Saturday, August 28, 2010

Gambar : email terakhir

Suara Tanpa Getaran Peti Suara



28 Ogos, ramadhan ke 17 rasanya,hmm hari ini banyak sedikit dugaan dan ujian. Hari Jumaat yang penuh dengan harapan untuk berehat disebabkan waktu yang padat dengan tugasan dan tekanan. Namun, sedikit masalah timbul dengan pebagai kerenah manusia, kenalah juga dihadapi.

Apapun yang datang, aku ucapkan terima kasih dan doaku semoga Allah merahmati kalian semua yang banyak membantu. Akan tetapi, jika aku ada silap atau tidak menghargai, mohon maaf banyak-banyak. 

Sering kali, hidup ini, setiap kata dan baris huruf yang kita lafazkan akan disalah ertikan dek kerana kelemahan kita atau keadaan yang tidak jelas. Bukan untuk terus menyalahkan. Tetapi belajarlah husnuzan dan jagalah silaturahim agar tiada perselisihan faham. 

Inilah yang aku kena pelajari disebabkan aku juga antara manusia yang suka menyebabkan orang berasa tertekan dan marah. Sering kali orang mengatakan aku tidak memahami mereka, tetapi,sejauh mana mereka memahami aku? sering kali mereka menyatakan yang hati mereka disakit,i tetapi aku yang disakiti ini sering kali menahan sehingga ada kala, kata-kata manisku sudah menjadi bisa pula.

Apapun rungutan aku, tiadalah ia membawa suatu perubahan melainkan kita berusaha membaiki diri dan belajar menuruti sunnah rasulullah yang indah budi pekertinya.

Coretan ini sekadar renungan untuk kita belajar memahami orang lain, jangan sesekali memandang rendah atau bersangka buruk.

Selamat menjalani ibadah puasa yang sudah hamir meninggalkan kita.

Sunday, August 22, 2010

Serban



22 Ogos 2010, Ramadhan ke-12 ,matlamat aku dalam ramadhan kali ini hampir tercapai dalam beberapa aspek. Walaupun ia adalah perkara kecil buat orang lain, bagi aku ia cukup besar dan amat bernilai. Antaranya impian untuk memakai jubah dan serban.

Mengapa aku memilih untuk meletak impian tersebut?

Kerana apa yang aku pelajari dari guruku, dan mereka lakukan itu juga merupakan sunnah rasulullah. Benar, ramai yang katakan ia adalah pakaian orang arab yang hanya nabi lakukan mengikut tradisi arab. Sedangkan, definisi sunnah adalah segala yang Nabi Muahmmad lakukan dalam hidupnya. Tiada salah pun jika pakaian itu tradisi sekalipun, tetapi nabi lakukan sebagai pakaiannya dalam hidup seharian. InshaAllah, aku ini insan lemah yang belajar dari bawah untuk bangkit sebagai seorang yang berilmu dan bertaqwa demi memahami sunnah rasulullah. Aku mahu menghidupkan dan sebatikan sunnah itu dalam jiwa. Adakah aku ini riak? biarkanlah aku dinilai oleh Tuhanku. Apa yang aku mahu, kalian pembaca entri ini kenalah mengamalkan sunnah  lebih baik jika kalian sudah belajar. Jika yang belum memahaminya, carilah. Allah itu luas ilmunya. Dialah yang memberi ilmu. Minta sahaja padaNya dengan usaha keras kita.

Pengalaman pertama memakai jubah, tiada masalah. Akan tetapi bila aku mula berserban, aku telah dipanggil dengan panggilan yang aku sendiri tidak mahu menerimanya kerana aku pakai serban bukan kerana ilmu atau kelebihan aku, aku masih jahil dan lemah dalam bidang agama, tetapi inilah serban yang aku pakai demi menghidupkan sunnah. Sebab aku tidak mahu sunnah itu hanya buat mereka yang bergelar 'taligh' atau ustaz mahupun tok  guru. Aku juga mahu laksanakan kerana aku ummat rasulullah. Aku tidak pernah melihat baginda. Tetapi aku mahu menjadi umat yang seolah berada dengannya. 

Mungkin kata-kata ini hanya sementara,ia aku yakin aku juga akan kehilangan semangat atau kekuatan, tetapi diharapkan adalah insan-insan yang akan mengingatkan aku suatu masa itu. 

Aku beserban buat hari kedua, telah dijemput untuk menjadi imam,kerana aku duduk di saf pertama, tetapi aku menolak dengan baik, walaupun imam asal seolah berkeras mahukan aku menjadi imam. Bukan aku tidak mahu menjadi imam,tetapi biarlah suatu masa nanti bila hati ini dan ilmu berkaitan imam itu cukup melayakkan aku, inshaAllah, tiada salahnya. Aku masih belajar. InshaAllah. Berikanlah aku sedikit masa.

Riakkah aku bercerita soal serban? Untuk apa riak itu kerana nilainya dan balasannya hanya neraka.
Banggakah aku memakai serban? Ya, bangga kerana aku mampu ikut sunnah tetapi bukan untuk yang lain.Bangga aku menjadi umat rasulullah. Setakat itu sahaja bangga aku.

Semoga suatu hari nanti kita mampu menghidupkan sunnah rasulullah dalam hidup seharian.

Saturday, August 21, 2010

Sesuatu Dalam Duniaku

Aku Masih Belajar Dalam Dunia Perubatan







Suatu perjalanan buat aku,
Menempuh alam yang aku tidak ada pedoman,
Tiada gambaran mahupun petunjuk,
Hanya meredah,
Bukan diriku saja malah ramai lagi,
Menemuinya sebagai suatu cabaran mahupun dugaan,
Itulah aku dan dunia perubatan.

Detik indah aku sebagai pelajar,
Detik duka aku juga sebagai pelajar,
Namun kenangan indah bila aku bersama  pesakit,
Pesakit itu adalah guru aku,
Pesakit juga adalah ‘saudara’ aku,
Yang wajar diberi sepenuh perhatian,
Kerana mereka member ilmu,pengalaman
Dan segalanya sebagai bekalan ,
Malah menjadi rujukan aku bila dalam ketandusan,
Suatu masa di saat aku menjadi pengamal perubatan.

Suatu pengalaman,
Ketika aku menjalankan tugas,
Belajar mendapatkan maklumat,
Membuat pemeriksaan kepada pesakit,
Dengan ramahnya pesakit melemparkan senyuman,
Dalam risau dan gemuruh jiwanya,
Bergelumang dengan penyakit yang berbahaya,
Kanser mahupun penyakit kronik,
Namun, mereka masih melayan kerenah kami,
Itulah adilnya Tuhan,
Memberi ilmunya tanpa disekat,
Kerana kami juga bakal menggantikan yang ada,
Berjuang memberikan yang terbaik buat semua.

Dalam kepayahan pesakit mengharungi hidup,
Adak ala,guraun dan kata-kata mereka memaku hati ,
Agar ukhwah antara kami tidak terlepas begitu saja,
Biarpun larangan itu nyata,
Tetapi, apakan daya hati dan jiwa manusia merasai nikmat ukhwah,
Sapaan dan salam dari jauh daripada mereka membuat aku tenang,
Akan tetapi, pertemuan ini adalah sementara.
Pertemuan yang tiada diketahui penghujungnya.
Hakikatnya,pasti perpisahan itu menjemput.
Hijrah,dilupakan atau pergi selamanya.
Inilah nilai dan gelombang besar yang wajib diharungi,
Siapa sangka seorang pesakit yang sihat,
Begitu akrab dengan kita mampu pergi tanpa salam,
Siapa sangka, pesakit yang sihat dipertemuan,
Mengirim salam terakhirnya dengan suatu noktah kematian.
Inilah lumrah dalam dunia seorang pelajar perubatan.
Sebelum menjadi doktor,alunan irama perasaan harus dipelajari,
Akan dendangan lagu kehidupan tidak melenakan semangat sucinya,
Kerana perjuangan dan matlamat masih banyak belum tertunai.

Mahu saja aku membiarkan mereka tanpa kenangan,
Mahu juga aku lupakan sejarah indah dalam setiap perjalanan,
Tapi aku ini manusia,berhati dan memiliki pertimbangan,
Adilkah aku berkelakuan demikian?
Adilkah aku melupakan jasa insan yang berhati mulia?
Mereka tidak meminta kita menghargainya,
Mereka tahu aku hanya pelajar,
Tiada apa sumbangan malah memenatkan mereka saja,
Tetapi mereka tetap member hampir segalanya,
Untuk apa pengorbanan dibuat untuk insan yang tidak dikenali?
Untuk apa berpenat lelah demi kepentingan orang lain?
Semuanya itu,kerana mereka yakin akan sesuatu,
Sesuatu yang hanya mereka pasti,
Dan aku tahu,pesakit adalah pesakit,
Melampaui batasan akan mengundang masalah,
Suatu masa,
Suatu saat kamu sendiri tidak menyangka,
Setiap hari bertemu untuk  belajar,
Membuat pemeriksaan dan mengikuti perkembangan kesihatannya,
Kamu juga akan dikenali dan dirapati,
Kamu juga akan goyah menerima suatu layanan yang baik,
Ia suatu persaudaraan dari Maha Agung,
Untuk dihargai sebijaknya,
Maka, bersedialah menghadapi jejak seterusnya,
Jejak seorang insan dalam dunia perubatan.


Kerana ilmu itu amat luas,
Sukar dikuasai jika tiada usaha gigih,
Perasaan juga sukar difahami,
Pengalaman melalui adalah jalan untuk mengerti,
Biarlah sesukar mana pun,kita mesti belajar,
Usah dicemburui dengan kelebihan orang lain,
Sedihlah jika diri malas berusaha,
Tekadlah untuk terus belajar dan mencapai impian,
Menjadi doktor yang selamat dan jujur,
Itulah harapan aku yang mahu tunduk pada Yang Memiliki Kuasa Teragung.

Wednesday, August 18, 2010

Awal Ramadhan


18 Ogos 2010, Rabu, esok merupakan hari aku akan menjalani peperiksaan posting anaesthesiology. Ya, rasa sungguh lama dan banyak yang telah dipelajari di sini. Aku merasakan menjadi pelajar tahun 5 ini, banyak memberi kefahaman yang jelas tentang dunia perubatan. Tahun 4 pula, tahun di mana aku masih tercari-cari apakah itu dunia perubatan sebenar. 

Hari ini,sudah seminggu umat Islam berpuasa, aku pula amat bersyukur kerana dalam bulan puasa ini banyak memberi pengajaran kepadaku. Umat Islam tidak lemah dengan laparnya berpuasa. Umat Islam juga mampu menjaga akhlak di bulan puasa,mengapa tidak istiqamah di bulan lain? 

Bulan ini juga, aku berazam untuk mempelajari sunnah nabi,berpakaian seperti nabi, bercakap dan berkelakuan seperti nabi. Malah, yang paling penting memiliki semangat seperti rasulullah.



p/s: perlu ke masuk gambar ni...hmmm




Terima kasih aku ucapakan kepada insan-insan yang begitu murah hati memberi sedikit hadiah atau buah tangan sempena bulan puasa ini. Semoga Allah membalas jasa baiknya. InshaAllah, buah tangan yang banyak itu, aku akan perbanyakan kepada saudara yang lain,inshaAllah.

Saturday, August 14, 2010

Terkesima



14 Ogos 2010, atau 4 ramadhan, aku yang hampir ketandusan idea mahu menulis,tiba-tiba teruja untuk menulis kerana ada peristiwa yang perlu aku kongsikan atau catatkan.

Peristiwa itu berlaku semasa kami bertarawikh. Selepas tamat 4 rakaat solat sunnat tersebut, tazkirah ringkas disampaikan oleh seorang profesor dari USM Penang. Beliau nampak a'lim dengan janggutnya dan jubah putih seperti menuruti sunnah rasulullah. Sebelum ini, beliau juga pernah menyampaikan tazkirah di masjid utama kampus kami,tetapi hari ini beliau dijemput untuk memberi tazkirah di surau kampus pula . Umpama kebetulan,aku menerima tazkirah daripadanya dua kali buat 4 hari berpuasa ini. Prof ini nampak 'sempoi' saja semasa tazkirah di masjid utama,aku pun tidaklah mengenalinya sebagai prof, ingatkan pak cik tabligh mana yang mahu sampaikan tazkirah. Walaupun aku curiga dengan spec mata yang agak berfesyen,adakah dia orang biasa atau sebaliknya? hmmm hanya melihat spec,aku belajar untuk menilai latar belakang seseorang. Walaupun kurang tepat,tetapi aku mencuba.

Berbalik pada cerita tadi, pak cik tabligh yang aku sangkakan itu, kembali di surau kampus, untuk memberi tazkirah buat kali kedua. Tiba-tiba seseorang mengenalkan dia sebagai prof. Tersentak aku. Itulah, jangan sesekali memandang rendah orang lain. Sentiasa tawaduk!. Memang benarlah curiga aku pada pertama kali bertemu dengannya tidak sia-sia. 

Malam ini, beliau memulakan tazkirah dengan baik,dan dalam keadaan biasanya, ada jemaah iaitu pelajar yang mula berborak. Maka,secara tiba-tiba, beliau mengatakan " kalau ini adalah kelas saya, maka semua pelajar mesti senyap, jika mahu bercakap juga, saya akan halau atau kamu gantikan tempat saya. Saya tak mahu ada orang selain saya bercakap, melainkan ada perkara penting yang perlu dibicarakan, maka datang kepada saya, kita selesaikan bersama." Aku sekali lagi terkejut. Apakah tazkirah ini memberi suatu tamparan hebat buat pelajar yang hebat di kampus ini? huh... Tambahnya lagi " saya mahu kamu menghormati orang yang bercakap di hadapan kamu. ".

Ketika teguran ini dibuat, aku teringat akan program motivasi yang telah aku sertai. Setiap kali aku menjadi fasilitator atau ketua moderator, aku akan menggunakan kod 1,2 dan 3.  Kod ini aku belajar daripada rakan dan program motivasi  yang pernah aku sertai.

Kod 1- Niat. Setiap amalan bermula dengan Niat.
Kod 2- Hormat. Setiap orang mesti menghormati insan lain, dan apabila ada orang bercakap di hadapan, mestilah diam dan dengar.
kod 3- Kerjasama. Sentiasa memberi kerjasama dengan baik.

Inilah kod yang aku akan pastikan semua peserta program motivasi ketika itu hafal. Aku akan tanya mereka secara rambang. Apabila mereka gagal menjawab, maka denda akan dikenakan. Malah, semasa majlis rasmi, aku hanya menunjukkan kod 2 menggunakan jari, maka semua pelajar yang melihat aku akan memastikan kawan-kawannya diam. Hanya aku dan peserta yang faham tentang kod itu. Tetamu yang hadir tidak perasan arahan yang aku beri kerana tidak bersuara dan hanya pergerakan jari saja. Inilah jalan atau solusi aku untuk mengawal keadaan majlis di sekolah sekitar Kelantan kerana di sinilah bermulanya aku sebagai seorang motivator. Bukan senang mahu memhamkan mereka, cuma apabila nilai agama mereka bertapak subur, mereka mudah faham erti arahan tanpa dipaksa. Itulah nilai sebuah agama yang membentuk jiwa kita semua untuk berjaya. 

Profesor yang memberi tazkirah itu, begitu bersemangat dan jiwanya begitu jujur menyampaikan mesejnya. Menegur kita agar berkelakuan baik,jujur dan berusaha gigih sebagai seorang Islam. Serta menjadi contoh kepada pelajar lain. Ramai antara kita mahu bercita-cita ingin menjadi pakar itu dan ini,tetapi mereka lupa untuk bercita-cita menjadi seorang yang patuh dan taat kepada Allah dan rasulullah. Kita jarang untuk ingin menjadi seperti para sahabat dan merek yang soleh. Bukannya mereka orang yang gagal untuk kita contohi, mereka adalah orang yang berjaya malah orang yang dijanjikan syurga oleh Allah. Akan tetapi,kita terlupa. Hakikatnya, musuh kita,syaitan dan sekutunya, berjaya melarikan hati kita kepada Islam.

Ayuh segeralah sedarkan hati kita, daripada kegelapan dan kehancuran. Semaikanlah dan hidupkanlah hati kita dengan zikrullah, berzikir dan ingat Allah sebelum nyawa terhenti.

Friday, August 13, 2010

Aku dan Ramadhan



Bermula 1 ramadhan, penuh dengan tekad, azam dan doa. Harapan untuk kuat mengharungi bulan yang penuh barakah ini. Ya, walaupun bulan ramadhan ini aku sibuk dengan tugasan sebagai pelajar perubatan tahun akhir, dengan study dan ulangkajinya, aku juga wajib meluangkan masa untuk menghampiri kepada Tuhan, bukan di bulan ini sahaja,tetapi selamanya, cuma di bulan ramadhan,kita akan berpuasa dan bertarawikh paling kurang, masa untuk kita melakukan kerja lain adalah terhad. Aku baru-baru ini, hanya sempat study 30 minit sebelum mata terlelap buat beberapa jam sehingga sahur. Kerana keletihan mungkin dan badan yang kurang sihat.

Bukan mudah mengharungi ramadhan ini. Berbuka puasa hakikatnya bukanlah mengembalikan tenaga dengan normal jika kita berbuka dengan lahapnya. Malah membuatkan kita mengantuk beberapa jam kemudian jika kita mengambil makanan berat dan cara makan kita yang begitu gelojoh. Itulah cabaran ramadhan ini, dan aku juga terperangkap dalam keadaan sedemikian. Mudah mengantuk. Allahakhbar! Semoga Dia memberi kita kekuatan!

Tiada apa yang aku dapat coretkan di sini buat beberapa hari ini,kerana mahu kurangkan bermain internet dan fokus pada tanggungjwab yang lain.Malah, tiada idea untuk menulis.

Apa-apapun, selamat berpuasa,bertarawikh,tadarus dan beramal di bulan Ramadhan.

Saturday, August 7, 2010

Ramadhan Kembali


Tidak terlalu awalkah aku mengucapkan selamat datang ramadhan?
Harap semua orang sudah bersedia menghadapinya. Aku pula dalam keadaan dilemma dan risau akan ramadhan kali ini akan hilang fokus bila aku ditempatkan di kawasan kampung untuk melengkapkan sesi pengajian sebagai pelajar perubatan. Maklumlah, aku benar-benar tiada idea bagaimana di kawasan itu,sama ada benar-benar serba kekurangan atau tidak,aku mesti redha. Idola aku adalah rasulullah,para sahabat dan mereka yang menuruti golongan ini, maka usahlah aku risau sepatutnya tentang kekurangan di situ. Berusaha untuk menghadapinya!

Ya, inshaAllah, aku cuba. Walaupun jiwa ini bukanlah jiwa yang kuat sehebat para pejuang Islam yang sanggup syahid. Aku ini insan yang baru belajar dan masih membina kekuatan.

Walauapapun, aku ucapan Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua umat Islam. Semoga kita berjaya mengharunginya dengan baik dan lebih baik daripada dahulu.

Mohon maaf pada semua, pastinya ada yang kurang selesa dengan saya. Mohon segala kesilapan itu dimaafkan agar tenang hati kita beribadah pada ramadhan ini...inshaAllah.

Thursday, August 5, 2010

Novel - Imam Hanbal



Hari ini tamat aku menghabiskan novel sejarah Imam Hanbal. Aku mula tertarik membaca novel sejarah Islam semasa aku berada penggal akhir di tahun 2 perubatan. Buku bertajuk Tariq Az-ziyad. Aku terpandang tajuk itu,aku teringat seorang doktor haematologi yang mengajar aku, seorang yang macho sehingga ramai pelajar pErempuan memujinya tetapi sudah beranak tiga paling kurang. Akan tetapi, beliau juga pemain kriket sama seperti aku juga yang meminati kriket ketika itu. Beliau berpindah beberapa bulan kemudian. Semasa kehadirannya dalam dunia aku, beliau bukan setakat guru(doktor pensyarah), malah dia juga seorang yang mesra pelajar. Semasa bermain kriket sekalipun,dia selalu bertanya soal pelajaran kami semua. Sehinggakan semasa exam sudah dekat, aku seorang diri bermain kriket bersama-sama beliau dan  doktor-doktor pakistan yang lain. Beliau pelik mengapa aku masih bermain kriket sedangkan kawan-kawan aku study hard,ditambah pula exam medic ni bukanlah mudah. Aku menjawab " it is Ok". Aku tersenyum. Beliau sendiri menjawab soalan sendiri," sometimes,we need  a few minutes to get rest.To release your tension.hmm.. ". Dia juga doktor yang menjadi idola aku semasa bermain. Power! Gerun aku melihat cara balingan dan pukulan dia.


Kini,berbalik soal novel bertajuk Imam Hanbali. novel yang menceritakan sejarah tokoh Islam yang begitu wara' dan tekun dalam menuntut ilmu. Di tambah pula memiliki keturunan yang baik dan dihormati. Novel ini banyak memberi aku gambaran bagaimana tokoh Islam bangkit dan menjadi kuat.

Persoalan :

1. Bagaimana mereka menjadi seorang yang kuat dalam mengharungi suasana yang serba kekurangan? Makan dan minum yang tidak menentu?mereka tidak meminta-minta sebaliknya sanggup bekerja keras untuk upah yang tidak seberapa. Muhammad, bapa kepada Iam hanbali yang meninggal dunia beberapa bulan sebelum kelahirannya, telah jatuh sakit semasa beliau bekerja keras mendapatkan upah daripada pekerjaan memetik kurma, mengembala kambing dan mengangkat barang.Sufiah,isterinya, ibu kepada Imam Hanbali pula terus mencari nafkah selepas pemergian suaminya. Demi menyara anaknya dengan makanan yang halal.

2. Bagaimana mereka memastikan kehalalan makanan mereka? Begitu teliti mereka memasukkan setiap butir makanan ke dalam perut? Hebat,sehingga sekecil perkara pun diambil kira.

3. Bagaimana pula mereka memastikan ilmu yang dipelajari itu kekal bertapak dalam ingatan tanpa ada yang tersilap dan terlupa?

4. Apakah rahsia yang membentuk hati mereka sehingga kuat tidak takut pada selain Tuhan?

5. Adakah aku mampu memiliki sifat dan kehebatan seperti mereka? Terasa ia suatu yang amat mustahil. Perbandingan antara langit dan bumi. terlalu mustahil untuk bertemu. Namun, aku hanya insan lemah yang mahukan merea itu menjadi idola buat aku.


Pengajaran yang aku fahami daripada novel ini :

1. Menuntut ilmu hendaklah seperti kita mencari makan dan minum. Bersungguh-sungguh.

2.Beribadat kita mestilah mencontohi rasulullah dan menghidupkan sunnah itu suatu kewajipan agar kita diberkati tuhan.

3. Sentiasa tawaduk dan membantu insan yang memerlukan.

4. Menghormati ibu bapa dan sesiapa saja.

5. Jangan berdebat mengikut nafsu dan pada saat yang tidak memaksa.

6. Sentiasa bersyukur dan redha dalam setiap ujian. Bersedia menghadai dugaan dan mengharap bantuan daripada Allah. Berpegang teguh pada akidah yang benar.

7. Takutlah kita hanya pada Allah.

Menjejaki bumi SMKDO


5 Ogos 2010, aku mencipta sejarah peribadi yang aku rasa aku sudah mahu lupakan harapan ini, namun aku balik ke sini  membuka peluang mencipta sejarah  dengan menjejaki sekolah lama sebagai seorang yang mahu menyumbang sesuatu.
Tandas terbuka yang menjadi 'kebanggaan sekolah' sebabnya siapa yang buat hal akan terus diperhatikan oleh orang yang lalu lalang. hmmm ada pro dan kontra. hmmm.. kalau aku di zaman sekolah, mungkin aku tak akan jejak tandas ini kerana aku jenis yang pemalu dan control macho! hhih


Aku tau aku bukanlah secemerlang pelajar lain, aku hanya insan lemah, daripada keluarga yang sederhana pendidikan mahupun harta, dan tiada tunjuk ajar dalam pengajian di sekolah menengah kerana keluarga aku tidak mampu lagi membantu kerana keterbatasan dalam pendidikan. Aku berjalan menuju ke menara gading dengan sokongan semua orang termasuklah orang-orang di surau kampung aku. Sedia memberi semangat!

Hari ini, aku kembali setelah meninggalkan SMKDO hampir 5 tahun, jangka masa yang tidak lama sangat. Akan tetapi cukup bagi aku merasa banyak perubahan dalam alam persekolahan ini. Aku hadir dengan pelbagai perasaan iaitu takut,gembira,segan dan macam -macam lagi. Mahu berbangga setelah habis belajar di sekolah ini pun tidak dapat mahu dilonjakkan sangat kerana siapalah aku mahu membanggakan diri yang tiada nilai di sisiNya. 

Aku ke sekolah lama, SMKDO untuk mendapat penjelasan lebih lanjut soal program motivasi yang cikgu kimia aku cadangkan. Rupanya, cadangan itu masih di peringkat idea lagi. Aku ke SMKDO sebagai suatu kejutan untuk merealisasikan program ini. Pergh!!... aku pula yang terkena. Tergelak kecil dalam hati aku. Maklumlah, siapalah aku untuk memberi motivasi. Mahu bermodalkan SPM lalu, alahai kecilnya aku di sisi pelajar medic di USM ni. Tiada siapa pun pandang aku. Kalau ada pun, pandang dan gelakkan saja kerana pelajar cemerlang dari kampung kononnya tewas mudah dalam dunia perubatan menjadi pelajar biasa-biasa saja. Alhamdulillah, tujuan aku di universiti sebagai pelajar perubatan bukanlah untuk menjadi pelajar cemerlang tetapi aku mahu menguasai ilmu perubatan dan menjadi doktor yang terbaik buat pesakit aku. Aku akan berusaha gigih. Walaupun aku lemah. Aku akan membaiki segala kelemahan aku. Jika aku tewas, aku masih ada kudrat membaiki kesilapan. 


Tujuan program ini bagi memberi semangat kepada pelajar SMKDO terutamanya tingkatan 4 dan 5 agar lebih gigih study untuk SPM. Dalam masa yang singkat ini, apakah yang harus mereka lakukan agar SPM dicapai dengan baik dan cemerlang? Apakah yang harus aku dan rakan-rakan lain berikan untuk membantu mereka ini? Adakah layak atau adakah mereka sudi meluangkan masa, menahan kelopak mata daripada terus jatuh menutup kornea jernihnya untuk melihat kami atau memperkasakan hati menelaah tiap butir perkataan yang masuk menggetarkan gegendang telinga mereka? Mampukah kami mengubah mereka jika mereka sendiri tidak mahu berubah?



Wednesday, August 4, 2010

Rimba Maghrib


4 Ogos 2010, aku sampai dengan selamat dalam suasana sejuk pagi yang menusuk sampai ke tulang dinginnya kerana hujan sepanjang perjalanan dan lebat ketika menjejakkan kaki di bumi sendiri. Tambahan pula, aku dalam keadaan tidak berapa sihat mengikut kiraan sendiri\,terasa badan sejuk semacam mungkin aku demam tetapi masih demam biasa.



Aku bercuti tiga hari dan hari pertama aku sepetang bersama dua orang rakan melepak di Parit Simin untuk makan petang. Tauhu goreng makanan yang ringkas tapi  menjadi kegemaran aku sejak diperkenalkan oleh rakan-rakan  memandangkan aku jenis yang tak suka makan makanan berat-berat semasa melepak di gerai.



Selesai di situ, aku ke Teluk Wawasan untuk menangkap gambar  suasana petang. Hanya memerhati alam sebuah teluk yang menjadi tempat 'singgahan'  ketika dalam kecelaruan...

Tuesday, August 3, 2010

Makna

Bacalah,sebuah doa atau kta-kata seorang hamba pada Tuhannya... untuk aku fahami dan mengerti..

Ya Allah, Yang maha Pengasih,
Sesungguhnya Engkaulah yang menemukan kami dengan saudara2 kami,
Walau tidak dipinta, Namun itu yang Kau putuskan buat kami,
Supaya kami saling mengenali,
Saling melengkapi...Sesungguhnya kami bersyukur dengan nikmatMu Ya Allah...

Ya Allah,
Satu yang kupinta,
Hasratku mahu berkongsi apa yang baik dari diri ini bersama mereka,
Supaya kami sedar akan keAgunganMu,
Dan bertambah jua ketaqwaan kami kepadaMu,
Namun Ya Allah,
Andainya keburukan diri membatasi kebaikan diri,
Aku redha Ya Allah,
Jauhkan sahabat2  dari diri ini,
Moga tempiasnya si minyak hitam tidak mengena mereka...

Ya Allah,
Berikanlah yang terbaik buat mereka,
Peliharalah mereka, agama mereka dan akhlak mereka dunia dan akhirat...
Sesungguhnya Engkaulah yang lebih mengetahui setiap sesuatu itu...

Istajib du'a ana Ya Allah, Istajib Du'a ana Ya Allah, Istajib Du'a ana Ya Allah. Amin.

Monday, August 2, 2010

Jom Baca!



2 Ogos 2010, inilah buku yang baru aku beli, tapi sudah dipinjam oleh dua orang. Tinggal buku Imam Hanbali dan Perang badar serta majalah Solusi. 

Berhabis duit untuk mempelajari ilmu  sejarah silam dengan duit biasiswa. heheh.. Duit rakyat tu, so, tak boleh kedekut guna duit rakyat. eheheh... 

Mari membaca di musim cuti konvokesyen untuk pelajar medic universiti aku.


Pemerhatian