Saturday, July 31, 2010

Lupa Sejarah Diri



Riadah daripada catatan Kembar Tuah:

Suatu masa dahulu, ketika aku di alam persekolahan, terutamanya di sekolah menengah -SMKDO
aku seolah berjaya mengeluarkan diri aku daripada lembah kelemahan. Satu per satu kemahiran dan pencapaian dalam akademik aku gilapkan. Semuanya itu bermula semasa umurku 13 tahun. Ketika di sekolah menengah rendah(tingkatan 1-3),buku rujukan aku hanyalah daripada buku abang aku dan kembar aku. Memandangkan sesi pembelajaran aku berbeza dengan kembar aku. Maka buku rujukan itu sering kali aku pinjam dan ada kala aku buat tak tau je simpan buku tu macam harta sendiri. Mahu beli buku rujukan tu perlu duit dan masa tu aku tak ada 'nafsu' pun nak beli buku rujukan. Aku siap bertanya, " buku rujukan tu apa ya? Bagus sangat ke? Kalau tak beli boleh tak? Guna buku teks sekolah tak cukup ke? Nak beli buku tu guna duit yang banyak?". Inlah persoalan yang aku tanyakan dalam diri aku. Kembar aku ni rajin sikit, ada je upah yang dia dapat. Aku pula seorang yang malas dan aku suka gunakan akal licik aku untuk mengelak daripada melakukan kerja. Tapi bila aku dicabar untuk melakukan sesuatu,aku akan pastikan ia disempurnakan dengan baik. Contohnya,ketika raya, aku ternampak nenek aku menganyam ketupat. Aku cemburu kerana tak tau nak buat. Aku belajar dan aku tak boleh buat. Aku cuba hari itu juga untuk faham dan sedaya upaya aku buat. Malah hari itu juga, aku berjaya menganyam ketupat pelbagai jenis sebab asasnya aku sudah mahir. 

Berbalik soal buku rujukan, ia seolah eksperimen aku dalam hidup aku. Aku mengoptimumkan penggunaan buku  tersebut. Setiap kali ujian, aku lepas dengan cemerlang. Sehingga aku merasa  sedih bila tidak dapat mendahului markah sesuatu subjek. Padahal, markah sudah cukup baik. Inilah persaingan sihat. Aku gembira dengan hasilnya. Keputusan PMR seterusnya melayakkan aku memegang biasiswa Telekom Malaysia . Semasa mengisi borang ini, aku ingat lagi suatu malam, ayah aku mengeluarkan borang biasiswa yang aku yakin borang itu merupakan borang yang telah digunakan oleh kawan ayah aku. Sebabnya, setiap petak itu, ada kesan pemadam dan karbon pensel yang berbaki. Huh! masa ini jiwa remaja aku masih bergelora. Aku memberontak sebenarnya. Aku katakan, " mengapa ambil sisa borang orang lain untuk saya apply biasiswa?". Ayah aku diam sahaja. Emak aku pula hanya memandang borang dan isi petak kosong dengan penuh perhatian sambil memadam kesan tulisan yang tertinggal. Ayah aku seakan mahu segera borang itu diisi sebabnya tarikh tamat permohonan adalah esok. Borang permohonan yang sudah tercerai helaiannya. penentu masa hadapan aku juga rupanya. Aku membaca peringatan di bawah borang itu agar tidak diceraikan helaian itu atau mungkin permohonan anda akan ditolak. Aku sudah merasa sia-sia saja permohonan biasiswa daripada syarikat besar ini. Dalam bising mulut aku merengek sebab masa tidur aku diganggu, akhirnya borang itu siap diisi. Semuanya emak dan ayah aku buat. Aku hanya tandatangan. 

Biasiswa Telekom Malaysia aku terima RM800 setahun, sudah cukup memberi nikmat yang besar buat aku kerana dapat membeli buku rujukan yang banyak di tingkatan empat dan lima. Alhamdulillah. Malah, aku juga membantu adik dan kembar aku membeli buku rujukan mereka walaupun sedikit kedekut sudah timbul. ehehe..Ketika inilah, baru aku merasa perubahan hidup aku, ketika kedua emak dan ayah aku tidak perlu mengeluarkan duit untuk membeli alat tulis mahupun buku. Maka naiklah harga duit makan semasa disekolah.. huh..Nikmat tu.

Dahulu, ketika aku membaca dan membelek bahan bacaan akademik aku, sungguh mudah otak aku menangkap dan hafal notanya. Sekali imbas, otak menyimpannya dengan baik. Mungkin kerana bahasa Melayu.

Hari ini, aku di bidang medic, jauh sekali pengalaman itu. Mungkin sebab bahasa Inggeris aku lemah. Aku berulang kali membelek dan berkali kali aku hafal. Sehingga aku tertekan dan asyik lupa sahaja. Mengapa? Mungkinkah ini dugaan atau balasan atas kesombongan aku suatu ketika dahulu sehingga melupakan sahabat aku yang dalam kepayahan seperti mana aku sekarang ini menghafal? Aku tidak tahu. Walaupun hari ini, aku merasai kepayahan itu,aku masih belum tewas untuk berputus asa kerana hatiku ini milik Tuhanku. Tuhanku menyuruh hambanya bersyukur dan sentiasa berdoa padanya.Meminta bantuan daripadaNya. Inilah nikmat dalam ujian Tuhan agar aku menjadi insan yang memahami erti suatu perjalanan. Bukan mudah dan bukanlah suatu penyeksaan. Sesungguhnya aku memohon maaf atas kesilapan aku atau kelalaian aku pada masa lalu. Benarlah, peringatan seorang guruku ketika aku berada di matrikulasi. Ketika itu,aku melawat ke sekolah untuk melengkapkan keperluan tertentu. Masa itu, guru kelas aku keluar daripada kantin terserempak dengan aku dengan mukanya yang senyum amaran dan tangannya naik menunjukkan jari tanda beringatlah kamu dan jangan sombong serta lupa diri melalui pergerakannya. Aku terpinga-pinga ketika itu. Aku tidak sempat berkata apa dan hanya balik dengan hati muram memahami apakah mesej cikgu itu. Aku cuba mengejar cikgu itu, namun belum sempat kaki melangkah, beliau seakan sudah tahu aku akan menemuinya,beliau memberi isyarat jangan jumpa dia ketika itu. Aku terpaku buat kali kedua. Sahabat aku semuanya menakutkan aku dengan pelbagai hipotesis,tetapi tak ada satu pun yang berjaya menenangkan atau menggoyahkan hati ini. Hanya aku dan persoalan itu saja. Hari ini, jawapannya sudah aku faham. Terima kasih ya cikgu semua. Jangan sombong dan sentiasa merendah diri.

Bayangkan, anda yang dahulunya dipuji dan mendapat tempat yang istimewa, hari ini anda di bawah dan tiada siapa hiraukan anda. Hanya beberapa orang sahabat yang kekal mengenli anda. Sedarlah dan bersyukurlah pada Allah moga kita tidak semakin jauh daripadaNya.Hidup ibarat roda-pesanan nenek aku ketika aku kecil dahulu.Teringat lagi aku ketika itu mempermainkan kata-kata beliau sebabnya,umur muda yang tidak matang memahami mesej tersebut.

Thursday, July 29, 2010

Andai

Andai anda berada di ward kecemasan :

situasi pertama:

Anda memerhati di Red Zone(ward khas untuk kes emergency yang melibatkan nyawa dan kes parah- life treatening), kelihatan seorang pesakit yang terlibat dalam kemalangan dengan kecederaan parah di muka,tangan,kaki dan badan.Matanya biru kehitaman seperti mata panda(mungin patah di bahagian dasar tulang tengkorak kepalanya). Satu per satu 'botol' air ditukar dan bag darah silih diganti. Kelihatan sungguh cemas dan mendebarkan. Tiba-tiba kamu terdengar doktor kata, patient asystole(tak berdenyut nadinya) dalam sibuk mereka menguruskan pesakit itu. Kamu lihat doktor dan jururawat bertukar ganti membuat CPR(menekan dada pesakit berkali-kali dan memberi pam oksigen di mulutnya). Satu per satu picagari diambil dan dimasukkan ubatnya ke dalam salur darah pesakit.
Seorang pembantu perubatan ketika itu memanggil waris pesakit iaitu ibu dan ayahnya untuk datang kepada pesakit dan mengajarnya mengucap. Kamu perhatikan seorang ayah yang tabah mukanya membisikkan kalimah syahadah. Ibunya pula, seolah mahu menafikan kejadian ini. Air mata ibu itu sudah cukup menyentuh hati setiap anak adam.Namun, si ibu itu masih rasional dan mampu mengawal dirinya walaupun tangisannya itu menunjukkan betapa sedih dan parah hatinya menanggung pemergian anak yag pernah bersama dalam hidup selama bertahun-tahun itu.

Anda pastinya merasa sedikit simpati bukan?
Jika anda sudah merasakan betapa perit keadaan itu bukan sebab simpati,mungkin sifat empati itu ada di jiwa. Merasa kepayahan insan lain .




Pagi tadi, 29Julai 2010, setelah selesai ujian bertulis, aku melepak di Jabatan A&E, di kaunter triage.
Triage : to sort, atau dalam bahasa kampungnya, process untuk mengelaskan atau membahagikan kes pesakit mengikut keparahan dan keadaan pesakit. Kod Hijau(Kod pesakit biasa yang boleh menunggu giliran),Kuning (Kod pesakit 'sederhana' yang terpaksa menunggu jika ada kes yang lebih serius), Merah (kod kecemasan dan mesti diuruskan segera)atau Hitam(kod untuk pesakityang sudah meninggal dunia).Biasanya di triage, tiada kod hitam pun.

Semasa di triage ni, sekumpulan pelajar medic tahun 1, lalu dan tersenyum tanda mesra setelah tamat sesi lawatan di Jabatan A&E.Perempuan tu semuanya. Mereka mahu tegur aku tapi aku rasakan  mereka sukar untuk melakukannya. Aku faham situasi mereka. Pemalu dan kurang yakin. Aku bertanyakan pada mereka itu dan ini. Akhirnya, mereka pun bertanya pada aku  soal kes kecemasan yang mereka lihat.

" Bang,hmm saya tengok pesakit kemalangan,luka sana sini, kesiannya. Teruk kecederaan dia. Abang tak rasa takut ke? Rasa kesian tak masa nak tolong pesakit macam tu?

Mualalah aku mengatur ayat aku dalam keadaan hypoglycaemia (gula dalam darah rendah sebab puasa sunnat hari khamis, sebab lama tak puasa sunnat,rasa bertanggungjawab untuk start puasa)ditambah perut yang dalam kesakitan sebab tak sihat seminggu ini.

" kamu dah belajar kan pasal empati dan simpati kan? Itu adalah simpati namanya,jadi kamu tidak boleh membiarkan ia terus menguasai kamu. Abang pun dulu sebelum ambil medic ni, tengok darah pun takut, tengok jarum lagilah takut. Tapi sebab dah masuk medic, kenalah berani. Kamu jangan risau, kawan-kawan abang pun ada yang masih takut ambil darah, masuk bilik bedah pun rasa gementar. Tapi semua kawan-kawan abang tu sudah berani hari ini. Mereka belajar untuk berubah menjadi insan yang mampu berbakti walaupun ada kelemahan. ok?"

Mereka pun menganguk-angguk tanda faham atau makin pening pun aku tak pasti lah.. Salah seorang daripada mereka berkata:

" Abang tahun 5 kan? mesti banyak belajar dah"

Aku tersenyum kelat menahan sakit badan yang datang dan pergi dalam memikirkan apa yang harus aku jawab ni untuk aku berikan sesuatu mesej yag lebih bermakna berbanding aku bercakap soal pandangan aku yang mungkin mereka gembira mendengar tetapi tiada mesej yang dapat. Ya, aku dapat idea.
" Hmmm..ya final year student. Banyak belajar dan banyak lupa dan banyak stress. eheheh.(tergelak semuanya). Ya, bagi abang, kamu tahun satu kalau free masuk sajalah hospital bersiar-siar ikut senior kamu ke ward. Cari pengalaman." Aku masuk tapik baru tanpa menjawab penuh soalan mereka.

Mereka bertanya balik" Tahun satu boleh ke ward ke bang?"

Aku menjawab dengan yakin, " asal kamu ada white kot dan matrix card,semua tempat boleh kamu pergi. Tapi dengan syarat, kamu mesti pergi dengan senior kamu. Setiap tempat ada peraturannya. Kalau dari tahun 1 lagi kamu sudah bermain dengan dunia perubatan, inshaAllah tiada masalah kamu dalam mengadaptasi dalam dunia klinikal, di tahun 4 dan 5 nanti. Macam abang ni, slow sikit dalam medic ni sebab lambat dan kurang proaktif. Kamu mesti yakin, berani dan bijak ambil peluang,"

Walaupun aku sebenarnya tak pasti tahun satu dibenarkan ke ward atau tidak, tetapi nasihat aku itu menyuruh mereka pergi ke ward bersama senior adalah logik dan selamat. Bukan mahu melanggar peraturan tetapi mahu mereka lebih terdedah kepada dunia perubatan sebenar daripada melakukan study style yang klise sepertimana aku dan kebanyakan medical student. Kelemahan aku itu,adalah kekuatan aku untuk aku modalkan dalam memotivasikan saudara aku yang lain. Aku tidak mahu kesilapan dan kelemahan aku itu dihadapi oleh adik-adik aku dalam dunia perubatan. Ya, aku sedar, betapa ramai doktor yang hebat dan ternama. Namun, tak semua yang hebat itu berjaya menyampaikan motivasi kepada aku dan pewaris medic iaitu medicla student. Mereka doktor yang hebat sentiasa berjaya dalam study dan jarang menemukan kelemahan dan masalah. sehingga berada di puncak dengan stabil. Namun, kehebatan mereka umpama matahari yang gagah memancar. Namun, suatu masa jika matahari berhenti bersinar, maka gelaplah dunia kerana tiada pewarisnya.  Sebab itulah, ada gagal dan berjaya. Kegagalan adalah anugerah Tuhan untuk menemukan kelemahan kita agar segera dibaiki.


p/s:
Situasi di atas sekali yang aku sampaikan,adalah situasi sebenar aku hadapi dan aku antara yang terlibat dalam melakukan CPR kepada pesakit tersebut. Walaupun aku tahu pesakit itu seolah tiada harapan lagi. Tetapi usaha itu lagi penting berbanding berdiam diri membekukan usaha dan kudrat.
Ya, terasa betapa sayang seorang ayah dan ibu terhadap anaknya apabila mereka disamping anaknya yang sudah pergi sebenarnya.

Friday, July 23, 2010

Diari Jumaat


23 julai 2010, aku ke kuliah Tok guru di KB. Tapi, Tok Guru tak ada. Ustaz  siapa yang ditugaskan untuk menyampaikan kuliah tersebut pun,aku tidak kenal sangat. Aku jarang ke sini pada hari jumaat untuk mengikuti majlis ilmu yang amat bernilai ini kerana masalah pengangkutan dan lain-lain.Ustaz berbicara  tentang kelebihan surah al Mulk, yang mana surah ini akan memberi banyalk kelebihan pada pembacanya dengan izin Tuhan.

Surah ini yang membawa maksud kerajaan,menceritakan Allah memberi kerajaan pada semua, Namrud,Firaun,Nabi Daud,nabi Sulaiman,dan lain lagi. Mengapa Allah memberi kerajaan pada orang kafir walaupun tak redha....kerana tiada nilai dunia di sisi aAlah..walaupun,jika ada nilai setitik air, nilainya  nescaya allah tidak beri pada orang kafir.


Selanjutnya,....
Bagaimana kita boleh  merasa lemah tiada kuasa untuk bangkit,sedangkan ketika awal nabi membuka mekah,baginda sudah yakin bahawa islam akan menumpaskan Rom dan Parsi. Munafik dan musyrikin menafikan. Sehingga zaman pemerintahan saidina Umar, beliau telah merealisasikan kata-kata nabi. Hari ini negeri islam wajib yakin dengan Islam. Akan tetapi aku risau bila ustaz ini mengutarakan isu royalti minyak,ingin sangat harta itu ,membuat aku risau akan nikmat yang banyak itu menjadikan rakyat kelantan khayal,leka. Aku percaya,semua ini adalah ketentuan Tuhan,menahan nikmat itu daripada diberi pada kita. Kesusahan itu membuat seseorang itu kuat. Aku percaya falsafah itu.Aku lahir dalam keluarga yang serba kekurangan tetapi sedehana.  TV pun ada kala rosak,tiada akhbar atau buku2.Hanya alam dan sedikit sumber ilmu. Aku bangkit dalam susah. Sehingga nikmat bertambah,aku tewas dalam senang. Aku sedar akan lemahnya aku tika nikmat bertambah. Sebab itu aku faham mengapa rasulullah memilih untuk bersederhana dalam hidup. Mengapa aku tidak menjadi sepertinya?

Bergantung pada tuhan adalah kunci kejayaan umat islam. Munafik itu ramai,berhati-hati dengan golongan ini. Percayalah segala yang ada di langit dan di bumi serta semunya itu milik allah. Dialah yang memberi kita rezeki.

Setiap yang hidup pasti akan mati.ingatlah perkara yang pasti moga kita sedia menghadapinya.

Tuesday, July 20, 2010

Konsert Dan Palestin



19 Julai 2010, hari ini baru aku sedar blog aku semakin menemani hari-hari aku umpama sebuah buku mencatat segala yang terbuku di hati. Dengan kata mudah, blog aku sudah menjadi sebuah diari indah untuk aku catatkan. Hakikatnya diari sebenar masih aktif seperti biasa. 



Malam ini, diadakan konsert Shaoutul Harakah,kumpulan nasyid dari Indonesia dan juga perkongsian sukarelawan yang terlibat sama ke Gaza baru-baru ini. 


Komen tentang kumpulan nasyid ini, aku sebenarnya suka akan penampilannya yang santai dan tidak berlebihan sangat. Walaupun aku tidak dapat tangkap setiap baris liriknya,bukannya lagu mereka tidak faham tetapi aku yang lambat tangkap memahami lirik. Hehe.. Pada pandangan aku, aku suka dan memuji kumpulan ini yang membuat persembahan malam ini. Aku terhibur dengan peringatannya melalui lirik yang penuh dengan zikir dan peringatan sebagai hamba Allah. Siapa mereka sebenarnya,aku tidak tahu. Aku suka dengar lagu tertentu dan jarang ambil tahu sangat secara mendalam tentang seseorang artis itu.

Soal perkongsian sukarelawan itu, aku sangat terkesan dengan ayat " jika kamu tidak memperdulikan saudara kamu terutamanya mereka di Palestin, maka kamu juga tidak memperdulikan al-Quran". Beliau mempamerkan gambar-gambar dan video untuk tatapan hadirin yang aku rasakan sangat sedih kerana diri aku yang begitu lemah untuk mengakui " Ya,aku bersedia berjihad!". Realitinya,aku masih lemah! Aku tak mampu berlapar seperti mereka, aku tak mampu berpanas seperti mereka, aku tak mampu menghadapi situasi berdepan dengan askar-askar Israel yang kejam!.... Aku terdiam dan memerhatikan video yang penuh dengan insan-insan berjiwa ikhlas dan bagi aku,mereka itu umpama insan yang menjadi hamba kesayangan Ilahi. Memperjuangkan Islam dan membantu saudaranya yang dalam kesusahan. 



Bila aku memerhatikan mereka di video, aku teringat kata-kata seorang doktor orthopaedic ketika aku menjalani peperiksaan ulangan(remedial) kerana gagal dalam kertas peperiksaan tempoh hari. Katanya, " andai kamu tidak buat pembentangan topik dengan baik, study bersungguh-sungguh, macamana nak berjaya? Kata mahu pergi berjihad konon? Palestin? Tapi study pun malas? Buat kerja tak serius, macamana mahu berjaya?" . Aku terdiam. Walaupun hakikatnya, aku tidaklah seperti apa yang doktor itu katakan. Sebabnya, beliau tidak mengenali aku. Aku akan berusaha selagi aku bertenaga. Itu janji pada diriku. Selagi aku tidak mengantuk yang membuatkan aku buta ilmu, aku akan terus berfikir. Namun, sejak setahun dua ini, aku sering kali berada dalam keadaan sedikit tertekan. Aku mudah penat dan mudah mengantuk. Itu sudah cukup melemahkan aku dalam study. Mengapa? Aku sendiri masih mencari jawapannya.Biarpun aku lemah, aku tetap berusaha sehingga aku tinggalkan bilik untuk tidur di surau semata-mata untuk tidak tinggal Solat Subuh.  Mahu katakan aku riak? Terpulang pada kamu. Ini suatu perkongsian, jika kamu mahu berubah untuk jadi yang lebih baik,kamu mesti melakukan pengorbanan.



Konsert nasyid malam ini, sebenarnya ada sedikit kejanggalan bagi aku kerana nasyid bersambung setelah jiwa-jiwa penonton terusik dek perkongsian sukarelawan yang menyampaikan dengan penuh ikhlas bagiku. Sesuatu yang disampaikan dengan hati tidak akan sama kesannya dengan penyampaian seorang yang hebat berbicara tetapi memiliki hati yang kosong! Percayalah. Aku tidak pandai bercakap, tetapi aku memiliki motivasi yang besar suatu ketika dahulu. Sehingga meletakkan aku di sini..namun ia seolah telah pudar.. kemana harus kucari ganti...

Monday, July 19, 2010

Lagi dan lagi

19 Julai 2010, Isnin,hari yang aku tidak berpuasa sunnat kerana ngantuk pagi tadi membuatkan aku syook makan sarapan di cafe desasiswa. Ngantuk dan lapar. Namun, sebenarnya hari ini aku telah banyak belajar tentang ilmu perubatan dan motivasi diri. 

Petang tadi, aku menghadiri kelas bersama seorang doktor paediatrik. Hmmm bagi aku, kelas beliau ni sangat bagus. Konsep dalam usrah pun ada digunakan dalam sesi pengajaran beliau. Mungkin teknik ini tidak disedari oleh doktor yang mengajar kami. Cuma,aku yang mengaplikasinya demi mencapai suatu tahap kefahaman aku sendiri. Apa yang aku faham, konsep ini bermula dengan sesi taaruf atau pengenalan. Disusuli dengan sesi memahami dan seterusnya sesi bantu membantu atau takaful. Kalau tak silaplah, konsep ini diajar oleh naqib usrah aku semasa tahun pertama, yang mana aku ditugaskan menjadi ketua kumpulan usrah tu. Akan tetapi, la ni usrah aku entah ke mana, aku pun entah ke mana. Tidak mengapalah, aku masih di landasan yang benar inshaAllah. Kalau ada silap,aku terbuka untuk diperbetulkan. 

Berbalik  pada konsep itu, tajuk kelas kami adalah berkaitan dengan resuscitation in paediatric.Orang kampung kata, teknik menyelamatkan baby lahir bila ada masalah baby tak bernafas atau tak nyawa lah. Hmm kelas beliau bermula dengan sesi pengenalan alat-alat bantuan pernafasan dan ubat-ubatan. Aku kelaskan sesi ini sebagai sesi taaruf. 

Kemudian beliau masuk kepada sesi bagaimana mahu menggunakan alat-alat tersebut. Maka doktor pun mengajar teknik dan kesilapan yang mesti kami tahu. Bukan setakat di situ, doktor menyuruh setiap ahli di kumpulan kami ini melakukan setiap procedur itu. Ha! kat sinilah aku banyak belajar. Aku buat untuk  pertama kalinya, teknik aku masih tidak sempurna. Aku ulang lagi sehingga aku mengambil masa yang agak lama juga untuk mahir. Sedangkan kawan-kawan yang lain buat,sekejap saja. Huh!! tercabar aku!. Padahal aku biasanya mudah tangkap dalam bab amali ni. Tak lah seteruk hari ini. Aku buat-buat rilax je,padahal dalam hati sudah gundah gulana  mengapa masih tidak sempurna lagi teknik aku. Aku perhatikan diri aku dan teknik aku. Doktor juga membantu aku dan mengajar teknik dan petua dia dalam melakukan teknik resuscitation. Ha!! kan dah dapat petua sebab lambat tangkap. Yang penting jangan putus asa. Doktor punyalah explain kesilapan dan bagaimana mahu melakukan teknik tu tanpa ada rasa letih disebabkan posisi badan yang tak betul. Aku pun lega,setelah beberapa kali mencuba, akhirnya berjaya juga melakukan teknik itu dengan baik dengan tangan aku yang besar relatifnya(biasalah orang lelaki memiliki tangan yang besar berbanding perempuan. Mau pelempang sebijik pun sodap!! hehe).Sesi ini aku kelaskan sebagai sesi tafahum. Memahami setiap alat dan bagaimana untuk menggunakannya.

Seterusnya, sesi takaful, sesi di mana doktor memberi  suatu senario agar kami selesaikan senario itu berdasarkan apa yang telah diajarkan. Teori tanpa amali,sangat sukar! Bagi aku, doktor ini telah mengajar dengan begitu baik lagi. Bermula daripada pembahagian kumpulan sehinggalah ke akhirnya. Pembahagian kumpulan itu penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan setiap ahli kumpulan mendapat ilmu dalam sesi pengajaran.Jika terlalu ramai, maka susah ilmu itu disampaikan dengan baik.Itu realiti, bila ada puak-puak yang suka mendominasi. Maka anda akan ketinggalan untuk memahami sesi tersebut. Tertindas.

Berdasarkan pemerhatian aku, sesi yang menuruti konsep usrah itu lebih effective berbanding sesi yang acuh tak acuh dalam mengajar. Lebih-lebih aku sekarang ini berada di posting A&E(Jabatan Kecemasan-Accident and Emergency). Ilmu dan praktikal bergerak sejajar. Kesilapan itu biasa dan belajarlah daripada kelemahan diri. Kesilapan itu adalah suatu ilmu juga. Tetapi ilmu yang mengajar kita untuk tidak melaukannya di lain tempat dan waktu. Aku juga berada di sini bukan kerana otak aku cerdik atau pandai,akan tetapi aku mempunyai otak seperti orang kebanyakan,bersama usaha aku yang tidak jemu mencuba. Walaupun, orang pernah mengutuk aku, ketika result aku sedikit rendah ketika dahulu, " hmm tulah, kau study malam exam memang macam tu, aku dan group aku study seminggu sebelum exam" . Sebenarnya, aku sudah memulakan study aku sejak sebulan lalu, cuma aku study bab yang masih ditajuk yang sama tetapi tidak berada dalam skop peperiksaan. Tersilap langkah. Lagipun, aku tidak melakukan latihan kerana tiada contoh soalan tahun sebelumnya pada aku. Sedangkan mereka itu,sudahlah punya soalan,tetapi menyimpannya buat diri mereka.  Itulah, bila orang lain itu menilai kita tanpa mengenali siapa kita. Bersabar itu lebih baik daripada memarahi mereka.

Moga, aku dapat mengamalkan segala ilmu itu dengan baiknya. Moga Allah merahmati kami. Mengizinkan kami menjadi seorang doktor bila tamat sesi pengajian pada tahun 2011.



Saturday, July 17, 2010

Susah Untuk Berjiwa Seorang Penimba Ilmu

Hari ini 16 Julai 2010,Jumaat, hampir aku tidak ingat tarikh hari yang merupakan penghulu segala hari. Aku dengan rutin dan tanggungjawab aku sebagai pelajar. Malam kelmarin alhamdulillah, aku telah tidur secukupnya setelah oncall as a medical student at A&E Department. Doktor di jabatan inilah yang aku rasa doktor yang paling baik banyak mengajar dan memenuhi impian aku untuk berguru dengan doktor seperti mereka. Ya ,walaupun aku ini pelajar,tetapi banyak kelemahan aku yang wajib aku tinggalkan untuk membenarkan aku maju ke depan. Aku penakut, takut dimarahi, takut buat silap, takut akan kegagalan, tiada keyakinan, tiada kemahiran petah dalam pembentangan, otak yang lambat adaptasi dengan suasana baru, dan banyak lagi kelemahan aku. Sehingga ada kala, teori aku atau ilmu yang aku ada itu sukar aku aplikasikan dalam rutin harian dalam pengajian aku. Bukannya tidak tidak ingat, seolah susah untuk recall balik. Bak kata orang, ilmu tanpa amal,ibarat kereta mewah tanpa enjin. Tak mampu bergerak aku menabur budi pada pemiliknya.

Untuk menjadi pelajar, segala kelemahan itu wajiblah kita akui,sebelum terlambat. Jika kejayaan menempa namanya,usahlah merasa diri sudah cukup pandai,sehingga menafikan kelemahan diri dan kelebihan orang lain. Mungkin sampai suatu peringkat, diri akan merasa cemburu atau mempertikaikan pujian orang terhadap insan tertentu walaupun dia kelihatan pelajar biasa kerana bagi dia, insan itu hanyalah biasa-biasa saja inteleknya. Padahal, dirinya yang bongkak semakin lama semakin terperangkap dengan sejarah kejayaannya. Memang indah berjaya,sejarah itu pasti sukar untuk dilupakan, tetapi sejarah bukan untuk dikenang-kenang dan dibanggakan tetapi ia menjadi aset untuk kita menilai strategi dalam mencapai kejayaan seterusnya. 
Antara kelemahan yang paling sukar dibuang adalah merasa diri sudah pandai atau hebat. Kelemahan ini yang akan membelenggu seseorang dalam kemajuannya. Tak akan majulah insan sebegini. Kita memerlukan antara satu sama lain. Mengapa diri merasa sudah sempurna sedangkan enjin kereta sendiri pun tidak tahu untuk dibaiki, masak lauk pun tidak sesedap mana pun, dan banyak lagi yang kita perlukan daripada orang lain. Apa yang kita tahu, kita kongsikan, apa yang kurang kita minta pertolongan. Allah pasti menyukai insan sebegini daripada insan yang bongkak.

Biarpun,bidang perubatan bagi aku ini suatu bidang yang paling digeruni kerana kepayahan dan kemuliaannya, namun, usahlah aku atau sesiapa saja merasa diri sudah sempurna dengan ilmu. Sedangkan aku banyak belajar daripada mereka yang dari bidang berlainan dan pelbagai peringkat pengajian. Sehingga orang kampung yang tidak dapat belajar tinggi pun aku pernah belajar banyak daripada mereka tentang hidup dan erti seorang hamba Allah. Terima kasih semua.

Apabila usaha kita kurang berhasil, bila ingatan kita seolah sudah luput kekuatannya,apabila badan lemah tidak bermaya untuk berusaha, apabila mulut kaku berbicara,mata longlai memerhati, kemana harus kita harapkan? berhenti daripada berusaha? bila semangat juga menghilang tanpa jejak? bila sahabat juga meragam tak tentu pasal? Adakah mahu berputus asa hidup di dunia? Ingatlah, usaha itu tiada batas, lakukanlah selagi ada nyawa.Nyawa itu bermaksud, aku dan kalian wajib berusaha. Percayalah. Merayu padaNya agar Dia memberi kejayaan pada kita semua!

Aku mengharap dan akan berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik dan terbaik untuk diri ini. Namun, bukannya mudah. Setiap apa yang kita lakukan itu pasti ada cabarannya,

Wednesday, July 14, 2010

Kekuatan Daripada Kelemahan


14 Julai 2010, Rabu, hari yang hampir pada minggu pertama aku di posting A&E. Cukup hebat cabaran bila merasai aku sudah di tahun akhir. Aku kini perlu dan wajib memastikan usaha aku lebih kuat, dan fokus dalam study. Memang benar segala ilmu itu miliknya,kepadaNya kita memohon segala pertolongan. Dia akan membantu hambanya yang sentiasa meminta padaNya dengan usaha keras sejujurnya.

Dalam perjuangan ini, bidang perubatan bukanlah bidang yang terlalu rigid untuk merawat pesakit, memberi preskripsi ubat,dan kaunseling, tetapi kami juga ada kala terpaksa bergelumang dengan masalah yang mungkin tiada kaitan dengan perubatan secara langsung tetapi terpaksa dihadapi dengan tenang. Apa yang aku maksudkan ini, adalah soal emosi. Apabila seorang doktor yang merawat pesakit yang agak kronik, pelbagai rawatan dan perkhidmatan diberi dengan terbaik buat pesakit. Secara tidak langsung, hubungan antara doktor itu dengan pesakit semakin rapat. Memang ini bukanlah pilihan tetapi suatu ikatan yang tidak diketahui di mana ia terbentuk,dan bilakah ia terbentuk. Apa yang sudah disedarinya, emosi doktor itu akan berubah jika berlaku apa-apa terhadap pesakit terutamanya apabila pesakitnya telah pergi buat selamanya. Bayangkanlah. Seorang doktor merawat pesakit seperti ahli keluarganya atau sahabatnya, hubungan antara mereka juga semakin erat atas pertemuan yang kerap semasa memberi rawatan. Akhirnya mereka terpaksa berpisah oleh kerana dua dunia yang memisahkan. 

Secara logiknya,seorang sahabat rapat pasti akan menangisi pemergian rakan baiknya. Seorang ahli keluarga akan menangisi juga pemergian ahli keluarganya yang lain. Ini adalah lumrah alam. Normal. Begitulah seorang doktor. Terpaksa menghadapi situasi ini. Apabila pesakit meletakkan harapan di bahunya. Begitu berat seorang doktor mahu memikulnya, dan seperti itulah juga berat untuk menerima pemergian pesakit-pesakitnya. Akan tetapi doktor bukanlah Tuhan. Terpaksa menghadapinya dengan bijak dan tenang. Aku juga sebagai pelajar juga telah menghadapinya jika pembaca ada melihat entri sebelum ini.Ya, walaupun aku masih pelajar, apalah sangat yang aku mahu tolong. Akan tetapi, semasa proses pembelajaran itulah, aku telah rapat dengan seorang pesakit. Itu semua ketetapan yang aku tidak dapat elakkan. Berlaku begitu pantas sehingga aku sendiri tidak sedar. Akhirnya, aku menerima berita pemergiannya secara mengejut tanpa alasan yang kukuh untuk aku percaya pemergiannya. Aku hampir merasa seorang sahabat yang baik itu,sering meminta tunjuk ajar dalam rawatan bila idak memahami apa yang doktor katakan padanya,dan ada kala meminta aku menerangkan tentang penyakitnya. Dalam masa yang sama, dia juga mengajar aku tentang kehidupan itu dan ini yang aku rasa aku perlu tahu untuk menjadi yang terbaik buat diriku. Aku sendiri tidak perasan betapa rapat persaudaraan ini. Aku ini pelajar yang belajar daripada pesakit. Akhirnya, aku juga terperangkap dengan emosi. Aku hampir bertekad untuk tidk lagi terlalu rapat dengan sesiapa kerana aku tidak mahu jadi seperti kisah lalu itu. Hakikatnya, aku silap. Aku tidak boleh jadi seperti itu. Sikap aku,adalah seperti itulah, memberi layanan yang terbaik mampu aku lakukan. Ia sifat aku yang aku rasa ia sangat baik. Cuma kelemahan aku. Tidak mampu untuk mengawal emosi bila sesuatu yang tidak disangka berlaku. Bukanlah aku ini seorang yang berjiwa lembut dan mudah menangisi tanpa ada sebab. Akan tetapi, kata seorang doktor dalam nasihatnya berdasarkan pengalaman beliau, jika kamu merasa seperti ini, usahalah risau kerana kamu telah lakukan yang terbaik buat pesakit,walaupun dia telah pergi.

Ini semua suatu cabaran. Nampak seperti jiwa seorang doktor yang lemah bukan? Sebenarnya, ia adalah suatu kelemahan yang menjadi kekuatan pada kami untuk menjadi seorang doktor yang terbaik. Percayalah! Itulah apa yang kami lakukan, terbaik buat pesakit pada tahap yang kami mampu lakukan. Kesilapan atau kecuaian itu pasti membuatkan kami lebih peka. InshaAllah.


Sebenarnya, itulah yang aku pelajari pada pagi ini. Dr Noraidah,Paediatrik. Akhirnya, dia memberi sedikit pengalamannya yang aku rasa sangat berguna buat aku. Sehingga katanya, andai sekali terperangkap dengan emosi itu, janganlah membina tembok atau penghalang dalam urusan bersama pesakit. Lakukanlah dengan terbaik. Apa yang berlaku itu semuaya ketentuan Ilahi atas apa yang terbaik kamu lakukan. Sedih itu biasa bagi manusia yang memiliki hati seorang insan yang penyayang dan memahami perasaan orang lain. 

Apa-apapun, entri ini mungkin agak berserabut dalam penyampaiannya. Jika ada yang terbaca, harap usah memeningkan kepala. Moralnya ringkas, buatlah yang terbaik untuk apa yang kita mahu lakukan. Buat atau tunaikan tanggungjawa dengan sempurna. InshaAllah, kalian akan jadi yang terbaik. 

InshaAllah, aku, kamu dan dia pasti akan jadi seorang yang terbaik, seorang doktor yang terbaik!... sesuatu yang tidak boleh dipermainkan atau ditipu adalah perasaan dan hati. Ia mampu ditutup tetapi sukar untuk bertahan selamanya andai hati itu mahu berselindung daripada hakikat kebenarannya.

Tuesday, July 13, 2010

Selamanya

13 Julai 2010, aku seolah masih tidak mampu mengawal diri. Rasa cuak,takut,gementar dan macam-macam lagilah yang bertapak dalam diri ini. Manakan tidaknya, aku pernah mengalami kegagalan yang aku sembunyikan pada rakan-rakan aku dulu. Kini, mereka sudah tau akan kegagalan itu setelah aku memberitahu mereka. Mengapa setelah  sekian lama aku melepasi kegagalan itu baru aku memberitahu mereka? Sebenarnya, ada antara mereka yang tidak mahu melihat aku gagal. Kalau aku pun gagal, mereka pun akan merasa lemah semangat. Bukan aku idola mereka,bukan juga aku ini seorang yang hebat. Akan tetapi, mereka itu sahabat yang mempercayai kekuatan aku. Aku seorang yang akan berusaha sehingga ke titisan terakhir. Itulah yang mereka letakkan kepercayaan pada diri ini. Sedangkan,sampai di universiti ini, aku hanyalah melukut di tepi gantang. Bagai pipit dengan enggang. Jauh beza itu dan ini. Aku bukanlah tahu selok belok di universiti ini.Memang aku berasa kekok. Namun, hari ini aku melangkah jauh sehingga berada di tahun akhir. Harapan aku, agar aku dan rakan-rakan semua lulus dan berjaya dalam peperiksaan tahun akhir ini dengan baik.

Beberapa ayat yang membuat aku bersemangat,

" tiada manusia yang bangun pagi-pagi, sedar je sudah pandai dan tahu itu dan ini. Semua orang kena berusaha keras"

" Setiap yang kamu baca hendaklah diulang-ulang beberapa kali, lia kali pun tak apa, biarlah ia letak dalam ingatan dan faham"

" Medic ini bukanlah sesuatu yang sukar,tetapi ia suatu bidang yang memerlukan usaha keras dan pengorbanan serta akhlak yang baik"

Saturday, July 10, 2010

Balik USM

10 Julai 2010, Sabtu, aku tiba di Kelantan dan masuk ke USM Kampus Kesihatan dalam pukul 7 pagi. Hari ini mungkin berbeza dengan hari yang lain kerana hari ini aku datang untuk bertarung di tahun akhir yang pastinya cabaran sudah paras tsunami kekuatannya, aku harus dan wajib embina kekuatan sekuat bahtera nabi Noah,agar aku tidak hanyut dibawa arus kelalaian dan ditarik oleh tangan-tangan yang tidak berguna yang mahu menghancurkan diri ini. Nampak seolah kejam, hakikatnya itulah yang semua orang perlu ada.


Ringkas saja catatan ini, kerana hari ini mungkin aku boleh aktif lagi berblog, mungkin selepas 10 bulan atau setahun selepas ini, blog ini mungkin menjadi hiasan sahaja. Mungkin juga setelah 3 atau 4 tahun, blog ini akan kembali aktif. Siapa tahu.

Semoga aku yang berada di tahun akhir ini mampu memperbaiki diri dan meningkatkan ilmu yang sepatutnya ada sebagai seorang doktor kelak. InshaAllah! Hanya padaMu aku berharap, Ya Allah.

Thursday, July 8, 2010

Ke Minyak Beku


8 Julai 2010, Khamis, hari-hari terakhir ini aku isikan percutian aku dengan mengembara ke beberapa pelusuk daerah tempat aku dilahirkan. Huh, terasa sedikit segan bila diri ini tak tahu jalan ke sana sini. Maklumlah, saya yang jarang berjalan dan jarang pula memandu kenderaan. Kiranya,aku buta jalan la.

Seperti yang kami rancang, mulanya mahu ke Minyak Beku ini pada hari Rabu, namun terpaksa dibatalkan. Hari Khamis menjadi hari terakhir jika batal, maka tidak dapatlah aku merasa menaiki motor ke sini. Alhamdulillah, dengan panduan google Map yang diprint oleh kawan aku,hehe dia pun tak tahu jaln rupanya,aku dan dia dapatlah sampai di tebing Minyak Beku yang suasananya seolah muram menyambut kehadiran aku.



Tiada apa coretan aku mahu sampaikan di sini, cuma jika kita mahu melakukan sesuatu, andai tidak tau sekalipun, tetapi hati kuat semangat, inshaAllah, ada jalan untuk mencapai hasratnya. Macamlah aku ini, tak tahu sebenarnya selok belok bandar, tetapi aku meminta kawan aku bawa aku ke sana sini agar aku dapat membiaskan diri. Macamlah jalan ke Kluang, kampung nenek aku, rasanya hampir 20 kali lalu lalang ke sana dalam setahun, sampai sekarang ini, aku tidak mampu untuk mengingatinya. Ya Allah, lemahnya hambaMu ini.

Wednesday, July 7, 2010

Santai Facebook

Mr F :Kalau kita fikir kita pandai, sebenarnya lagi beribu-ribu orang lagi pandai dari kita. Moral of the story, belajarlah sebanyak mungkin dan jangan sesekali fikir kau dah pandai!

Fadzli Shah : bukan melukut di tepi gantang tapi picomelukut(sangat kecil) di tepian gantang...mcam akulah...huhu... Poyo mcm bagus kan,korang kata kan...ehhe.. Tapi memang ayat ko aku sokonglah walaupun aku dari parti pembangkang ..heheh


Mr F : kau pandai dalam bidang kau, tapi tak semestinya kau pandai dalam bidang aku..and kau boleh bangga sekejap pasal tu.. tunggu sampai kau jumpa org lagi pandai, gempak, otai semua dalam bidang kau dan boleh buat kau terasa kecik je, baru kau tau langit tu tinggi ke rendah.. 

Respon aku: Wow! eh betul ke dia respon pada aku? hmmm.. redha saja.. :)

Sunday, July 4, 2010

Perjalanan Ke Melaka



3 Julai 2010,Sabtu, aku seperti yang dirancang akan bertolak ke Melaka, setelah aku tidak dapat menjejaki ke sekolah lama,SMKDO, Jumaat lalu untuk bertemu dengan guru-guru lama semasa hari terbuka.

Perjalanan kami pagi ini disambut dengan mendung kelabu dan hujan dipertengahan jalan. Alhamdulillah, sampai di Melaka setelah hampir 2 jam perjalanan daripada Batu Pahat. Cuaca kembali redup. Destinasi untuk ke Eyes of Melacca terpaksa dibatalkan kerana ia seolah tidak dibuka. Entah mengapa sebabnya,aku pun tidak tahu. Lalu, kami ke Menara Taming Sari. Harga yang perlu dibayar RM 10 seorang dewasa. Aku bersama kawan dan adik beradiknya. Aku tiada masalah dengan ketinggian tempat,maka aku tidaklah gementar untuk naik. Ketika aku mengambil tempat, terasa teruja untuk mengambil gambar semasa aku berada di 80m di atas menara ini. nanti Namun, semasa pergerakannya ke atas, tiba-tiba menara ini berhenti mengejut seolah memberi sedikit goncangan sama seperti teman tema. Ramai yang menjerit. Aku masih ligat mengambil gambar. Pada aku, ini mungkin perkara biasa tiada apa yang drisaukan. Kawan aku menyatakan, dia tidak pula pernah hadapi situasi sebegini. Inilah kali pertama.  Aku sudah mula risau. " tak merasa aku nak masuk final year kalau terhempas ni!" Aku berseloroh selamba walaupun kata-kata-kata macam ini menempah marah orang-orang tua. Celupar.Ketika itu, kami turun balik dan dinaikkan semula. Namun, baru menaiki beberapa meter, sudah terhenti mengejut. Menjeritlah lagi penumpang semua. Aku pula, semakin bertambah cuak. Mahu saja aku keluar. Ketika itulah,seorang abang berbaju kuning datang. Aku bertanyalah mengapa kejadian pelik tu berlaku. Dia pun menrangkan, mungkin berlaku ketidakstabilan dalam menara ini semasa menaiki tadi. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Walaupun, mimik mukanya pun sudah menunjukkan sedikit risau. Aku pun bertambah yakin sikit untuk menaiki ke atas buat kali ketiga. Alhamdulillah. Tiada masalah.  Pengalaman naik menara yang menakutkan juga ni. heheh...



Destinasi seterusnya, kota A Famosa. Yah, aku sudah lupa tentang sejarah lama ini. Menaiki ke atas sana dengan pelbagai ragam orang, pelukis gambar,pemain biola, pemain muzik lain dan sebagainya. Kelihatan juga photographer dengan kamera mahalnya. Ada juga yang menjeling ke kamera aku. Heheh.. seganlah pula dengan skill yang kurang dan kamera yang biasa-biasa saja. Pengalaman dan matlamat mesti dicapai kali ini. Destinasi seterusnya,muzium dalam kapal. Penuh dengan murid sekolah. Meriah di sana sani. Padahal, sejarah Melaka di situ tidak dapat menarik minat mereka untuk membacanya.  RM 3 untuk dewasa masuk ke dalam muzium ini. Rasanya, inilah kali pertama aku masuk ke dalam muzium ini. huh!




Kami meninggalkan muzium ini,kemudian mahu ke Zoo Melaka, tetapi malangnya sudah tutup. Malam pukul 8pm  baru dibuka kembali. Aiseyy! Tidak merasa untuk masuk Zoo Melaka. 



Sekadar inilah catatan aku untuk merekod perjalanan aku. Di blog ini, bukanlah aku meluahkan perasaan aku, akan tetapi, ia adalah sebuah tempat untuk meletakan segala catatan perjalanan dan mungkin bersamanya ada terluah perasaan yang aku tidak sedar.






Catatan Kembar Tuah :

Persahabatan yang lama itu indah. Akan tetapi, bukanlah mudah untuk menjaganya andai permulaannya sudah kau tau ia sukar berjalan lancar. Bersederhanalah dalam persahabatan ini.Biarpun, pertalian itu singkat, tetapi ia mungkin lebih bermakna dan lebih mendapat berkat dari Tuhan.


Apa-apapun, janganlah memutuskan persaudaraan.