Wednesday, June 30, 2010

Karya Yang Aku Kagumi ( edited by Che We)

Entri kali ini sengaja aku sisipkan beberapa karya photographer yang aku kenal untuk aku hargai kehebatan dan usahanya dalam bidang yang dia ceburi. Namanya Aswan Zakaria, photographer USM Kampus Kesihatan,Kubang Kerian, Kelantan. Dia menjadi guru kepada kelab photography. Aku pula menyertai Kelab Astronomi,tapi usah ditanyakan hal-hal astronomi. Belajarnya tidak istiqamah,mudah masuk dan mudah lupa juga. huh! Bayangkan kelab astronomi ini jarang diadakan sebabnya ia dijalankan pada waktu malam dan pada tarikh tertentu. Pastinya waktu kokurikulum yang dijadualkan adalah waktu lapang bagi ahli astronomi. Jadi, mulalah aku menyelit ke Kelab orang lain. Untuk dijadikan cerita, Kelab Photography inilah mangsa terakhir aku selepas Kelab memanah yang aku join sekejap sahaja.

Aku tertarik dengan Kelab Photography sebabnya aku minat  akan alam sekitar yang hijau dan segar, saat petang ketika mentari terbenam menghamburkan warna jingganya sehingga aku terpukau dek suasana sepi ketika itu,hanya kamera sahaja mampu merakam segala kenangan sesaat tersebut.

 
Gambar di atas ini,menunjukkan pemilik kepada  semua gambar di bawah.


Maka, di bawah ini, aku letakkan beberapa gambar yang telah diolah buat tatapan diri ini dan sesiapa yang sudi menerimanya. Tidak semua orang suka akan sesuatu yang diolah atau diedit. Tak semua juga orang suka apa yang kita suka.






 



.


Erti Sebuah Kegagalan



Sukar sekali untuk membicarakan soal tajuk entri  kali ini kerana bagiku, untuk menyebut perkataan itu pun sudah berat bagiku. Semuanya berpunca daripada kelemahan diri yang tidak menyiapkan hati dan mental dengan baik akan kebarangkalian yang akan terjadi. Dimudahkan cerita, semuanya berkaitan dengan pengajianku. 

Jika aku lulus dengan baik dalam peperiksaan, kawan-kawan sekolah aku tidak merasa hairan dengan kejayaan aku di univerisiti atau matrikulasi, akan tetapi kawan-kawan aku yang bersama aku  di universiti pula yang akan merasa hairan dengan kejayaan ini. Maklumlah, di univerisiti ini semuanya maha hebat. Aku ini kecil saja di sisi mereka yang ilmunya jauh melantun tinggi. Malah,gelaran 'bodoh sombong' pun sudah aku perolehi semasa sesi diskusi ringkas suatu ketika dahulu. Entah mengapa ayat itu terpacul di bibir kawan aku, sedangkan hanya pendapat aku lontarkan bukannya aku memaksa untuk menerima atau aku tidak menerima pendapat mereka bulat-bulat? Malah, ada saja yang menganggap segala kata-kata ini tidak boleh dipakai dan mesti dirujuk balik dalam buku. Mengapa? Sedih juga. Akan tetapi Tuhan itu maha adil. Aku masih tenang diambang kepayahan ini. Medic is not easy for me. Mungkin ketika ramai yang gagal, aku pula terselamat di pentas perjuangan yang masih di garis permulaan. Ini hanya pembukaan saja di alam universiti. Masih banyak ujian yang bakal ditempuhi. Kegagalan itu, bukanlah penutup masa depan, malah ia memberi kamu suatu kekuatan dan kunci ketabahan serta mengemaskan langkah kamu dalam mengatur strategi seterusnya.


Tahun 4, tahun pengajian yang mencipta suatu sejarah kelabu,mahu dikatakan hitam tidaklah sehitam arang, mahu dikatakan putih,mustahil menipu hati yang dalam kedukaan. Aku tewas dalam dua perjuangan atau dua peperiksaan. Maksudnya, aku dikehendaki menduduki dua remedial posting,untuk lulus dalam peperiksaan itu. O&G dan Orthopaedic. Ketika aku sudah tewas satu posting, aku merasakan jantung ini diramas-ramas dek kedukaan. Tiada siapa yang mengetahui keadaan itu walaupun rakan sebilik aku,kerana aku jarang sekali menunjukkan rasa kegagalan itu pada semua. Aku seperti biasa,senyum,gelak dan gurau seperti biasa. Untuk apa aku bersedih, menulis sejuta perkataan, bertutur mengeringkan air lirku,memerah otak mempersembahkan lakonan untuk menagih simpati pada orang lain yang tidak akan memahami diri ini. Bagi aku, ketika aku dalam penuh duka, aku terus bertafakur, menilai,bermuhasabah dalam tiap detik kesunyian itu untuk mencari kelemahan yang aku fikir mampu aku baiki. 

Ketika aku  mengetahui aku tewas buat kali kedua, aku sekali lagi jatuh tersungkur. Kali ini, aku tidak mampu untuk menahannya,di saat itu juga, aku kehilangan sumber kekuatan baru aku. Aku terdiam, aku mengasingkan diri. Walaupun dalam diri aku cuba untuk mententeramkan gelombang besar yang menghempas benteng hati yang menanti pecahnya, namun,aku masih mampu bertahan dengan baki kekuatan yang sisa ini. Biarpun kelebihan dalam kegagalan ini lebih besar daripada tidak gagal.Hakikatnya,risiko yang aku terpaksa hadapi juga amat besar. Seolah,semuanya ini dirancang! Ya,itu semua ketentuan Ilahi. Aku tewas dalam peperiksaan dengan mudah sedangkan sebelum ini, keputusan aku stabil dan tiada masalah besar. Itu yang membuatkan aku tergamam. Mengapa mudah sekali aku tewas?

Sehinggakan aku teringat suatu ketika dahulu, aku bermonolog " alangkah bestnya andai aku jadi pelajar kebanyakan atau average student,merasai erti keperitan menerima kegagalan,menikmati kemanisan perjuangan yang payah dan dianugerahkan dengan kejayaan yang diharapkan. Pasti indah dan seronok. Jadi pelajar cemerlang ini tak seronok, tertekan, susah mahu berhubung dengan kawan-kawan".  Inilah kata-kata aku ketika di alam sekolah. Ketika ini, aku merasai nikmat berada di atas saja. Aku jarang sekali tewas. Hampir setiap subjek aku tawan dengan markah yang tinggi sesuai dengan pelajar luar bandar. Aku mudah tangkap setiap lontaran kata-kata guruku. Ini membuatkan aku cepat naik ke puncak kejayaan. Walaupun aku bermasalah dalam bahasa Inggeris, namun, usaha aku melampaui batas itu mengizinkan aku merasai sedikit kejayaan, Alhamdulillah. 

Suatu masa dulu,aku yang diminta membantu rakan menerangkan topik dalam matapelajaran kimia,menjadi tertekan. Mengapa? Kerana soalan tersebut sering kali diulang-ulang dan dalam hati aku, 'mengapa kawan aku ini tidak mampu memahaminya? Susah sangatkah soalan ini? Sudah berkali-kali ia diulang, mengapa masih tidak mengerti? persoalan timbul kerana tekanan yang aku alami untuk memahamkan dia." Ampunilah dosa hamba ini yang dalam kejahilan itu. Semua langkah aku di alam sekolah menengah ini diatur dengan strategi yang baik dan tiada masalah besar. Semuanya mengena. Impaknya, diri yang dahuluya lemah, ketika sekolah rendah, sudah menjadi tumpuan utama rakan-rakan,guru mahupun jiran. Mulanya sebagai insan yang sering diejek dan dipermainkan kerana kurangnya keyakinan. Kini aku bangkit dengan pesat mengaut segala nikmat yang datang. Titik permulaan perjuangan ketika umurku 13 tahun. Umur yang melabelkan aku sebagai budak surau. Jika aku menilik kembali sejarah diri aku, kejayaan aku bukanlah atas usaha aku yang gigih semata-mata, tetapi ia bermula daripada hati aku yang rapat dengan Tuhan.

Sejarah lama itu kembali memberi pelita buat hati yang sudah digelapi perasaan duka. Aku kembali bertahajjud meminta pertolongan Ilahi. Bukan aku meninggalkan kewajipan sebelum ini. Mungkin kerana aku melakukan kesilapan yang aku tidak perasan,kecil atau besar yang sengaja atau tidak.Ataupun, monolog aku itu didengari Tuhan yang mahu meletakkan aku di situ. Maafkan aku yang sering merungut.

Hari-hari berlalu dalam empat minggu  yang diamanahkan kepada aku dan rakan-rakan senasib denganku untuk bersiap sedia menduduki peperiksaan ulangan,banyak perkara yang membentuk diri aku. Menilai erti sebuah kegagalan, usaha,kejayaan dan mengharap. Bukan mudah dan bukanlah mustahil. Aku tekad ber'kampung' di surau dom asrama aku untuk study dan beribadat di situ. Alasan menjadi kukuh apabila bilik aku yang kosong itu diisi kembali oleh rakan berbangsa cina. Bukan aku tidak suka, tetapi aku tidak sempat mengemas kembali barang-barang yang aku mahu susun,akhirnya katil aku dipenuhi buku-buku dan nota lama. Tiada tempat tidur. Suraulah yang menjadi tempat aku tinggal. Hanya seketika aku di bilik untuk bermain komputer di samping mencari maklumat. Namun, kelakuan aku ini pun menjadi buah mulut orang yang suka mengadu domba aku dengan mengatakan aku tidak suka dan benci rakan sebilik aku. Bayangkan, ketika hati disulami rasa tertekan untuk lulus peperiksaan,pastinya riak muka turut diwarnai rasa gerun dan serius. Manusia di sekeliling kita itu mudah saja membuat hipotesis yang logik tetapi kesimpulannya hanya menempah tiket neraka. Islamkan hati kamu sebelum bertutur agar kalian dipandang mulia di sisiku. Sudahlah, aku jenis yang susah berbaik. Jangan pula menempah tempat kebencian di hatiku.

Ya, berkampung di surau ini ibarat suatu nikmat besar apabila setiap pemikiran dan tindak tanduk kita akan ada batasnya. Seolah sifat malaikat menjadi watak kita. Perjuangan untuk lulus dalam percubaan terakhir ini diteruskan. Jika aku tewas lagi, maka tidaklah aku merasa Final Year/Tahun Akhir dan kenalah aku ulang tahun 4 setahun lagi. Ya Allah, sukar untuk aku menerimanya. Ketika ini, saat aku bersama rakan senasib bertaruh 'nyawa' untuk lulus dalam peperiksaan ulangan ini, aku melihat di sekelilingku, rakan-rakan lain sedang seronok menjalani program elektif yang hampir sama dengan kelas biasa tetapi tiada peperiksaan. Hati aku mula sayu. Dengar pula ada yang sedang seronok belajar dengan doktor-doktornya, di utara, selatan,Sabah dan Sarawak. Pastinya hebat pengalaman mereka.  Ah! Allah itu adil . Aku tidak merasakan ini adalah malapetaka. Akan tetapi aku ingat akan doaku untuk menjadi seorang doktor yang baik dan cemerlang. Pastinya, ini adalah hadiah daripada Tuhan. Aku percaya!

Betapa sukarnya saat ini sehinggakan aku   tidak mampu  menulis sepatah perkataan untuk merekod perasaan kala nyawa sebagai pelajar tahun empat itu ibarat telur di hujung tanduk.Akhirnya, rezeki tuhan itu masih menyebelahi aku. Aku berjaya ke tahun akhir. Harapan aku, moga kejayaan demi kejayaan mampu aku nikmati dengan izinnya. Moga Yang Maha Kuasa itu terus memberkati perjuangan hamba-hambanya. Doakan aku dan rakan berjaya di tahun akhir ini 2011 dalam 10 bulan lagi ini. InshaAllah.


MEDIC IN MY HEART

Monday, June 28, 2010

Sabak Awor


27 Hb Jun 2010 aku bersama adik aku,mak cik dan pak cik aku bertolak ke Muar, Johor untuk menjamu selera di tempat makan popular di kalangan orang tempatan mahupun orang luar iaitu Sabak Awor, kalau tak silaplah ejaan ni. Memang bestlah perjalanan ke sana yang mengambil masa sejam saja dari rumah. Mengapa seronok,sebabnya aku tak tidur masa ke situ,banyak topik dibincangkan dalam perjalanan singkat. Dalam celahan masa itu, aku bersama kamera DSLR aku yang comel ini menunggu peluang untuk 'shoot' pemandangan petang,tetapi malangnya cuaca dan awan yang tidak begitu cantik untuk diambil dengan kamera aku. Terlalu banyak gambar yang aku ambil berkisar suasana yang sama. 


Setibanya aku di sana, kulihat kanan dan kiri. Wah! Di tepi sungai rupanya. Cantik pemandangannya dengan lampu neon dari seberang memancar indah dibayangi sinarnya di atas gelombang sungai Muar yang tidak deras mengalir. Tidak mampu aku mengambil gambar ini kerana kamera aku terhad kelebihannya.



Jamuan makan malam ini mungkin sebab aku tolong mak cik aku mengemas rumah. Jadinya satu hari inilah badan aku diuji dengan beban barang barang yang berbeza saiz dan beratnya. Huh... selamatlah aku ini masih bertenaga pemuda.Heheh.. Walaupun semasa aku menaip entri ini, belakang aku sudah sakit. Di bawah ini, gambar makanan yang kami jamu,rezeki daripada Tuhan. Ya,sebenarnya ikan steam masih tak sampai lagi, bila sampai je, terus 'ngap', terlupa nak ambil gambar. Nampak sangat yang aku kelaparan.



Catatan Kembar Tuah  Mei 2010:


Mentari pagi  memancar sinar,
bahangnya cukup membuat epidermisku pijar dan mahu saja bermandi air kolah di kampungku lagi. Kamera sony alpha 230 masih digenggam erat disangkut pada leher tanda sedia untuk merekod keindahan alam maya ini.Aku kini di Teluk Wawasan,membicarakan soal alam dan penciptanya.

Deruan ombak,sering kali menghempas hati yang selalu buntu. Setiap kali perasaan ini digulung gelombang perasaan,aku akan ke sini kala masalah bertimbun tinggi. Mengharap satu keajaiban muncul. Tidak!Ini bukanlah cerita dongeng atau fiksyen, hidup ini realiti. Hidup atau mati. Mahu atau tidak. Aku selalu merungut dan semangatku seolah hilang tenaganya untuk membadai bahtera yang aku kemudikan. Aku hampir tersadai dek angin mati yang bertiup longlai menolak layarku,seolah sengaja melambatkan perjalananku. Ah! Aku tidak memerlukan angin untuk bergerak,aku tidak memerlukan ombak atau arus menggerakkan bahtera emas ini. Aku mampu mendayungnya sendiri biarpun ia besar kerana di sisiku ada dia,kamu dan insan yang sering membantu yang Tuhan hadiahkan buatku. Biarpun jalan yang lurus ini dihalangi,aku akan tetap bertarung menghamburkan segala prasangka dan dendam. Setiap yang hak, pasti Tuhan memberikan pertolongannya. Aku yakin!.


Saat aku terdiam kaku memikirkan, mengapakah orang-orang yang baik ini hanya sementara di sisiku? Mereka yang baik itu terus menghilang di saat aku memerlukan mereka. Akan tetapi, biarlah mereka tiada andai itulah yang terbaik buat mereka dan aku. Semoga Allah merahmati mereka.

Saturday, June 26, 2010

Baca Novel


Hari ini 26 hb Jun 2010,Sabtu, aku tamat menghabiskan novel Warkah Cinta Berbau Syurga. Rasanya macam perkara mustahil untuk aku membaca novel inikan pula, novel  yang nampak tebal semacam ni. Setelah hampir 3 hari berhempas pulas menelaah,Alhamdulillah, ingatkan novel ini sekadar novel biasa yang aku dengar. Banyak novel yang menceritakan soal cinta dan apa saja yang berkaitan perasaan. Akan tetapi novel ini penuh dengan ilmu agama,sejarah dan pengetahuan am. Novel ini  sebenarnya mengisahkan pertemuan seorang lelaki tahfiz dengan  dua orang perempuan sekolah agama biasa,tetapi hanya seorang saja yang menjadi nyata sehingga di penghujung seorang lagi muncul dalam keadaan yang tidak di duga. Dalam perjalanan watak utama,iaitu Amir,segala hukum agama dijaga dengan baik seperti cerita Ayat-ayat Cinta (aku perhatikan jalan ceritanya). 
Cerita yang berakhir dengan 'Happy Ending', aku pun seronok baca sehingga habis walaupun aku ini suka 'skip' beberapa part. hehehe... Dalam novel ini banyak info soal Kelantan dan keadaannya, kehidupan pelajar agama di Mesir, kehidupan pelajar negara lain di Mesir dan keadaan Mesir itu sendiri. Malah soal hukum hakam dalam perhubungan juga dinyatakan jelas untuk mendidik para remaja dalam mengharungi dunia yang penuh pancaroba. 

Begitu juga gaya bahasanya yang semakin menunjukkan taringnya. Indah dan puitis dalam setiap langkah karya penulis. Bagi aku, novel ini bagus untuk mengisi kekosongan masa cuti yang aku mahu isi dengan perkara selain medic sebelum aku memulakan sesi Julai ini. InshaAllah.



Wednesday, June 23, 2010

Tugas Kami

Alhamdulillah, ucapan yang ingin aku lafazkan . InshaAllah, selepas tamat cuti ini, aku akan melangkah ke tahun akhir yang membawa maksud,perjuangan dan peperangan yang besar bakal aku hadapi. Medan perang yang sungguh mencabar dan cabarannya juga payah. Apa yang aku mahu harapkan, moga aku dapat perbaiki kelemahan aku segera dan menguasai kemahiran dan ilmu perubatan untuk melayakkan aku menjadi seorang doktor yang baik pada tahun 2011,inshaAllah.

Walaupun begitu,tugas sebagai doktor bukan sahaja merawat dengan ubat-ubatan,malah mereka wajib memberi sedikit atau lebih info berkaitan penyakit dan penjagaan kesihatan. Itulah tugas doktor yang sebaiknya. Prevention is better than cure. Malah, mereka ini kenalah mengamalkan apa yang dipelajarinya. Bukan setakat menasihat tanpa mengamalkannya. 



Amanah untuk menjadi doktor telah diberi kepadaku walaupun lagi setahun untuk mengesahkannya,tetapi cukup bagiku untuk melatih menjadi insan yang sebaiknya dan menjadikan Islam itu pedoman dalam menuju kejayaan. Pesakit yang tidak mengetahui status aku sebagai pelajar lagi, mereka menganggap aku dan rakan-rakan lain sebagai doktor. Apabila aku membantu mereka dalam memberi rawatan dan sebagainya,mereka ada yang sangat menghargai sehingga masih tersenyum lebar bila bertemu aku di luar ward. Bukannya aku minta, aku masih pelajar. Andai aku seorang doktor sekalipun, cukuplah bagi aku kalian mendapat perkhidmatan yang terbaik.Tugas aku hanya membantu kalian,yang memberi kesihatan itulah yang wajib dipuja. Biarpun begitu, hati ini akan terasa bersemangat andai insan sebegini terus memberi  dorongan berbanding mereka yang sering memandang rendah tugas seorang pelajar perubatan terutaman golongan 'bijak pandai'. Pandai ke mereka? entahlah... nikmat Tuhan. Andai dibuang otaknya, pandai itu hilang,nyawa pun melayang. Usahlah bongkak,kerana semua nikmat ini hanya pinjaman.



Monday, June 21, 2010

Suatu Petang



Hari ini, 21 Jun 2010, aku bersama kawan-kawan sekolah lama bertemu di Parit Simin di kawasan berhampiran Teluk Wawasan. Pertemuan kali ini hanyalah untuk merancang percutian dan hal berkaitan dengan pekerjaan. Malangnya, kamera aku kehabisan baterinya dan terpaksa aku tinggalkan. Pasti aku menjadi buntu  semasa perbualan atas sebab aku suka 'shoot' daripada berbual panjang.
Aku tiba bersama dua orang  rakan, dan menanti 3 orang lagi. Setibanya rakan aku yang seorang ini, yang aku kenali  sebagai seorang yang baik dan bagus agamanya, tiba-tiba dia mengeluarkan kotak rokok. Aku bertanyakan 'kau merokok ke?' untuk memastikan kebenaran tersebut. Dia mengaku dengan bangganya dan menghisap rokok dengan bangganya juga di depan aku. Ya, sudah kaya dan hebat sekarang. Dahulunya,hidup agak sederhana. Namun, masa telah mengizinkan kehadiran harta yang banyak buatnya.
Tersentak aku melihat dia merokok, dalam hati aku terasa sedikit hampa seolah kegagalan aku untuk menasihatkan seorang sahabat yang aku kenal dulu. Badan yang sihat diracuni dengan rokok. Sia-sia! Ruginya. Sedangkan orang yang sakit berusaha keras untuk sihat. Ya Allah, ruginya insan ini.
Bukan setakat itu sahaja aku terasa sedikit hampa dengannya, tetapi apabila kawan-kawan aku sungguh khusyuk membicarakan bagaimana mahu mendapat duit dengan cara yang cepat. Memang dia telah mendapat cek bernilai hampir RM 32,000.00. Namun, itu bukanlah matlamat hidup wahai kawanku. Ya, bayangkan usaha yang sedikit mendapat hasil yang begitu lumayan? Pelik bukan?Pastinya tersirat sesuatu. Usahlah begitu mudah terjebak. Biarkanlah ia berlalu. Biarkanlah usaha kita membuahkan hasil yang sepatutnya, barulah ada keberkatan. Namun, masing-masing ada alasan dan dalil untuk mempertahankannya. Aku tidak kisah. Akan tetapi, ingatlah, harta itu akan memerangkap hati dan akal kamu suatu masa. Penafian ayat ini adalah sia-sia sahaja apabila kamu telah ditawan pada hakikatnya. Harta menjauhkan kamu daripada Tuhan jika kamu seronok membilang keuntungan.


Aku tidak cemburu. Aku lahir daripada keluarga biasa, dan aku akan menjadi pelajar perubatan tahun akhir bulan Julai nanti. Gaji masa kerja aku nanti inshaAllah cukup buat aku. Dalam pengajian aku, gaji bukanlah matlamat aku, tetapi kemahiran aku! kekuatan aku! kesanggupan aku! keikhlasan aku! dan segalanya untuk pesakit aku! itu semua adalah harta aku yang aku mahu cari dan aku mahu ada sepanjang hayat aku. Cukuplah Allah  bagiku yang akan menyara hidupku. Dia tidak akan membiarkan hambanya hidup tanpa ada rezeki. Percayalah!

10 Karya Yang Dijanjikan

Perjalanan

19 Jun 2010, Hari ini Sabtu yang seperti biasa, tiada yang istimewa. Cuma,bagi aku yang menjalani tempoh ‘remedial’ posting amat berat untuk merasa senang atau gembira seperti mana kawan-kawan yang lain yang juga tamat elective mereka. Aku kuatkan azam dengan yakin mengharap Ya Tuhan Yang Maha Pemurah akan memberikan kemenangan buat hambanya yang telah berjuang bersama rakannya. 


Aku tiada kerja lain semasa menanti result secara rasmi esok hari,20 Jun 2010. Kameralah yang menjadi peneman aku. Biar buruk gambar yang aku ambil atau apa saja yang aku ambil, ia bukanlah untuk aku tunjukkan kehebatan atau kelemahan aku. Photography bagi aku adalah sebuah bidang yang membawa aku ke merata tempat yang aku kadang kala tidak terfikir untuk pergi. Lagipun, bidang ini membawa aku menikmati alam yang akan mendekatkan aku pada pencipta. Siapalah aku? Aku bukanlah insan-insan yang hebat seperti mana dunia saksikan. Aku hanya seorang yang kerdil, pelajar biasa yang menempuh kegagalan dalam sedikit kejayaan, yang lemah bukan sekeras Umar, yang sederhana bukannya kaya seperti Abdul Rahman, dan kedudukan aku selalu saja menjadi pertikaian. Biarlah itu semua. Itu bukanlah rungutan yang aku mahu ketengahkan.

Alhamdulillah, hari esok(20 Jun 2010) menjanjikan kebahagiaan buat aku apabila dibenarkan untuk bersama menempuh alam tahun akhir pengajian medic. Moga aku akan terus menjadi yang terbaik buat diriku dan menamatkan pengajian dalam masa 10 bulan lagi,inshaAllah. Ia amat sukar apabila kau terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan yang kau rasa ia remeh tetapi yang remeh itulah punca kelemahan kau. 


Sepanjang bercuti di rumah sahabat aku di Pengkalan Chepa, sempat aku mengambil gambar di Taman Tengku Anis  dan kawasan sekitar. Haish… mahu pergi jauh lagi, rasa dah tak larat sebab demam selsema dan sakit kepala sejak lepas peperiksaan khamis lalu. Huh.. Alhamdulillah, hari ini aku semakin pulih. 10 karya.

Friday, June 18, 2010

Misi Mencari Kubu Jepun


MELAWI

18 hb Jun 2010, aku yang dalam keadaan yang tidak menentu arahnya ini masih mahu melengkapkan siri terakhir dalam melengkapkan matlamat peribadi tahun ini. Misi tersebut ialah mencari kubu Jepun di Melawi untuk sesi bergambar. hehehe. Bukan bergambar yang utama tetapi lebih kepada mencari tempat untuk melepak bila aku dalam keadaan tak tentu arah kononnya. Menanti matahari terbit,pastinya indah. Di sini juga ada ramai penghuni kampung, dengan pelbagai ragam tetapi kehidupan ala-ala kampung membuatkan kawan aku yang membawa aku ini teringin untuk tinggal di sini. Di sini, kebanyakan penduduk memiliki rumah yang sederhana, penduduknya peramah dan rasanya mereka ini hidup aman. Mengapa peramah? sebabnya,ketika aku buntu mahu menyeberang sungai yang terletak di depan rumah yang bercat baru setahun itu  dengan dua buah kereta menghiasi halamannya, untuk menemukan stuktur bangunan yang aku yakini ia adalah kubu, tiba-tiba, seorang pemuda dengan selamba meniti jambatan maut(tak lah maut sangat tapi bila tengok jambatan kayu tu sudah macam manusia yang ada osteoporosis,bengkang bengkok dengan celahan kayu yang besar. Menakutkan aku yang masa itu buat-buat berani nak melintasi). Pemuda ini melemparkan senyuman yang aku hargai dengan melemparkan soalan pula. "be' nak gi seberang macamana?'. "keno pusing ikut jalan nu sana". "oooo. ingatkan lalu jambatan ni.heheh". " gertok ni tak leh lalu".. begitulah dialog santai kami. Sedang kawan aku hanya melihat gelagat aku mungkin aku saja yang 'excited ' mahu ke sana. Maklumlah, dia kengantukan dengan tidur beberapa jam tadi malam. Aku pula sebenarnya, sedang sakit kepala,dengan selsema yang semakin teruk. Rasa mahu tidur je. 
  

Aku tidak dapat banyak maklumat tentang kubu tu dengan banyak, sebabnya, penghuni kampung di situ tidak membuat papan info tentang kubu itu. Mungkin aku kena melawat salah sebuah rumah di situ sambil minum air nyok/kelapa dan melihat pohon kelapa ditiup angin petang untuk aku bertanya tentang kubu itu. 



Jam menunjukkan hampir pukul 7 petang, aku dan kawan aku mahu ke pasar malam di Pantai Irama pula, namun, kami dahulukan solat maghrib moga selamat hati ini dalam ketenangan semasa berjual beli.

Semasa aku berjalan melalui ruang sempit pasar malam itu, aku terserempak dengan seorang wanita muda bersama anak kecil yang sedang menangis. Aku biarkan dulu dia  di situ untuk beli barang . Ketika meneruskan perjalanan, keadaan tiba-tiba sesak. Rupanya,seorang lelaki kurang upaya merangkak sedikit meminta derma. Sungguh banyak peluang melakukan kebaikan di Kelantan ini. 

Aku melalui jalan yang sama untuk pulang, dan wanita itu masih terpacak di tempatnya. Kelihatan seorang nenek tua memberi sebotol air susu kecil untuk diberikan kepada anak kecil itu. Di hadapannya terletak sebuah mangkuk biru kecil untuk menadah simpati. 

 

Bukan apalah sangat kes meminta derma ini, cuma ia mengingatkan aku ketika aku kecil yang suka meminta-minta untuk membeli basikal,komputer dan mainan. Setiap kali aku minta barang daripada ibu aku, ayat ini pasti muncul," nanti mak kerja dapat duit, boleh la belikan tu semua, kalau tak pun, nanti mak pergi minta sedekah kat pasar malam,kumpul duit beli apa yang kamu nak!" tengking mak aku ketika aku merengek nak itu ini. Hmmm.. tergamam masa tu sebab kedegilan aku. Hari ini, komputer? laptop? kamera? semua sudah ada atas usaha aku dan sokongan mereka. Alhamdulillah. rezeki daripada Ilahi. Aku tak sangka, aku mampu mengecapi dalam masa yang singkat berdasarkan latar keluarga aku yang jauh ketinggalan berbanding sepupu aku. Ya,semuanya mampu kita ubah andai kita memilih untuk berubah menjadi lebih baik.


MISI MENCARI KUBU JEPUN SUDAH SELESAI !

p/s: misi mencari info pula, adakah harus membuat ziarah ke rumah tertentu?huh.... atau tanya Tok Imam masjid jingga?

  


Saturday, June 12, 2010

Satu Karya Penuh Makna


Aku 'kini' milikmu


Kau ada ketika aku duka dan bahagia,
Segala keindahan kau berikan,
bersama bintang bercahaya dan gelap malam,
kau selimutkan aku dengan keagunganmu,
sehingga aku sujud menyembah kekuasaanmu.

Friday, June 11, 2010

Hati-hati Dalam Perjalanan


Persoalan yang aku masih tidak faham walaupun sudah tahu jawapannya :

1. Mengapa manusia yang dahulunya lalai, kemudian ditimpa ujian, kembali pada Tuhan,dan dia mengecapi apa yang telah dia mahukan tetapi lama-kelamaan kelalaian itu masih menjadi. Perkara ini berulang-ulang sehingga sekarang? umpama ibadat dilakukan hanya untuk meminta Allah memakbulkan doa dunianya?



2. Mengapa manusia yang lalai dan mempermainkan hukum Tuhan, sering mengambil ringan perintah Tuhan, mengadu domba, mengumpat dan menyakiti orang orang. Akan tetapi golongan ini masih menjadi manusia yang mudah mengecapi nikmat dunia dengan sedikit usahanya dan mungkin tiada halangan?

3. Mengapa manusia hari ini suka menyakiti hati saudaranya sekiranya ISLAM in their heart?  Mereka memperjuangkan Islam, tapi mereka dusta dalam setiap amalan mereka. Mereka menyakiti saudaranya. Mengapa? Islam semakin jauh.

4. Mengapa hati ini sukar untuk menerima dugaan yang amat berat ini dengan halangan sebegitu berat sehingga hampir melumpuhkan aku dan jiwa aku. Ya Tuhan,ke mana harus aku pergi melainkan padaMu?

5. Mengapa insan yang kita baru teguhkan persaudaraan itu dihilangkan dalam pandangan? Mengapa tidak diambil orang yang jahat dan kejam? mengapa?

6. Manusia sanggup mempertahankan orang yang salah dan berhati hina kerana sogokan harta dunia yang telah menjadi daging dalam dirinya. Mengapa? Tidakkah mereka sedar? Harta atau bantuan itu hanyalah daripada Tuhan.


Ya, jawapan sudah ada untuk aku fahami. Namun, iman segunung kan bisa menjadi sebesar butir sawi andai kita berdepan dengan situasi itu tanpa ada persediaan. 

Allah Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan. Usah bersedih.
Setiap usaha kita Allah tidak pernah meremehkan. Allah berikan sesuatu yang kita tak sangka. Percayalah! Yakinlah Allah tak akan kecewakan hambanya. Allah sentiasa mendengar rayuan hambaNya, Menangislah!! menangislah padaNya.



(Pasti salam terakhir itu menjadi peringatan buatku : Hati-hati dalam perjalanan. Jumpa lagi.)

3 Karya 3 Peringatan


TAFAKUR

 


AYUH !
Gunakanlah kebijaksaan kita sebagai umat Islam untuk terus bangkit !
Azamkanlah di hati kita untuk mencontohi rasulullah dan sahabat.
Hanya mereka yang menjadi kegerunan musuh Islam.
Hari ini, kita lemah.
Lalai dalam setiap tindak tanduk kita.
Kita sukakan dunia,
kita takutkan mati.
Hakikatnya, persediaan kita menghadapi mati semakin berkurang,
semuanya penuh dengan cinta dunia yang tidak kekal.
Sedangkan musuh Islam gembira akan berita sebegini.
Kita pula menafikan fakta ini,
kononnya tiada siapa yang menawan kita,padahal,
di setiap penjuru badan kita telah diikat oleh benang-benang musuh yang membuatkan kita sebagai boneka.

Anda mahu menafikan lagi ?
mereka tidak perlu risau akan kita menentang mereka,
kerana ramai di kalangan kita(islam) yang menyokong mereka .

Ayuh!
berubahlah sebelum terlambat!