Monday, November 30, 2009

Empat Hari


Sambil Menyelam Minum Air

Bermula cuti hari khamis sehingga hari ahad,setiap saat dan masa itu umpama air sejuk untuk orang yang dahaga. Begitulah aku menghargai saat cuti ini untuk aku mengulangkaji pelajaran dan mengeratkan pertalian keluarga serta sahabat. Namun, lebih daripada sasaran aku,aku dapat bertemu dengan guru sekolah lama,cikgu kimia SMKDO. Alhamdulillah. Sekurangnya,dapat juga aku mengetahui keadaan sekolah lama aku.Walaupun,buku dan nota hanya dapat dibelek ketika malam dan petang,aku bersyukur kerana masih mampu ingat pada pelajaran. Berbanding mereka yang tidak balik rumah, rezeki mereka untuk belajar di hospital pastinya berganda andai tiada masalah. Apa-apapun, masing-masing dengan ketetapannya.
Raya korban tahun ini, aku hanya duduk rumah sahaja kerana tiada kenderaan untuk pergi korban. Lagipun,hari hujan pagi itu menambahkan berat badan untuk bergerak memikirkan alternatif lain. Cuti ini,hanya bertemu sahabat sahaja.


Pengalaman sahabat aku menjadi MA(Medical Assistant)
Sahabat aku seorang ini memang nakal sedikit bila berdepan dengan aku. Aku bakal memegang jawatan doktor manakala dia telah bekerja sebagai MA. Jadi,secara logiknya,dia telah alami alam pekerjaan yang agak penuh dengan tekanan. Katanya,sungguh stres bekerja. Kena marah? Kena buli? Kena peril? Pesakit mati? Semuanya telah dirasai. Selamatlah dia dapat bercuti raya puasa yang lalu,kalau tidak naik gila rasanya. Dia juga tidak sabar untuk melihat aku bekerja kerana mahu melihat aku tertekan dengan keadaan kerja. Secara jujurnya, keadaan sekarang ini pun telah memberi petanda awal alam pekerjaan aku. Jadi,bermula sekarang ini, aku telah memikirkan langkah untuk mempersiapkan diri ke alam pekerjaan agar,minda,fizikal dan segalanya berada dalam keadaan stabil dan terkawal. Diharapkan pekerjaan aku tidak menjauhkan aku pada pencipta. InshaAllah, segalanya kuharapkan padaNya untuk membimbing aku.


Sebagai pelajar perubatan pun,aku juga mengalami tekanan juga, bila kita tidak mampu untuk menelaah buku yang mencakupi pelbagai bidang dan diluar jangkaan kita. Di mana panduan untuk belajar? Di mana panduan yang harus aku ikut? Memang semuanya ada,tetapi buat aku dan mungkin rakan-rakan yang lain, kami agak keliru dan tidak biasa dengan perkara tersebut. Kenapa? Kerana aku dilahirkan dalam keluarga yang kurang mahir dalam bab pengajian di university dan tiada saudara rapat yang dapat mengajar soal kehidupan di university. Aku tahu, semua orang akan berkata seperti ini, tetapi jika mahu dibandingkan dengan yang lain, aku ini umpama musafir yang memegang peta tetapi tidak mampu menafsir peta tersebut kerana kurangnya ilmu dan pengalaman.


(bersama cikgu kimia SMKDO di Carefour Batu Pahat,Johor )

Cabaran yang mendatang,harus dijalani dengan tabah. Kuatkan semangat dan ingat pada Yang Maha Esa. Khusyuklah dalam solat,sesuatu yang sering dilupai ketika hati bergelora membelek masalah. Semakin jauh khusyuk itu,semakin jauh hti ini akan beroleh ketenangan.






Friday, November 27, 2009

Perjalanan Yang Harus Diteruskan


Redhalah






Ada kala kita merasa kita malang,
Ada kala kita merasa yang kita ini hina,
Selalu dibenci dan tidak disayangi,
Sedangkan segalanya hanya ujian untuk meneguhkan kekuatan hati,
Sehingga ujian itu tamat,kita masih di takuk lama,
Masih tidak mampu menghadapi realiti ujian,
Akhirnya,perkara yang hampir sama berlaku,
Masalah yang serupa datang menguji kita,
Lantas kita mengenang memori lama,
Rasa hampa dan dukacita menyalut kembali hati yang diuji,
Dan berterusan sehingga kita mampu menghadapi ujian tersebut…
Sedangkan jika direnung kembali,
Cita-cita dan matlamat kita setinggi gunung…
Namun,tidak mampu menghadapi ujian hanya setinggi bukit…

Bertenang dan merasakan Allah itu sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita,
Adalah kunci ketenangan dalam mengahdapi ujian,
Allah tidak pernah kejam,
Berjayalah orang yang khusyuk dalam solatnya,
Kerana ketenangan dalam mengabdikan diri itu
Bakal dikecapi untuk seluruh hidup kita…
Percayalah akan kehidupan ini hanya untuk Allah,
Allah berikan segalanya…
Tapi kita hanya mensyukuri segelintir sahaja,
Ayuh,usahalah untuk mensyukuri nikmat Ilahi sepenuhnya…








Saturday, November 21, 2009

Pengalaman Tidak Tidur Malam Hari

Bermalam Di Ward

18 November 2009 bermula jam 6 pm, bermulalah sesi ‘on-call’ untuk pelajar perubatan tahun 4 yang dipostingkan di jabatan Obstetric and gynaecology(O&G). Hari ini,aku bersama 3 orang lagi menjalankan rutin tersebut. Harapan kami,agar dapat belajar banyak malam ini. Berkobar dan ada kala bercampur rasa takut bila kita masih pelajar perubatan dan pergi belajar dengan doktor-doktor yang lebih berpengalaman,memang banyak yang perlu dirisaukan. Maklumlah, sistem belajar mereka dengan kami sekarang berbeza sedikit rasanya, saya pun tidak pasti. Yang saya pasti,jumlah pelajar perubatan dahulu lebih sedikit daripada sekarang ini yang semakin bertambah dan mengurangkan kualiti pengajian. Akan tetapi, andai bilangan pelajar perubatan itu diturunkan, apakah aku masih berada di sini? Siapakah aku ketika ini? Persoalan yang tidak perlu dijawab kerana masa sudah berlalu.

Seperti biasa,aku datang tepat 6pm dan terus berjumpa senior untuk bertanyakan soal on-call di O&G,walaupun dah hampir 4 kali orang member taklimat pada aku,tetapi,aku minta lagi untuk diberi taklimat. Kerana bagi aku,pengulangan itu adalah bagus untuk otak aku yang agak lambat mengadaptasi di tempat baru.

Satu persatu kemahiran dan tugasan aku pelajari,namun masih banyak lagi yang perlu aku perbaiki. Ketika masuk sahaja di ward bersalin, sungguh banyak pantang larangnya bermula dengan mengenali setiap perangai orang yang bertugas di ward sehinggalah peraturan khas yang dibuat sendiri,bermula dengan sebesar ward sehingga sekecil pil pun tidak boleh di pandang remeh. Semuanya ada makna. Malam ini,aku cuba berlatih untuk on-call dengan bersungguh-sungguh kerana banyak yang boleh dipelajari bila kita ada kemahuan. Pesakit(ibu mengandung sebenarnya) pula tidak berhenti-henti datang untuk bersalin. Jadinya, persediaan juga perlu dilakukan. Sebagai pelajar perubatan, aku juga kenalah mempelajari segalanya. Mungkin bila aku menceritakan pengalaman aku kepada kawan-kawan,ada yang segan dan ada yang tersenyum sendiri. Biarlah semuanya, kerana aku juga seorang insan lemah yang mahu belajar dan seterusnya menjadi orang yang mampu mengubah dan menjadi perangsang kepada perubahan orang lain. Itulah aku.



Dalam berurusan di sini, banyak juga perkara yang ada kala menyakitkan hati jika kita tidak tahu memahaminya dan ada juga yang menggembirakan apabila terdengar suara mengatakan…
“ terima kasih doktor(aku) ,terima kasih nurse.. selmatlah baby saya. Syukurlah”
Walaupun aku masih pelajar perubatan lagi. Aku wajar meningkatkan kualiti pengajian perubatan aku demi pesakit pada masa akan datang.











Pesanan seseorang buat diri …

“ sekarang ini kamu berada di bidang perubatan atau apa-apa bidang sekalipun, minat atau tidak kamu kena teruskan untuk menjadi apa yang sepatutnya”

“kalau kamu mahu menjadi seorang doktor, kamu mesti berusaha lebih gigih daripada orang lain, kerana doktor itu suatu pekerjaan dan tanggungjawab yang amat berat. Be proactive!”

“ kalau kita mahu menguasai sesuatu kekuatan,kenalah bermula dari bawah agar kita tahu apa yang kita perlu tahu untuk mengatasi segala kelemahan yang ada”



Saturday, November 14, 2009

Pra-O&G Posting

"Berfikiran Terbuka dan Proaktif"

12 hb November 2009, Khamis.Hari ini hari yang terakhir aku di posting Neuroscience dan baru sahaja melepasi ujian bertulis posting ini. InshaAllah semuanya lulus kalau tiada apa-apa hal. Lantas,posting seterusnya ialah O&G iaitu berkenaan ibu yang mahu bersalin dan soal sakit puan. Katanya,sungguh sukar juga untuk menghadapi posting ini. Aku pun hanya berusaha dan berserah pada yang maha kuasa. Malam ini, aku berhajat mahu ke ward bersalin untuk melihat kelahiran.(secara berdepan dengan saat kelahiran. )

Lebih kurang pukul 10pm aku sampai di ward 1Nilam,HUSM. Aku bersama rakan yang lain di ajar serba sedikit mengenai posting di ward bersalin. Agak lama meninggalkan ilmu berkaitan sistem pembiakan manusia ini,jadinya,agak berkarat otak untuk mengingat kembali. Alhamdulillah, segalanya dapat kukenalpasti akan kelemahan diri dan apa yang perlu aku pelajari. Sungguh tertekan andai kita merasai diri ini sudah pandai dan tidak mahu belajar daripada kelemahan. Itulah ‘ketumbuhan’ yang wujud di dalam lubuk hati aku sejak aku sekolah menengah lagi kerana ia bermula sejak aku belajar sendiri demi mencapai keputusan cemerlang tanpa ada bantuan orang lain. Saat itu, tiada siapa yang dapat membantu kerana tiada kemampuan mengajar aku dan tidak ada semangat belajar yang serius dalam kalangan rakan-rakan aku. Aku ketika itu bertekad menyendiri dan belajar satu persatu dengan banyak bertanya pada guru. Sejak dari situ,lahirlah perasaan bahawa aku bangkit atas usaha aku sendiri dan buat apa insan lain di sisiku? Tidak perlu. Akhirnya ,aku tertekan atas kesilapan dalam member pertimbangan. Kesilapan itu,aku kenalpasti ketika pengajianku di matrikulasi lagi. inshaAllah,aku mampu berubah sedikit demi sedikit.



Berbalik pada cerita hari ini,setelah diberi taklimat ringkas oleh rakan,aku terus belajar bagaimana melakukan prosedur terhadap pesakit. Aku memang lambat sikit bab perkara baru ni. Kemudian sempat memerhatikan beberapa ibu melahirkan anak. Secara jujurnya,itulah pertama kali aku memerhatikan secara lebih dekat dan sebagai pelajar perubatan,kami kenalah tahu lebih banyak tentang proses dan bagaimana memberi rawatan. Bukan sekadar memerhati. Itulah yang aku kena tahu malam ini. Matlamat aku ke ward untuk mengenalpasti apa yang perlu aku tahu dan apa yang perlu aku lengkapkan pada diri.



Bagaimana payahnya seorang ibu melahirkan anak dan bagaimana seorang suami menemani isterinya,serta bagaimana anak keluar daripada rahim ibu. Semuanya disaksikan pada malam ini. Ketika saat anak itu keluar bersama tali pusatnya, betapa lega ibu itu memanjat kesyukuran pada Ilahi. Ditambah pula,apabila bayi itu berbunyi dan menangis menggambarkan masa depannya bermula dengan baik. InshaAllah,bayi itu selamat dilahirkan. Hati aku pula merasakan bahagianya sepasang suami isteri itu mendapat insan baru dalam keluarganya. Semoga mereka menghargai kelahiran ahli baru itu dengan penuh ketaqwaan.

Sebagai pelajar, usaha mesti lebih gigih dalam menimba ilmu Tuhan. Carilah keberkatan dalam menuntut ilmu,moga kita beroleh rahmat dari ilahi. Berfikiran positif dan banyakkan bersabar. Biar kita tidak tahu sekarang,jangan tidak tahu pada masa akan datang.


Friday, November 13, 2009

"Ada orang tu antisosial"

Sendirian

Mengapa aku menyendiri ?.....

"Antisosial..!! sombong..!! kerek!! Poyo..!! Berlagak betul..!!"

Lali sudah telinga aku mendengar suara yang suka menyakitkan hati orang lain yang aku tiada sakitkan hatinya kerana sikap aku yang suka menyendiri. Lantas, bila mulut aku bersuara pula,terasa sakit pula hatinya dengan kata-kata tajam aku yang lahirnya daripada kata-katanya yang telah terbenam dalam di sudut hati. Apakah mereka peduli? Tidak bukan. Itulah, rahsia kegagalan adalah untuk memuaskan hati semua orang itu. Perlulah kita sedar,kata-kata tajam itu bukanlah disengajakan tanpa sebab. Semuanya bersebab. Bayangkan anda yang mahu berubah,tiba-tiba dicemuh dan diperli, pastinya semangat anda akan tergugat. Namun, sebagai manusia biasa,kita wajib bersedialah untuk menghadapi cabaran atas perjuangan yang kita bawa.
Kini, aku yang yang telah mencecah umur lebih 20 tahun ini,sentiasa memikirkan akan sikap suka menyendiri. Akhirnya, terdetik satu persatu jawapannya. Mengapa aku suka bersendiri,sedangkan aku suka berkawan ramai?

Bayangkan apabila kita bersama rakan-rakan yang pelbagai ragam hati budinya. Sudah pasti ada yang berperangai buruk dan ada juga yang berperangai baik. Hati yang kukuh pendiriannya akan terselamat daripada pengaruh yang tidak baik. Begitu juga sebaliknya. Kawan-kawan yang baik untuk mereka yang baik dan begitu juga sebaliknya. Andai kita tersilap pilih kawan,sudah pastinya kita terhumban dalam lembah kehinaan di sisi Allah. Aku mengerti akan kelemahan dalam diri ini, yang lahir dalam keluarga yang serba sederhana tetapi masih mampu hidup dengan usaha yang gigih. Apa yang kawan ada,kita tiada, apa yang kawan kita ceritakan tentang pengalaman melancong,kita pula tiada cerita,apa yang kawan kita makan,kita pula tidak pernah merasainya,dan banyak lagi. Bukan untuk menyalahkan sesiapa, segala yang ada sekarang adalah hadiah atau nikmat dari Tuhan untuk kita. Jadinya,daripada berterusan merasai kekurangan,biarlah kita menyendiri buat seketika dan teruskan fokus dalam pengajian kita. Persaingan kita bukan pada harta keturunan tetapi usaha kita.Alhamdulillah, segalanya sudah berubah menjadi lebih baik.



Aku sedar akan betapa aku menjadi begini dan aku juga perbaiki segala kelemahan itu dari masa ke semasa. Aku tidak mahu berada di takuk kehinaan. Berseorangan itu banyak membantu aku menjadi seorang yang berfikiran jauh, merancang masa aku dengan lebih baik dan menjauhi aku daripada perkara yang sia-sia. Sehingga aku mencecah umur 22 tahun ini, masih ada juga yang mengatakan aku ‘anti-sosial’. Tidak mengapa kerana aku telah bersedia menempuhi alam bermasyarakat. Mungkin dahulu aku belum cukup kekuatan lagi. Aku berdoa agar Allah memberi yang terbaik untuk diri dan juga orang lain. Bersendiri itu juga mungkin ketetapan Ilahi untuk melindungi kita daripada anasir yang tidak baik. Sedangkan Nabi Muhammad juga suka menyendiri di Gua Hira’ ketika mudanya untuk mendapatkan ketenangan.

Namun, bersendirian itu banyak kelemahannya terhadap diri aku sehingga membuatkan aku tertekan. Biarlah suatu masa nanti,aku berjaya mengatasinya. Bagi aktiviti berkumpulan juga,aku agak kurang proaktif kerana kelemahan aku. InshaAllah,zaman di universiti ini, semuanya telah hampir berubah kerana aku telah banyak belajar daripada rakan-rakan bagaimana berurusan dengan orang di sekitar.

Kesimpulannya,aku mengambil keputusan menyendiri ketika dulu kerana aku tidak bersedia lagi bercampur dengan mereka,kurang keyakinan diri, tidak mahu membazir masa dan mahu menjaga hati ini daripada berbicara perkara yang melalaikan. Hari ini, inshaAllah, aku belajar untuk menghadapi semua masalah itu dengan lebih baik. Usahlah menekan orang yang mahu berubah seperti aku ini kerana khuatir mereka akan berputus asa dan bagi aku,tiada putus asa kerana orang lain.

Perjalanan hidup ini ada kala mempunyai ‘pattern’ yang berulang iaitu jalan cerita yang sama tetapi berlaku pada masa,tempat dan orang yang berbeza. Itulah yang aku mengerti ketika hidup ini sering kali mendapat masalah yang hampir sama dan aku pula semakin mahir menjalaninya. InshaAllah. Memang tiada siapa yang akan dapat menguatkan hati dan diri ini melainkan usaha kita atas izinNya.

Sunday, November 8, 2009

Gambar Kenangan

.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Yang Berlalu Tidak Akan Kembali

(Berlatar belakangkan sawah padi di Kampung Cherang Hangus, Bachok, Kelantan ketika program CFCS)

(gambar berlatar belakangkan Teluk Wawasan yang penuh dengan paya bakau )



(Gambar di pantai irama- bersama gambar kecil rakan-rakan sekolah menengah SMKDO)


Ada kala sesuatu yang berlalu itu memberi kita jawapan atau klu kepada soalan-soalan pada masa akan datang....

terima kasih sahabat-sahabat sekalian atas tunjuk ajar padaku yang masih merangkak dalam kehidupan....

Saturday, November 7, 2009

Hujan

Payung dan Solat Jumaat

6hb November 2009,Jumaat. Hari ini aku seperti biasa dengan rutin membasuh pakaian yang dikumpul sejak 5 hari waktu kuliah. Sungguh meletihkan. Ditambah pula cuaca mendung dan melembabkan udara di sekitar. Maksudnya,aku kena menjemur semua pakaian dalam bilik. Aku mendapat bilik untuk dua orang dan setiap hujung minggu,rakan aku itu akan pulang ke rumahnya di Bachok. Jadi, bolehlah aku menyidai pakaian di dalam bilik ini sesuka hati. Kalau tidak,sukar juga untuk mengeringkan pakaian. Orang merantau di negeri orang kenalah menghadapai cabaran yang baru.


Selesai semua, ketika aku mahu solat jumaat tengahari ini, agak lambat sedikit persiapan aku. Akhirnya ,ketika kaki aku menjejaki jalan keluar dom aku,tiba-tiba sahaja berderai hujan dengan lebatnya seolah-olah memberi kejutan pada aku bahawa aku tidak boleh pergi ke masjid. Aku tersentak sejenak,dah dua kali aku terkena macam ni. Sebabnya aku terlewat beberapa minit sahaja. Lantas aku pergi mencari payung,sasaran aku payung yang besar dan lasak. Aku bertanya hampir semua rakan aku berbangsa cina,namun tiada yang dapat membantu. Jalan terakhir, aku dengan selamba mengetuk bilik budak cina yang aku tidak mengenalinya,kerana di luar biliknya terdapat sekaki payung yang bewarna hitam dan lasak seperti yang aku idamkan. Lantas,aku bertanya dan meminta izin untuk pinjam sekejap. Alhamdulillah,dia beri keizinan walaupun macam berat sahaja mahu memberi pinjam. Payungnya memang lasak dan harganya mungkin mahal juga.

Sekerat jalan sahaja aku menggunakan payung ini bersama rakan aku untuk ke masjid besar. Seorang senior aku telah berhenti dengan kereta mewahnya untuk membawa aku ke masjid. Nikmat betul. Tidak sia-sia usaha aku untuk ke masjid ini kerana dipermudahkan. Hujan di Kelantan ini sungguh lebat dan tidak menentu. Khuatir pula aku andai banjir besar akan berlaku kerana ramai penduduk di sini yang rumahnya pada paras banjir. Semoga Allah menyelamatkan kita semua.

Ketika perjalanan, aku terfikir, mungkin hujan lebat sebegini tidak mewajibkan seseorang itu untuk ke masjid, tetapi bagi aku. Aku telah dikurniakan akal dan kudrat untuk mencari jalan ke masjid. Zaman pula telah berubah dengan kemudahan yang canggih. Tidak ada alasan untuk berbaring tidur lena ketika orang lain berbasah kuyup ke masjid atau mendengar lagu atau menonton video ketika khatib membaca khutbah. Jihad orang zaman dahulu sehingga sanggup berkorban nyawa. Sedangkan aku? Apa yang aku sanggup buat? Setakat hujan lebat yang tiada ribut pun sudah malas hendak pergi ke masjid. Payung yang ada hanya satu. Penggunanya ada dua. Jadi, andai tergerak ke kanan maka kawan di kiri akan basah,begitu sebaliknya. Tangan yang memegang payung juga satu, andai pemegang payung berjalan laju,maka kawan satu lagi akan basah. Pergerakkan juga kena searah dan sama-sama lajunya. Kesefahaman dalam melakukan sesuatu penting untuk mengelak sebarang kepayahan. Kita boleh sahaja melihat orang yang tidak sabar dan degil ketika dalam keadaan sebegini,juga mereka yang pentingkan dirinya. Entahlah, manusia di dunia ini sungguh mengelirukan. Terpulang pada seseorang untuk menghadapinya dengan kaedah tersendiri atau orang lain. Itulah hakikat dunia yang kita perlu faham.


(Masjid Kubang Kerian yang menjadi salah satu masjid untuk solat jumaat)

Friday, November 6, 2009

Medic 1


Lumbar Puncture(LP)

p/s-Artikal ini bercampur bahasa melayu dan Inggeris .

LP ini merupakan prosedur untuk mengambil cecair CSF iaitu cecair dalam bahagian sistem saraf kita. Sering kali disalah tafsir oleh masyarakat bahawa LP ini merupakan procedur yang menunjukkan nyawa pesakit itu berada dihujung tanduk iaitu penentuan sama ada hidup atau mati. Padahal, prosedur ini hanya penyisatan untuk mengenalpasti punca sebenar penyakit untuk rawatan lanjut. Mungkin dulu,ia kebetulan kerana kebanyakan pesakit yang datang dan melibatkan procedure ini dalam keadaan yang agak serius. Namun tidak dinafikan sekarang ini, kesedaran untuk menjaga kesihatan telah meningkat.

Mengapa perlu melakukan LP ?
Biasanya LP dilakukan setelah beberapa ujian(test/investigation) yang kurang risikonya,telah dilakukan tetapi perlu dipastikan dengan LP untuk kepastian. Antara keperluan atau indikasinya:

1. Suspicion Meningitis – LP diperlukan untuk melihat White Cell count(cel darah putih) dalam cecair cerebrospinal fluid(CSF).

2. Suspicion of subarachoid haemorrhage – pendarahan dalam bahagian otak. Walaupun CT scan boleh menunjukkan lokasi pendarahan tetapi ada kala CT scan tidak dapat menunjukkan pendarahan setelah pendarahan itu berlaku lebih sehari dan pesakit memiliki symptom sakit kepala, seizure atau lain-lainnya.

3. Suspicion of central nervous system diseases like gullain-barre’ syndrome atau carcinomatous meningitis- LP untuk melihat kewujudan penyakit ini.

4. Therapeutic relief of pseudotumour cerebri- iaitu tekanan dalam kepala(intracranial pressure) meningkat,pesakit ada symptoms sakit kepala yang amat sangat, tetapi CT scan tiada menunjukkan apa-apa. Jadinya, LP diperlukan untuk mengurangkan tekanan dalam kepala dengan mengeluarkan sedikit cecair dalam bahagian saraf tunjang kerana CSF akan mengalir ke dalam saraf tunjang juga.


(LP procedure)


Dalam sesetengah kes,LP ini sangat merbahaya (contraindication) dalam :

1. Tekanan /ICP yang tidak seimbang dan terlalu tinggi kerana LP boleh menyebabkan herniation(bahagian otak yang mempunyai tekanan tinggi akan ditolak ke kawasan yang rendah tekanannya melalui lubang/foramen .Ini menyebabkan kerosakkan bahagian otak tersebut).
2. Penyakit kulit papa bahagian yang mahu dicucuk(LP area).

3. Masalah pembekuan darah/Coagulopathy.


Bagaimana melakukan LP ?

Kebenaran atau consent diperlukan untuk prosedur ini.
Pesakit akan diterangkan bagaimana prosedur ini dilakukan,risiko dan faedahnya.
Pesakit akan baring atau dalam keadaan duduk dengan membengkokkan badan seperti kedudukan bayi dalam kandungan(fetal position).

Kawasan untuk LP akan dikenalpasti, iaitu bahagian L3-L4 atau L4-L5( kawasan tulang belakang,lumbar vertebra ke-3 atau ke-4) kerana di kawasan ini, kedudukan saraf tunjang hanya pada L1-L2, kawasan LP ini hanya memiliki saraf seperti bebenang yang tersusun seperti ekor kuda. Bagaimana nak tahu kedudukan L4/L5 atau L3-L4? Dengan merasa tulang pelvic(tulang punggung). Kedudukannya yang searas dengannya ialah L4-L5. Penanda diperlukan untuk menetapkan kedudukan dengan tepat.

Kemudian,antiseptic solution(cecair iodine) akan disapu untuk sterile kawasan LP,dan dibiarkan kering sebentar.


(LP needle (jarum lumbar puncture), agak panjang . mengandungi 2 komponen iaitu jarum dalam(stylet) untuk mengelak tertarik saraf disebabkan tekanan negatif dalam jarum semasa jarum ditarik keluar dan jarum luar untuk guide puncture.)

Selepas itu, Jarum LP akan dicucuk sehingga titisan cecair (CSF) keluar. Sebanyak 3 atau 4 botol kecil diambil bergantung pada ujian yang mahu dilakukan. 10 titisan setiap botol sahaja diperlukan.Cecair yang diambil tidak menghabiskan cecair yang berada dalam badan.

Komplikasi LP :

1. Headache(sakit kepala)- akan pulih dalam 2-3 hari selepas itu. CSF dalam badan dalam 150ml.
2. herniation.
3. Infection (jangkitan jika tidak menjaga kebersihan LP)
4. kecedaraan saraf kecil jika kecuaian berlaku. Jarang berlaku.


(Tulang belakang manusia)

untuk maklumat lanjut.. http://emedicine.medscape.com/article/80773-treatment

Thursday, November 5, 2009

Fikir-fikirkan



Peringatan Buat Diri Sendiri


p/s- Orang kata.. cerita paling membosankan adalah cerita tentang diri kita sendiri. betul ke? Aku rasa mungkin betul. Jadinya, sesiapa yang berfikiran demikian, maafkan aku, kerana blog ini banyak catatan daripada pengalaman diri. Blog ini sebagai otak kedua aku untuk menyimpan pengalaman silam.


5 November, Khamis, antara hari-hari di penghujung tahun 2009. Pagi ini,setelah aku mengikuti kelas Lumbar Puncture, aku ke bilik pembedahan,OT bersama dua rakan aku,berpakat ke sini untuk mempelajari sesuatu. Pesakit tersebut memiliki ketumbuhan pada saraf tunjangnya, (sch+ epndy). Maka pembedahan untuk membuangnya dijalankan.

Inilah , pertama kali aku berada di bilik pembedahan selama hampir 5 jam untuk menyaksikan pembedahan di samping membantu doktor Neurosurgery. Memang banyak yang aku pelajari dari pengalaman ini. Kami juga ponteng kuliah untuk ke sini , bak kata seorang doktor yag pernah aku terima rawatannya, ‘ponteng sahaja sesekali kuliah andai ada peluang yang baik atau kamu ada masalah yang perlu diselesaikan. Kuliah dalam bidang perubatan ini tak akan habis’. Sebab itulah aku berani ponteng kali ini.Dulu, aku selalu meninggalkan peluang keemasan kerana menuruti sistem yang ada kala tidak sesuai dengan diri.

Ketika pembedahan dijalankan,dari situlah satu per satu organ atau tisu di badan manusia aku perhatikan dengan jelas sehingga tulang belakang dikerat untuk mengeluarkan ketumbuhan atau tumour dalam saraf tunjang. Akhirnya, saraf tunjang itu dapat aku perhatikan,jalur putih dan dihujungnya bercabang seperti benang putih yang tersusun seperti ekor kuda,(cauda equina). Allah Maha besar, saraf yang sekecil benang itu memainkan peranan yang besar dalam tubuh. Hanya manusia yang tidak sedar akan tanggungjawabnya terhadap penciptanya yang telah memberi kekuatan,tetapi tidak mahu mengabdikan diri.

Setelah lapisan yang membaluti saraf tunjang dibuka dengan mengerat salutan itu secara teliti. Ketumbuhan yang ada dapat diperhatikan dengan lebih jelas di tempat yang telah disyakinya melalui ujian radiograh,CT scan. Setelah hampir 5 jam kemudian, barulah,siap procedure pembedahan dan pesakit siap untuk dihantar ke ward. Mungkin kesakitan ketika pembedahan itu tidak dirasai,tetapi setelah bius habis di badan, pastinya sedikit derita akan dirasai kerana procedure tersebut. Hanya kesabaran menjadi kekuatannya. Aku sungguh kagum pada mereka yang menjalani pembedahan ini kerana beranai menghadapi kesukaran dan kesakitan demi masa hadapan yang lebih baik. Ibarat bekorban sedikit demi kebahagiaan masa akan datang. InshaAllah.


Pengajaran hari ini, aku perlu berani menghadapi kenyataan hidup,sanggup bekorban, tenang dan belajar dengan lebih bersemangat untuk membaiki kelemahan diri.

Adakah kita layak menerima darjat yang lebih tinggi sedangkan usaha kita hanya sedikit ?

Adakah kita sanggup merasa kejayaan seorang diri dengan merasa diri ini adalah seorang yang bijak dan pandai ?

Tidakkah kita terfikir ilmu yang kita ada hanya setelah kita berbincang dengan rakan-rakan, jarang sekali mutlaknya terletak atas usaha kita?