalkan. Betapa lemahnya hidup ini. Andai musuh Islam datang menyerang dengan kapal perang ataupun askar perang,pasti kebanyakan umat Islam takut dan lemah. Iman dan taqwa ibarat bebuah di lautan! Aku? Mungkin juga menempuhi situasi sama. Siapa tahu? Aku sendiri tidak tahu bagaimana akan aku hadapi situasi ini.


Malam ini,aku dipaksa melepak dan makan di suatu restoran di bandar. Secara jujurnya, aku benci sangat untuk pergi ke sini. Aku benci! Mengapa aku pergi juga? Kerana kebanyakan mereka berkata mahu bertemu rakan lama. Hakikatnya dusta belaka. Aku tidak akan melakukan perkara yang sama selepas ini setelah beberapa kali melakukan perkara yang sama. Berborak soal dunia dan wanita. Bosan! Aku yakin, yang lain tidaklah berniat untuk berborak perkara maksiat,tetapi ada seorang yang sengaja membuka cerita berkali kali tanpa putus asa ditegur oleh aku. Sedia maklum, bahawa aku tidak akan bertolak ansur bila bercakap tentang agama. aku rela dipulau atau diboikot semata mata menjaga agama! Ini bukan ayat di blog aku! Ini adalah pendirian aku yang wajib kalian tahu!

Aku sedia ditegur andai aku lari dari pendirian ini. Aku percaya tiada yang layak bagi yang zalim itu suatu kehancuran!... Disebabkan itu, aku akan terus memperbaiki diri agar tidak termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Sukar! Kehidupan aku dan sahabat aku penuh dengan maksiat dan racun hati yang merobek kekuatan iman dan taqwa. Setiap hari,belenggu itu kian kukuh. Seolah pendakwah tidak pernah ada. Pergaduhan sering berlaku. Polemik dan perselisihan berlaku mengundang kehancuran. Tiada persepakatan.

Teguran dan nasihat dipermainkan dan dipandang jijik. Apa mereka ingat Tuhan itu macam perkara main main? Bila susah kita datang kepadanya,bila senang kita lupa. Bila kita nak solat,kita solatlah,bila kita penat,solat juga tapi laju dan tidak khusyuk.
Sedarlah wahai hati.....

Perhatikan Gambar di atas, ketika aku sedang minum malam bersama rakan, kelihatan seorang gadis dalam lingkungan 20-30 tahun, berjalan ke hulu dan ke hilir memerhatikan pelanggan kedai makan ini. Rupanya,dia merupakan seorang penjual rokok seperti mana yang diberitahu rakan aku. Dalam diam, dia memerhatikan pemuda di belakang itu. Membuat beberapa kali survey, akhirnya terus 'approach' mereka untuk mempromosikan rokok. Kejam! Persoalannya, bangsa perosak! merosakkan orang melayu Islam! Malah, mengapa tuan kedai ini membenarkan gadis keji ini berkeliaran di kedainya? Maka terbuktilah bahawa orang melayu itu sendiri adalah perosak bangsanya! Islamkah kita? Hanya apabila Islam itu subur, maka benteng iman akan kukuh menghalang segala yang munkar. Bukan setakat di situ, pemuda di belakang itu juga menerima produk rokok yang ditawarkan! Allah! apalah nak jadi dengan bangsaku. Mudah cair dengan wanita dan kata-kata manis! Hina! gadis yang berpakaian yang agak seksi itu sering saja berjalan-jalan melintasi semua pelanggan. Naik menyampah aku dengan gaya murahan menguji iman pelanggan. Ingat gaya itu bisa menggugat? Tidak mungkin wahai penempah kemunkaran Tuhan!

Thursday, November 18, 2010

Photo : Teluk Wawasan Impian

Korban 2010


17 November 2010, aku memulakan pagi ini dengan tidak bersarapan dan terus bersiap memakai jubah putih untuk solat sunnat hari raya Eiduladha. Tahun ini, tidaklah meriah sangat di rumah ini kerana hampir ke semua adik beradik aku tiada di sisi. Masing-masing ada hal dan merayakan di tempat masing-masing. Biarlah saya bersama keluarga. Tinggal beberapa bulan lagi, aku akan bekerja yang mungkin suatu masa aku pula merayakan sendirian. Ataupun, nyawa pula sudah terpisah, maka berayalah sendiri.

Selamat Hari Raya Eiduladha saya ucapkan kepada pembaca blog saya yang sudi singgah di sini. Semoga pengorbanan kita diterima olehNya. Berdoalah kepadaNya agar kita kuat menempuh ujian yang diberi. 


 Gambar di bawah khas buat kalian semua. 







p/s: inilah pertama kalinya aku di beri satu bahagian untuk dilapah. Sebelum ini hanya tolong sambung atau tolong potong daging sahaja. Sudahlah aku berada di rumah orang yang aku tak biasa, terasa kekok pula nak melapah. Melapahlah aku dengan senyap dan tenang.

Dalam perayaan hari mulia ini, aku juga menempuh fasa membaiki diri, aku mulakan fasa pertama iaitu untuk memaafkan orang (1-2 bulan lamanya),diikuti fasa husnuzan(1-2 bulan lamanya), fasa sekarang ini adalah sedia memahami dan bersedia mempertimbangkan sesuatu keputusan tanpa ada bias. Fasa-fasa ini adalah rekaan aku untuk menampal segala kelemahan aku. Aku akan berlatih menjadi pemaaf untuk tempoh 1-2 bulan agar aku mampu menjadi pemaaf yang lebih baik. Memaafkan segala kesilapan orang lain. Ia mungkin berpatah balik dengan fasa yang sama dan begitulah sebaliknya. Fasa seterusnya pula,akan aku fikirkan kemudian. Ya, jika ada cadangan dipersilakan. :)

Friday, November 12, 2010

Jubah Putih

Rabu lalu, 10 November 2010, petang itu selepas solat asar, aku bersama seorang rakan ke Kota Bharu dalam hujan renyai-renyai semata-mata untuk membeli sepasang jubah putih. Ya, ia suatu misi untuk membeli jubah. Perjalanan hampir 20 minit pergi dengan motorsikal mengambil masa yang agak lama sedikit kerana hujan yang menghalang kelancaran perjalanan. Sengaja kami redah hujan itu demi sehelai jubah putih.

Mengapa aku memerlukannya? Kerana mengikut apa yang aku belajar, hari jumaat itu sunnah untuk memakai baju bewarna putih dan pilihan aku adalah jubah. Biarpun orang mengatakan ia adalah sekadar pakaian orang arab, tetapi rasulullah sendiri pernah memakainya. Jadi tiada salah andai aku memilih untuk membelinya. Lagipun, jubah itu melambangkan kebaikan si pemakainya mengikut persepsi masyarakat.

Bak kata saya sendiri, andai diri ini sukar untuk mengawal perangai, kawalah dengan menambat atau memenjara diri yang jahat itu dengan sangkar kebaikan. Ia tidak rugi tetapi sedikit perit buat hati yang baru mencuba.  Jubah itu sebagai suatu penakluk diri aku sendiri untuk kelihatan lebih baik, secara tidak langsung, aku akan menjaga diri agar tidak mencemarkan pakaian yang dipandang mulia itu. Ini bukan suatu yang untuk ditunjuk. Soal riak, tiada siapa yang layak menilainya, hanya Allah layak memberi penilaian,sedangkan para malaikat pun tidak dapat mengetahuinya. Cuma, pengajarannya yang ingin saya bawa, hidupkanlah sunnah rasulullah dalam hidup. InshaAllah keberkatannya amat besar dan yakinlah ia pasti mendapat rahmat Allah.

Bila sampai di kedai pakaian tersebut, aku disambut baik oleh pemiliknya. Dia pun sudah cam muka aku rupanya, kerana aku selalu beli di situ semasa musim puasa lalu. Sebenarnya bukanlah banyak kali snagat pun, baru 3 kali termasuk kali ini. Apa boleh buat, sudah dikenalpasti oleh pemilik kedai sebagai pelanggan tetap. Alhamdulillah,aku ucapkan. Suatu ukhwah terbina tanpa sedar. Aku tidak menawar harga jubah kerana bagi aku, ia cukup murah dan kualiti kainnya bagi akulah, Ok sahaja.

11 November 2010, aku keluar iktikaf di sebuah masjid untuk berqiamulail dengan seorang rakan lain. Suasana masjid yang penuh dengan para tabligh, dengan serban,jubah dan majlis ilmu itu membuatkan aku tenang. Alhamdulillah, walaupun aku diserang 'penyakit mengantuk' dalam dua tiga minggu ini, namun, masih mampu bangun untuk berqiam bersama yang lain. Ia amat sukar bagi aku yang jarang berqiam. Ia suatu pengorbanan dan memerlukan kekuatan. Sedangkan aku terkial-kial membina kekuatan yang sering dirobohkan dan runtuh tanpa sedar.

Dalam mengharungi tahun akhir kursus perubatan ini, cabaran pasti hebat. Hari ini jika dibenarkan untuk aku stress dan menangis, pasti aku lakukan.Akan tetapi itu bukanlah suatu penyelesaian. Biarlah aku berlatih tenang. Tenang sebagai hamba Allah yang sedia menerima ketentuannya dengan baik dan merelakan diri belajar menghidupkan sunnah rasulullah.

Sunday, November 7, 2010

Karya : Puisi Dari Pergau

(link Jacknaim )

Pergau

Bumi hijau kini hilang sekelip mata,
Seolah korban yang tidak diredhai penghuninya,
Kocakan ikan hanya menelan sengsara,
kicauan burung lantang ketiadaannya,
Pohon rendang nan tumbuh kepayahan,
dek bah yang melanda pesat.
Puncak bukit kini menjadi jalanan,
lurah dan lembah menjadi lautan.
lantai yang hijau kini hilang warnanya.
Hanya langit kekal bewarna seperti dulu kala.

Di sini,
detik waktu menetapkan kehadiranku,
menemui alam ciptaan Tuhan buatan manusia,
Korban sengsara demi kehidupan,
Rela dan paksa ugutan yang tiada pilihan,
Kerana aku pencinta alam,
Lihat dan dengarku untuk hati 
Menyelami dasar ketenangan yang tidak terselam,
Agar aku menemui lubuk keinsafan,
menangkap segala kekuatan demi menepati erti seorang hamba
Yang mahu mencari keredhaan Ilahi,
Tuhan Yang Maha Pencipta.

Puisi ini bukan rayuan untuk ditatap,
bukan coretan untuk dijaja,
Bukan juga tagihan sumber ilham atau bakat
tetapi sebuah hakikat bahawa aku insan biasa,
Menulis kerana aku bersyukur,
menulis kerana aku berterima kasih,
Atas nikmat dan khudrat,
atas tenang dan rahmatnya,
dengan harapan aku akan menjadi seorang yang lebih baik,
Lebih baik daripada hari sebelumnya.


p/s: naim!!! aku dah letak dah kat gambar atas tu.. hehehe.

Saturday, November 6, 2010

Karya : Pergau Yang Indah

V3 : Pergau (2)



Alhamdulillah, malam ini sesi barbeque dan makan malam berjalan lancar. Ikan keli bakar,daging bakar, ubi bakar dan nasi goreng. Sungguh enak didengar tapi bila bab merasa makanan,as usual, banyaklah yang kurang. Sebabnya, tak tau budget resipi bila masak dalam kuantiti banyak.huhu.

Apapun semuanya habis. Itulah yang aku pelik dengan depa semua. Aku hanya makan sebiji ubi sebesar penumbuk. Sebab perut aku sudah kembung. Tak ada selera. Aktiviti memasak yang bermula pada pukul 8pm tamat dalam pukul 10.30pm.

Aku ke bilik untuk tidur setelah lama menghayati malam di empangan ini. Ketika hujan renyai mendodoikan aku tidur. Tiba-tiba rumah terapung kami bergegar hampir 10minit juga. Dalam fikiran aku, mmm hujan renyai macam ni pun boleh bergelora air ke? Tak logik. Gempa bumi? Hmmm tak pe,rumah terapung tiada masalah besar. Hati nak tenang dalam kerisauan. Aku bangun dan tengok lautan tasik. Air benar2 bergelora. Tengok kiri, tiada apa2. Tengok kanan. Hmm patutlah. 3 buah bot sekali datang. Manalah tak gegar lama. Rupanya mereka asyik berulang alik ke sana sini dengan bot. Huh.. Sambung tidur.


Pagi aku bangkit dalam pukul 6.30am, huh,solat berjamaah Subuh setelah dikejutkan seorang rakan yang lain.hehe. Terlajak.

Tugasan pagi ini adalah menyiang ikan keli. Hanyir dan bahaya. Itulah dua benda dalam fikiranku. Pagi ini aku yang kena buat sebabnya aku juga tau menyiang ikan selepas belajar menyiang ikan keli semasa musim puasa lalu di asrama hospital Pasir Mas. Alhamdulillah.

Kemudian,sesi bergambar di sekitar kawasan.

Kami bersarapan pagi dengan daging goreng bersama nasi goreng serta ikan keli goreng!...yah! Aku hanya makan kek yang aku bawa semalam. Hehe.. Aku tak mahu makan banyak di sini,sebab kejap lagi aku mahu pulang.

Pengalaman pulang menaiki bot lebih aman,sebab banyak makanan sudah tiada,maka ia jadi lebih ringan. Ehhe.. Manakan aku tidak seram, air tasik empangan hanya beberapa inci daripada dinding bot.
Alhamdulillah,selamat sampai.


Komen aku:

1. Jimatkan berbelanja makanan semasa aktiviti begini. Kalau boleh, bawalah makanan yang mudah dan tidak memningkan kepala seperti ikan keli,daging merah,ayam mentah yang terlalu banyak heheh tapi kalau ada aktiviti barbeque,its OK.

2. Bagus aktiviti sebegini di waktu cuti yang baik. Walaupun cuaca tak berapa berpihak pada kita,inshaAllah,Dia akan memberi yang terbaik.

3. Tazkirah yang baik. Tentang persaudaraan dan hubungan antara kita semua. Harap ia bukanlah sekadar omong-omong kosong.

4. Bayaran yang Ok,tiada masalah. Cuma, kalau boleh ia mestilah jelas dan jangan ada sesuatu yang mengelirukan tentang bayaran ini. Ia pasti tidak syook.
5. Inilah kali pertama aku menyertai kawan-kawan seperjuangan dalam kos yang sama untuk beriadah, walaupun kanan kiri aku semuanya orang Pantai Timur(Kelantan dan Terengganu), selamatlah tiada mercun atau bom dilemparkan pada aku..eheh.. Mungkin ini kali pertama atau kali terakhir aku menyertainya ,siapa tahu?... Allah yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya ia suatu pengalaman yang indah buatku yang berjaya melalui fasa sedia menerima seadanya(yang sudah sampai diperhujungnya). Terima kasih semua. Semoga Allah merahmati kita semua.

V3 : Pergau (1)




4 November 2010 aku ke empangan yang dibina di Jeli,Kelantan,Empangan Pergau. Inilah kali pertama aku menyertai rakan seperjuangan untuk beriadah dan beribadah. Cuti sempena pilihanraya kecil Dun Galas telah memberi peluang aku untuk pergi ke sini dikuatkan lagi dengan selesainya exam posting. Ya,aku yakin,bahawa aku tersangat lemah dalam posting ini. Pelbagai usaha pasti dan wajib aku lakukan demi membaiki segala kelemahan dalam masa kurang 6 bulan. InsaAllah.

Perjalanan bermula dengan ketukan pintu bilik aku. Hehe.. Aku sambung tidur selepas subuh! Tersangat ngantuk. Apa lagi, rushing untuk berkemas dan terus bergerak ke kereta. Seawal 8.30am kami bertolak. Dengan doa dan tawakal.

Perjalanan agak lama juga,kalau akulah,sempat tidur dan mimpi dua tiga episod.

Sampai di tempatnya,Jeli,suasana mendung tetapi bercahaya panas. Sampai di jeti. Ya,aku tak expect yang kena naik bot. Huh,mentally unprepared. Huhu... Rasa nervous dengan bot yang kelihatan di tepi jeti semuanya kecil dan kami pula ramai dengan barang dapur yang agak banyak.hmmm...
Ok! Aku naik bot dengan jacket keselamatan bewarna jingga.huh,tawakal. . Kedebush!..hmm itu bayangan dalam fikiran aku. Tapi,inshaAllah ok!.cuma lautan tenang kini bergelora dengan daya yang dikenakan..heheh..selamatlah bot ni besar.

Enjin bot dihidupkan. Bot bergerak.hmmm..aku mula cemas dalam jiwa. Hehe jarang naik bot. Dan bot ini pula penuh dengan barang dan penumpang. Sempat juga mengambil gambar pemandangan.


Sampai di chalet,dalam masa 10 minit kemudian. Alhamdulillah.

Tugas memasak bermula dan ada yang mandi manda. Aku? Tak join mandi pada mulanya. Sebab? cuaca tak berapa baik,aku pula bukanlah hebat berenang dan yang paling penting,aku tak biasa dengan tempat sebegini.

InshaAllah, ia suatu percutian yang hebat. Aku mahu alami dengan hati dan akal yang tenang. Moga aku dapat ketenangan menghadapi posting baru.



Petang ini, aku bercadang untuk menyiang ikan keli bersama seorang rakan. Seusai tugasan tersebut, aku bercadang untuk mandi di tasik empangan menggunakan life jacket. Huhu..aku pertama kali cuba,rasa mahu terbalik sebab tak biasa berenang dengan jacket ni. Di tambah pula, kedalaman tasik empangan yang tidak terselam. Hmm lagipun, mak ayah aku dan pak cik aku pesan, jangan buat hal lagi boleh tak? Selepas peristiwa accident di Tok Bali,Kelantan semasa mahu pergi mengail ikan. Motor yang dinaiki tersangkut pembahagi jalan. Huh.... Terseksa jiwa, tapi kawan yang bawa motor yang lagi teruk. Kesian.. Kalaulah dia baca entri ni sampai habis. Huhu.. Jangan senyum panjang sangat sudah,tercabut gigi nanti.....



Bersambung.....

Friday, November 5, 2010

Karya : Jeli



Saya suka gambar di atas, tetapi saya mengutuk keputusan pilihanraya Dun Galas.