Wednesday, October 28, 2009

Realitinya aku 'unconcious'


Aku stres rupanya….....


Sudah hampir seminggu aku tidak menulis diblog ini,bukan kerana aku merajuk atau malas,tetapi kerana aku terhenti di tengah perjalanan. Sudah beberapa kali aku mencuba untuk ‘post’ artikel walaupun pendek, tetapi hakikatnya,aku tiada berkemampuan kerana merasakan ada yang tak kena. Sehingga hari ini pun aku masih dalam keadaan yang kurang stabil. Hari ini aku menjalani peperiksaan psychiatry setelah sebulan berada di sini. Alhamdulillah, perjalanan peperiksaan tadi tidak diganggu langsung oleh stress aku. Aku memang bersyukur. Selalunya,bila aku stress,perasaan itu terbawa-bawa sehingga aku menjalani exam. Jadi, sebab itu, aku akan menjauhi sebarang pergaduhan ketika hampir peperiksaan,mula bersangka lebih baik,tenang,jaga makan dan minum dan segalanya. Apa yang penting,aku akan kembali pada pencipta dengan lebih sedikit daripada kebiasaannya kerana kelalaian aku. Kerana masa atau jangka masa yang mendebarkan itu pastinya mengundang stres dalam hati, hanya kepada Allah kita mengharap.

(ketika mula-mula belajar menunggang kuda)

Seminggu telah berlalu dengan pelbagai kerenah diri dan orang disekitar. Pelbagai buah mulut dihadiahkan kepada hati yang tengah tertekan menambahkan bebanan diri. Mulalah badan akan bermasalah dengan tidurnya,makan dan keletihan. Muka pula akan mula menunjukkan kita tertekan dan masam. Focus kita akan terbantut dan mudah pula memarahi orang lain tanpa sebab yang munasabah. Kesemua itulah yang akan dialami bila seseorang dalam keadaan stress.Aku juga tidak ketinggalan dalam merasainya juga. Akan tetapi, aku bukanlah orang yang hidup kerana dunia, aku ada akal untuk berfikir secara hikmah dan menuruti arahan Yang Maha Esa. Aku sedar selera aku juga berubah, tetapi aku kawal makanan aku agar tidak membazir atau aku yang tidak menjamahnya. Kesihatan badan wajib dijaga. Aku sedar juga, fokus aku terganggu dan sukar mendapat hasil daripada study aku. Akan tetapi aku insan yang mahu belajar memahami kehidupan sebagai hamba Allah. Hidup ini pastinya akan diuji. Hari yang dijanji pasti akan datang.

Semalam,ketika hati mula gelisah ditambah pula aku yang mahu exam, hatiku mula mencari jalan keluar daripada keadaan stres ini. Lantas, aku duduk sebentar dan imbas balik kata-kata guruku, ‘ hati yang mati itu sukar untuk khusyuk dalam ibadahnya. Bagaimana kamu dapat hidupkan balik hati itu ialah dengan banyakkan ingat Allah ,berzikir padaNya’. Aku pun mula tersentak dan ingat kembali padaNya ketika dalam keadaan tertekan ini. Ketika di surau,aku berfikir sejenak, “kenapa aku harus tertekan? Esok pula aku akan exam,Argh! Takutnya !”. Hatiku mula menjawab, “ kenapa aku perlu takut dengan exam? Buat sahaja yang terbaik yang kamu mampu lakukan. Kamu takut pada manusia? Mengapa? Sedangkan kamu buat perkara yang dibenci Allah,kamu tidak pernah rasa bersalah atau takut? Mengapa? Tidakkah kamu rasa aku mempermainkan tauhid kamu?” aku terdiam dengan kata-kata aku sendiri. Azamnya, aku terus lupakan gementar aku,aku lupakan tekanan aku, kemudian hidupkan amalan aku,husnuzan dan terus mulakan hidup dengan lebih kuat. Bersangka baik pada Allah.

Pagi ini 28 Oktober 2009,aku disuruh oleh Prof untuk mencari pesakit dan membentangkan kes tersebut. Huh.. aku mengeluh seketika,bukan kerana apa, sebabnya kedua-dua pesakit yang aku bertanya secara baik menolak permintaan aku. Pesakit pertama itu menolak dengan mukanya yang begitu bengis pada aku,dan yang kedua pula,menolak secara baik dan kelakar pula. Kerana,pesakit tersebut memberitahu nama penyakitnya pada aku, awal-awal lagi. Jadinya, aku terpaksa cari kes lain. Kes ketiga pula, sangatlah rumit dan aku pula dah mula pening. Sebagai jalan penyelesaian,aku bertanya pada pesakit, ‘apa yang doktor beritahu pada pak cik mengenai masalah pak cik?”. Kemudian,dia menjawab, “ doktor pun tak tahu nak diagnose apa?”. Kemudian,namanya dipanggil untuk masuk ke bilik. Aku mengambil kesempatan untuk mencari pesakit lain. Pesakit keempat, Alhamdulillah, sangat bekerjasama dan baik. Semoga Allah memberinya kekuatan menjalani hidupnya. Aku dapat menyelesaikan tugasan aku dengan aman dan tenteram. Kemudiannya,menyusun ayat sebentar dan membentangkannya pada Prof. Memang pengalaman bersama prof agak berbeza,bila soalannya diaju ibarat aku telah khatam membaca buku setebal kamus Dewan Bahasa . Memang agak sukar bagiku kerana aku bukanlah pelajar yang cemerlang dalam mencari jawapan yang rumit. Hanya sekadar pelajar biasa yang menuruti jalan sebagai pelajar perubatan yang tiada panduan perjalanan. Hanya naik sekapal bersama yang lain. Aku punya akal,dan aku tidak akan biarkan akal aku tidur dalam lenanya.



Akhirnya, barulah aku memahami erti stres dalam erti kata lain pengalaman untuk dirasai sebelum aku memahami orang lain. Banyak lagi 'rempah' kehidupan yang aku belum merasai.

Thursday, October 22, 2009

Pandangan Untuk Difikiri

Pengalaman Di Bengkel Mengurus Stres

22 hb Oktober 2009, Khamis, hari ini aku bersama rakan dari kumpulan 7 ,yang dipostingkan di jabatan Psychiatry telah diamanahkan untuk mengadakan Bengkel Mengurus Stress. Hari ini, terasa ingin menulis pengalaman aku di sekolah Wakaf Baru Kota Bharu Kelantan. Biasalah,segala yang berlaku pasti akan aku catatkan dalam memori kedua aku iaitu blog ini.

Segala yang dirancang telah dapat aku laksanakan dengan yang terbaik berdasarkan pengalaman yang aku timba bersama MSFT. Sejak beberapa hari ini, aku seolah ketandusan idea untuk menulis sama seperti blogger lain yang sama-sama dalam kumpulan aku. Entah mengapa aku jadi begini,tiada aku ketahui. Cuma,biarlah hati ini tenang pada Ilahi. Objektif program kali ini ialah untuk berkongsi cara menangani stress agar mereka mampu menjalani masa hadapi dengan lebih bersedia. Seramai 13 orang pelajar tingkatan 3 lepasan PMR telah berfasilitatorkan aku dan rakan perempuan ,Jin lee.


Sememangnya,sukar untuk mengatasi halangan dalam membentuk perhubungan komunikasi(ice breaking). Namu, segala tips dan pengalaman lalu banyak mengajar aku untuk menarik perhatian mereka,sehingga aku rasa mereka menghargai apa yang aku katakan. Tidak kisahlah andai mereka tidak mahu mengikut kata-kata aku ,tapi mesej yang aku mahu sampaikan itu telah dimasukkan dalam fikiran mereka melalui beberapa aktiviti aku yang agak unik berbanding rakan yang lain kerana aku menggunakan kaedah teori dan scenario ditambah pula aku telah ada pengalaman bersama Team Fasilitator MSFT,USM yang kini diambil alih oleh Persatuan Sains Perubatan. Teori disampaikan dengan mesej yang disusun dalam sistematik agar pelajar atau adik-adik memahami. Setiap mesej akan ditekankan dan diulangi agar mereka faham. Setelah itu, aku memberi mereka situasi yang sebenarnya menceritakan perihal masalah mereka sendiri dan menyuruh mereka selesaikan menggunakan cara yang telah diajar melalui teori. Alhamdulillah,mereka memahaminya.

Bahkan, kaedah yang aku sampaikan kepada mereka tentang stress dalm bengkel ini memang jauh menyimpang daripada skema yang ditetapkan oleh ketua kami kerana aku tidak mahu perjalanan bengkel ini umpama robot . Secara jujurnyanya, aku kurang tekankan pada mereka perihal bagaimana stress mengubah sistem badan(bukan memandang rendah tetapi ada mesej yang lagi penting diutamakan ) kerana level mereka tidak mungkin memahami lagi secara terperinci dan ini bukan sahaja memeningkan mereka,tapi mungkin kurang menarik perhatian dalaman mereka. Cadangan asal untuk memberi sedikit ceramah mengenai stress agar mereka dapat idea sebelum membentuk kumpulan kecil untuk bertanya apa-apa yang mereka tidak faham tentang ceramah,tetapi telah diubahsuai. Terpaksa akur.


Biarpun aku ini, kurang pendidikan agama, tetapi ilmu agama itulah aku gunakan sebagai modal motivasi hidup aku. Dengan modal itu, aku laburkan semuanya untuk mereka gunakan sebagai sumber motivasi. Bagi aku, kembali kepada Islam itu adalah jalan terbaik untuk menjadi insan yang cemerlang. Namun, aku keliru pada mereka yang berjaya tetapi sanggup meninggalkan agama atau mereka yang berjaya tetapi seolah merasakan agama Islam itu sekadar kewajipan sahaja. Bahkan dalam diri,aku mengaku bahawa tanpa Islam, aku tidak akan berjaya di tahap sekarang ini. Kerana aku mengenali Islam aku ,segala perbuatan aku dijaga,setiap fikiran aku dijaga,setiap makan dan minum aku dijaga. Stress aku juga dibela dan ditenangkan oleh cahaya Islam. InshaAllah.

Sunday, October 18, 2009

ingatkan aku....





.... Bila hati ini

MATI...???

... kepada siapa yang harus aku mengharap?......


Tidakkah kau terfikir hidup atau mati hati ini...?

setiap kemaksiatan berlaku.... pernahkah hati ini terdetik untuk membencinya dan memperbetul keadaan..?

hati yang tiada kekuatan bagaimana mahu menjadi insan yang gagah?
hati yang rapuh mahu pula untuk berdebat tentang ketuhanan ?

bantulah daku ke jalanMu Ya Allah.. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani....

Monday, October 12, 2009

S-U-S-A-H atau U-S-A-H-A

Masa untuk Berubah

12 oktober 2009,8am-9.30am, aku ke Besut,Terengganu untuk lawatan ke Pusat Serenti atau PUSPEN. Di sini, aku bersama rakan-rakan seramai 27 orang akan membuat perbincangan atau perkongsian tentang kesihatan terutamanya tentang merokok. Namun, itu bukanlah topik yang mahu aku ceritakan,kerana aku mahu berkata sesuatu disebalik kisah hari ini yang mungkin orang lain kurang mengerti tentangnya.


(PUSPEN Besut,Terengganu)
Berbincang bersama pelatih di sini, aku banyak sekali belajar tentang pengalaman dan pandangan mereka yang aku rasa sangat berkualiti mutunya. Contohnya, ketika mereka berbicara soal kempen merokok, kerajaan hanya tahu berkempen tentang rokok ini melalui media dan di majlis yang tertentu, sedangkan mereka di kawasan kampung ini jarang sekali dapat memahami mesej yang mahu disampaikan. Walaupun mereka tahu bahaya merokok tetapi kurang memahami bagaimana rokok itu bertindak ke atas badan seseorang. Ibarat iklan atau kempen itu sekadar memenuhi syarat sahaja, asal buat je. Tiada kempen secara agresif untuk menyebarkan maklumat itu sehingga ke ‘lubang cacing’. Pelatih tadi juga berkata,dia juga merasa tiada gunanya kempen atau rawatan diberi andai mereka sendiri tidak mahu berubah, masuk ke PUSPEN seribu kali pun andai degil juga, tiada maknanya.
Ketika sesi perbincangan itu hampir tamat, aku sempat berbual dengan seorang pelatih dalam lingkungan 20-30an, sungguh ramah dia menjawab soalan aku. Dia menerangkan satu persatu tentang PUSPEN. Wajahnya mengharapkan dia mampu berubah dan keluar dari PUSPEN dengan masa depan yang lebih cerah. InshaAllah. “Ada masa lagi,panjang umur,kita bertemu lagi ,kat USM ke atau tempat lain,inshaAllah”katanya sebagai penutup perbualan yang singkat itu. Apa maksud orang yang berkata sedemikian? Aku tertanya-tanya mengapa sesetengah orang berkata sedemikian manakala yang lain tidak. Adakah ia membawa maksud ukhwah itu terbentuk atau sekadar kata-kata. Mengapa aku tertanya-tanya? Kerana beberapa pesakit yang rapat dengan aku selalu berkata demikian ketika saat perpisahan,iaitu pulang ke rumah. Entahlah… Aku yang dalam kumpulan perbincangan ini kurang sedikit bercakap kerana aku kurang bersedia sedikit,tetapi aku membiarkan mereka bercakap untuk mereka kongsikan pengalaman. Sedangkan aku, hanya mampu menambah point yang aku rasa perlu. Aku mahu sahaja berkongsi pengalaman aku, tetapi aku rasa tidak dapat kestabilan keyakinan dalam diri,mungkin malam tadi aku tertidur lebih sampai 10 jam tanpa sedar. Tak sempat nak study pasal ‘smoking’ terutamanya bagaimana mahu merawat dan tips berhenti secara berkesan kerana cara biasa mungkin sudah lali ditelinga mereka.
Jam 11 pagi,kami ke dewan mesyuarat untuk sesi pengenalan PUSPEN lebih lanjut, dan ada juga sesi perkongsian dengan pelatih yang sudah hampir tamat tempoh pemulihannya. Alhamdulillah, tirai perbicaraan pelatih itu sungguh molek didengar kerana dimulakan dengan puji-pujian terhadap ilahi. Dia seterusnya menceritakan sejarah penyalahgunaan dadah, Heroin. Dia juga bersyukur kerana berada di PUSPEN. Banyak yang dia pelajari. Sehingga merasakan dia telah berubah dan menjadi orang yang lebih menyayangi antara satu sama lain. Melalui program halaqah dan TC(terapi kekeluargaan).Sanggup membantu sahabatnya yang sakit tanpa merungut . Kehadiran kami pula ke sini, menyedarkan dia juga bahawa masyarakat di luar masih menerima mereka walaupun kesilapan lalu menggelapkan nama baik mereka di sisi keluarga mahupun masyarakat. Dia juga mengingatkan kami semua bahawa kemahuan diri sendiri untuk berubah itu lebih penting dari segalanya andai kita benar-benar impikan kejayaan dalam hidup. Akan tetapi,dia juga menyedarkan aku bahawa aku perlu bersyukur tentang apa yang Allah berikan pada diri ini. Mengapa? Kerana pelatih tadi bersyukur pada Allah kerana dikurniakan sifat pemalu dan pendiam,di mana kedua sifat inilah yang membantunya dalam usaha berhenti mengambil bahan terlarang. Sedangkan aku, sejak dari dulu lagi,asyik merungut mengapa aku terlalu pemalu dan pendiam sehingga aku tertekan dengan kelemahan ini, sehingga sekarang ini juga. Walaupun aku menyedari malu itu sebahagian daripada iman,tetapi aku hanya dapat mengawal diri lima puluh peratus sahaja. Akan tetapi,ditambah pula bahawa hari ini,sifat ini rupanya ‘hadiah’ buat aku untuk menjadi pelindung diri daripada terjebak dalam perkara yang melalaikan. Mengapa? Sungguh aku sedar, memang ia terjadi sejak kecil hingga dewasa, tetapi aku ini manusia lemah,kurang memahami hakikat kejadian manusia di dunia. Akibatnya,aku diibaratkan oleh sahabat aku sebagai orang yang baik,kiranya dalam kelompok orang berkopiah, walaupun aku bukanlah tahu banyak tentang agama berbanding mereka sekalipun. Biasalah, orang pendiam itu biasanya lebih dipandang baik. Hakikatnya, orang yang pendiam inilah menyimpan sejuta malah berjuta dendam dan rancangan yang kalian sendiri tidak tahu. Aku? Mungkin ada atau tidak. Islam itu satu-satunya agama yang telah dibenarkan mengalir dalam segenap tubuhku walaupun banyak lagi tisu di badanku yang belum diresapinya.


Akhirnya, pengajaran yang aku perolehi di sini ialah harus ada kekuatan dan pengorbanan dalam mendisiplinkan diri, mensyukuri nikmat dan menyesali perbuatan hina yang lalu. Berusaha dan terus berusaha. Sebagai pelajar perubatan, aku harus berusaha lebih gigih untuk menjadi yang terbaik dalam menguruskan masa hadapan yang lebih cerah. inshaAllah. Blog ini adalah sebahagian catatan aku untuk aku terus bermuhasabh diri dan menanti sebarang teguran.

Sunday, October 11, 2009

Jom Makan !

Parit Jawa in Batu Pahat

Sudahlah terkenal dengan parit yang melambak, kini aku tertarik pula pada satu tempat yang menghidangkan masakan lauk tengahari kegemaran aku iaitu asam pedas(walaupun bukannya 100% aku suka…).
Perjalanan hampir 4 minit dengan kereta kerana panduan ala-ala makan angin ketika raya ketujuh,hari terakhir aku berada di Batu Pahat sebelum pulang ke Kelantan,negeri yang penuh ketenangan,inshaAllah(tapi sejak dua menjak ni agak tak tenang sebabnya ada gangguan dari luar). Berbagai jenis ikan dimasak dengan menu asam pedas antaranya ikan Merah, ikan Pari, ikan terubuk dan lain-lain lagi. Semuanya sedap. Ada beberapa restoran di sini tetapi hanya satu restoran terpiih untuk dimuatkan dalam slot rancangan di TV3,mungkin program ‘Jalan-jalan Cari makan’ aku pun tak pasti kerana jarang ke sini.



Parit Jawa ni terletak antara Bandar Batu Pahat dan Bandar Muar,orang kata jalan Muar lokasinya. Memang tiada belok-belok,jalannya lurus sahaja.Aku sengaja memasukkan catatan ini kerana ingin menyimpan kenangan ketika raya ke-7,waktu aku mahu pulang ke university dan keadaan aku tengah tak tenteram,dengan tiba-tiba ,aku diajak ke restoran asam pedas.Buat-buat berselera la nampaknya.



Namun, kerana lokasinya bersebelahan dengan laut, sungguh tenang hati ini melihat keagungan ilahi tatkala mendengar ombak memukul daratan.



Hari Ini Untuk Difahami


11 Oktober 2009, pagi Ahad ini aku ke ward 5 seperti biasa untuk tujuan pembelajaran atau clerk case andai ada kesempatan. Mula-mula lagi, aku telah membuka tirai pagi ini dengan mengikuti aktiviti senaman bersama pesakit psychiatric ini. Aku bersenam tanpa rasa segan walaupun ber'white’ coat. Kemudiannya mengikuti occupational therapy oleh pelajar UITM, mereka menyuruh pesakit semua membuat ayat dan juga kad hari lahir. Macam-macam kerenah mereka aku perhatikan. Apa yang penting mereka semua mengikuti kelas itu dengan sepenuh hati. Aku pula terkejar-kejar dengan satu persatu aktiviti. Ini kerana terapi ECT atau electroconvulsive therapy telah dijalankan beberapa minit lalu ketika aku berada bersama pesakit. Namun, aku tidaklah kecewa sangat kerana ada satu lagi pesakit yang memerlukan rawatan itu. Rawatan ini dilakukan dengan selamat,pesakit akan diberi ubat penenang dan bius, kemudian sedikit 5-10% kalau tidak silap cas elektrik yang diberi kepada pesakit dalam lingkungan 20 tahun itu. Prosedur ini hanya mengambil masa tidak lebih 30 minit. Selepas kejutan elektrik diberi, pesakit akan mengalami seolah sawan(fits) atau generalised tonic clonic. Kemudiannya akan sedar beberapa minit seterusnya.

Aku seterusnya membantu staf untuk menghantar pesakit tersebut balik ke ward. Memang aggressive. Seolah terapi tadi tidak memberi kesan.Selepas itu, aku ke klinik pula untuk mendapatkan case baru untuk pembentangan. Dapat la seorang yang begitu peramah. Alhamdulillah. Sebenarnya, hari ini aku tersentak,kerana aku merasa hidup aku ini kurang jelas matlamatnya dan kurang panduan untuk mencapai matlamat itu. Hari ini juga,aku belajar banyak benda untuk menjelaskan matlamat aku itu. Andai dahulu aku belajar seorang diri kerana aku tidak mahu bergantung pada orang lain, kini aku terpaksa belajar bekerjasama dalam pasukan yang kebanyakkannya tidak mahu dan tidak suka untuk bekerja dalam pasukan. Alasannya, mahu berlatih berdikari. Bagi aku, bekerja dalam pasukan itu sangat berguna untuk belajar dan tolong ahli yang lain dan juga diri sendiri. Melaluinya, kita kena proaktif serta jangan biarkan diri kita bergantung pada orang lain. Berdasarkan rawatan dalam psychiatric juga, semuanya dilakukan dalam kumpulan, jarang sekali dilakukan sendirian. Mengapa harus melakukan bersendirian? Memanglah kita akan belajar buat sendiri,dan kita juga akan tahu banyak benda andai kita banyak bertanya. Akan tetapi, bidang perubatan dan juga umur yang semakin dewasa, orang lain memainkan peranan dalam pembangunan rohani,emosi,intelek serta keyakinan kita. Hargailah mereka.

Hari ini juga aku terkesima dengan layanan beberapa orang yang seolah memandang tidak kena terhadap aku, mungkin perasaan aku, atau aku paranoid. Namun, usahlah paranoid aku itu menjadi kenyataan. Mereka memandang serius setiap gurauan aku sehingga aku tercengang dengan kata-katanya. ‘Kumpulan’ yang aku harapkan terbentuk untuk pembelajaran aku kini telah terpisah dari alam aku. Aku sendiri kurang memahami hakikat kehidupan seorang pelajar di sini. Mengapa mereka bertindak sendirian? Berseorangan? Kerana masing- masing ada matlamat. Sendiri mau ingat la? Begitukah tujuan semua ini? Entahlah.. namun apa yang penting,kita bersabar menanti waktu yang sesuai untuk bertindak dan menuai hasil. Usah merungut.

Friday, October 9, 2009

8- 10 Oktober 2009

Hari Terbuka Desa

Hari ini, aku melawat ke Flora and Fauna Fest sebabnya aku minat binatang dan tumbuhan.., ..... sekadar beberapa photo untuk dikongsi..





(yang peliknya, kenapa iguana ni tak tukar warna pink ye?? lama dok dalam sangkar pink, atau ink pink dah habis??..)



(kucing ni nampak malas je... atau memang malas.. husnuzan...!!!)



(aku harapkan kuda yang dibawa ke USM,tapi kambing pula yang dapat... jadi la..)






(tak tahu plak, arnab ni 'make up' atau memang dilahirkan sedemikian..)

Thursday, October 8, 2009

Belajar lagi...


Dunia Yang Berbeza

8 Oktober 2009, hari ini Khamis, hari terakhir minggu pertama,untuk sesi pembelajaran aku di posting Psychiatrics. Banyak lagi yang perlu belajar, teori dan praktikal serta kemahiran yang lain juga. Sungguh berguna dan tidak sia-sia apa yang aku alami dan pelajari selama ini. Dahulunya aku merungut dan sedih tentang sesuatu perkara itu akhirnya member impak pada diri ini untuk digunakan pada masa akan datang.
Petang tadi,aku melengkapkan misi aku mendapatkan maklumat tentang pesakit jiwa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelikan mereka berbicara itu ada kala boleh membuat anda tertawa tanpa henti. Namun, bagi kami, bakal pengamal perubatan, apa yang mereka katakan itu adalah maklumat berguna dan bukan untuk ditertawakan. Mereka mempunyai masalah dan ramai antara mereka juga merupakan golongan yang bijak dalam agama. Aku terkesima tatkala aku berbual mendapatkan maklumat,azan pula berkumandang,dan pesakit tadi pun memberi sedikit tazkirah yang sangat berguna. Bukan sahaja misi tercapai,malah keinsafan tersemai di hati. Aku berasa mereka juga banyak menyedarkan aku tentang mengingati Tuhan. Manakan tidaknya, setiap kata-kata, ada sahaja perkataan seperti inshaAllah, Alhamdulillah dan allahuakhbar. Aku jarang sekali dapat bertemu dengan pesakit yang otaknya normal tetapi menyebut dan mengagungkan nama Ilahi. Kebanyakan pesakit lupa untuk bertasbih dan berzikir pada ilahi. Mengapa? Tapi bukanlah semua,ada segelintir yang masih mengingati Allah lebih dari keadaan biasa. Itulah hidayah Allah kepada mereka yang dikehendakinya.


Manakala,peristiwa petang ini diteruskan lagi dengan cubaan mendapatkan maklumat daripada pesakit perempuan. Seperti sangkaan aku,ward perempuan lebih mencabar berbanding lelaki seperti yang dikatakan oleh kawan-kawan aku juga kerana sifat perempuan yang beremosi dan mudah tersentuh. Aku yang turut berada dalam perbualan kawan aku itu, cuba memulakan pertanyaan sebagai pembuka bicara sebagai langkah mendapatkan ‘kunci’ untuk membuka ‘pintu’ perbualan aku dengan pesakit. Jika,tidak mendapat layanan yang baik,maka aku terpaksa akur begitu juga sebaliknya. Aku akhirnya berserah dan akur akan layanan yang kurang baik daripada pesakit. Mungkin kerana aku seorang lelaki di situ atau mungkin dia tidak selesa dengan pertanyaan aku. Aku masih tertanya, tetapi bukanlah untuk aku risaukan. Insan seperti mereka wajib dimaafkan.


Selepas misi mencari maklumat selesai, aku turun ke ward oncology(ward pesakit barah) dengan tujuan mendapatkan pesakit untuk program Kajian Kes Kemuniti dan Keluarga anjuran Pusat Pengajian Sains Perubatan(program CFCS). Hari ini,aku tidak berjaya untuk mendapatkan pesakit yang aku mahu tetapi aku dapat sesuatu yang sangat berharga iaitu layanan yang begitu baik oleh staf HUSM di ward tersebut. Aku cuma bertanya sahaja dan mereka pula cuba sedaya upaya untuk mencari pesakit tersebut. Sedikit sebanyak terasa, alangkah bagusnya andai kita semua dapat berbuat baik lebih dari kebiasaan dan menjadi lebih baik dari masa ke semasa. Walaupun nampak remeh,tetapi itulah hakikat kehidupan,apabila ada orang yang begitu baik terhadap kita dan ada pula yang sangat jahat terhadap kita sehingga boleh membuatkan kita terseksa.

Monday, October 5, 2009

Riadah Bersama SOLUSI

SOLUSI

....................................................................................



....................................................................................



Majalah yang berkisar soal agama Islam yang sungguh menarik dan sangat tinggi kualitinya.
Tidak terlalu panjang artikalnya sehingga memberi kesan negatif dalam jiwa, dan tidak terlalu pendek isu pembentangannya dalam membicarakan perkara yang serius...

Friday, October 2, 2009

Pengalaman Belajar

.:: DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI ::.


Batas Kemampuan Seorang Insan


1 Oktober 2009, hari ini Khamis mengundang pelbagai kecelaruan atas maklumat yang agak tidak tepat kebenarannya. Masalah berkaitan penghantaran tugasan sahaja. Bukan maslah besar pun. Pengajarannya, jangan mudah percaya pada sesuatu berita yang datangnya daripada orang yang tidak difahami sikapnya. Bukan mahu mengutuk, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga agar kita tidak mudah diperdaya dan melenting. Bertenang itu langkah yang sewajarnya.


Pagi yang cerah ini membuatkan aku pening sedikit kerana tidur hanya 4 jam, dek berlatih ‘stay up’ untuk posting di ward bersalin(O&G) beberapa bulan lagi. Agak sukar juga membiasakan diri, maklumlah, aku ini hanya insan biasa yang agak pemalas dan suka tidur banyak. Kemalasan aku inilah ada kala membuatkan aku jadi lebih cerdik dalam menipu dalam sesuatu pekerjaan. Contohnya, apabila guru matematik memberi latihan yang begitu banyak, dan soalannya berkisar pada masalah yang sama, maka dengan sengaja aku akan melompat beberapa soalan,iaitu meninggalkan beberapa soalan,kononnya aku tidak sengaja meninggalkan soalan tersebut. Malah,dalam fikiran aku, guru aku mungkin tidak perasan soalan yang aku tinggalkan sebabnya, banyak buku yang perlu ditanda. Sungguh buruk perangai aku. Bukan tidak mahu buat,tetapi banyak kerja lain yang perlu dilakukan dan yang paling penting tidur yang mencukupi.

Malam ini, aku bercadang untuk ke ward untuk melihat kes pesakit yang sesuai untuk diisi dalam buku log, namun, ada cerita yang menarik mengajar aku menjadi lebih peka dan matang dalam berfikir,inshaAllah. Inginku kongsikan pada pembaca blog ini anda sempat membaca hasil penulisan yang berbelit ini satu persatu.

Bermula pertanyaan aku kepada pesakit itu tentang masalah yang yang dihadapi sehingga membuatkan dia masuk ke hospital. Pesakit yang memiliki banyak penyakit itu menceritakan satu persatu masalahnya. Sebenarnya, aku tersilap pergi katil pesakit, memandangkan pak cik tersebut segar lagi dan boleh bawa berbual,aku terus menerpa padanya. Minta izin dan memperkenalkan diri sepertimana kebanyakan pelajar lain buat,telah aku tinggalkan sementara kerana strategi itu hanya mengundang kurang selesa pada pesakit seolah-olah kita mahu bertanya macam polis. Tapi, untuk peperiksaan, semua wajib melakukan demikian. Berbalik pada topik,beliau juga fasih berbahasa Inggeris berbanding aku yang agak lemah sebabnya,memang lambat sikit bab bahasa . Maklumlah, keluarga pun tidak pandai berbahasa Inggeris dan tiada suasana belajar di rumah. Mencari nafkah. Pesakit ini tinggal seorang diri di rumah dan dia khuatir andai dia mengalami stroke, tiada siapa yang akan dapat membantu. Buah pinggang, jantung , paru-paru dan kencing manis telah lama menghinggapi jasadnya. Beliau ini sangat peka tentang penyakitnya serta menjaga makanan dan ubat. Internet itu juga teman hariannya untuk mencari maklumat tentang kesihatan. Tujuan aku bertemunya adalah untuk mengambil sejarah penyakitnya secara ringkas tentang penyakit yang terkini, tetapi, itulah aku apabila sudah berbual, pastinya aku akan lebih mesra dan berkongsi cerita. Sedangkan perkara itu jarang sekali dibuat oleh pelajar perubatan yang lain kerana membazir masa. Bukan aku memuji diri,tetapi, aku tidak sanggup memotong cerita pesakit yang mahu meluahkan masalahnya semata-mata untuk mendapatkan maklumat perubatan untuk diri( Sedangakn pesakit tidak mendapat apa-apa melainakan penat bercakap). Aku ketika ini, bukanlah pada waktu peperiksaan, masa yang terluang itu masih banyak. Izinkanlah diri ini untuk berbual dengan pesakit.


Akhirnya, sampai suatu masa, beliau bertanya pula pada aku ‘Mohd Fadzli ye? Sebenarnya kamu nak tahu tentang apa lagi? Takut pak cik tak beri maklumat yang dikehendaki’. Aku terkesima dengan soalan tersebut, andai aku membuat pesakit tidak selesa atau aku ini masih perlu gilap kemahiran mengambil maklumat pesakit. Lantas, aku berkata, ‘sebenarnya saya ni mahu tahu serba sedikit tentang latar penyakit pak cik la, bagaimana ia bermula?’. Pak cik pun menjawab segera, ‘ oh, kalau macam tu pak cik terangkan lebih lanjut ye.’ Pesakit tersebut menceritakan perihal penyakit yang dialaminya itu bermula sejak isterinya meninggal dunia. Beliau … Lost of his life, lost of responsibility and lost of self-esteem. “Sejak kehilangan isterilah pak cik berubah. Anak pak cik pun perasan perihal ini. Pak cik hilang segalanya. Soal hidup dan merasakan tiada arah lagi…Kawan? Di mana mereka? Sms pun tiada,kad raya pun tidak hantar. Jenguk apatah lagi.. Jiran? Jiran zaman moden ini hanya mengejar harta dan kekayaan. Datang hanya ada majlis,jenguk pun tidak. Tapi tidak boleh salahkan mereka kerana mereka pun ada masalah dan mungkin juga sengsara sama seperti pak cik. Ketika ini, hanya keluarga yang akan bersama kita. Ingat ni, bukan kerana apa-apa,tetapi, kerana born(pertalian) yang wujud itu membuatkan ibu,bapa,abang,adik,kakak dan saudara kita sentiasa bersama kita. Janganlah harap kawan-kawan kerana mereka itu hanyalah sementara melainkan wujud persahabatan yang benar”. (Dialog tersebut adalah modifikasi daripada perbualan kami.)

Apabila beliau tertekan dengan kehilangan isteri tercinta,hidupnya berubah dan hilang arah tujuan. Malah, segala tanggungjawabnya sebagai seorang yang aktif beraktiviti kini terhenti tanpa kata-kata. Hidupnya tergantung tidak bertali,hanyut dibawa arus perasaan yang menghantui kehidupannya. Umur yang sudah mencecah lebih setengah abad ini pastinya mengundang pelbagai masalah lain,apabila jiwa sebagai orang yang berumur lebih sensitif dan mudah tertekan akan mengganggu kesihatan badannya. Rupanya aku menyedari, latar penyakit seseorang itu sangat berkait rapat dengan kestabilan emosi dan rohani seseorang itu. Andai dia seorang doktor sekalipun, tetapi tidak memiliki jiwa yang kental, jika putus cinta atau kecewa dengan hidup, pasti akan merana hidupnya. Makan dan minum pun entah kemana. Sebab itu juga, bidang perubatan kini telah mengintegrasikan aspek emosi,psychology dalam rawatan pesakit. Hanya ketenangan itu mampu menjadi penawar yang berkesan pada pesakit.



Pengajarannya, walaupun kita tahu bagaimana merawat penyakit tertentu seperti Diabetis, atau darah tinggi, belum tentu kita dapat merawatnya dengan berkesan kerana pesakit itu mungkin tidak makan ubat yang diberikan kerana merasa dirinya tidak berguna lagi. Betul tak? Jadinya, aspek sokongan daripada keluarga,kawan-kawan dan kewangan itu sangat penting dalam merawat pesakit dan inilah yang selalu kita pandang remeh ketika bertanyakan maklumat pesakit.

Pesanan akhir setelah aku meminta untuk berundur, beliau mengingatkan aku bahawa “ janganlah buat apa yang kamu sendiri tidak suka orang lain buat pada kamu,kepada orang lain. Buruk padahnya nanti” itulah kata-kata akhirnya setelah mengucapkan terima kasih pada aku walaupun aku tidak mampu berbuat apa-apa padanya melainkan meluangkan masa aku untuk mendengar masalahnya. Terkesima sekali lagi aku dengan pesanan ringkas itu. Teringat akan perbuatan nakal aku pada orang lain. Sekarang ni,aku hanya berserah pada kebenaran Ilahi. Kembali pada jalan yang benar.


Thursday, October 1, 2009

Melawat Saudara



29 hb September 2009, Selasa,hari ini aku agak sibuk bersiap sedia untuk peperiksaan posting medical(USM), manakala petang itu, aku perlu bergegas ke rumah pak cik aku di Bachok,Kelantan untuk menghantar barang yang dipesan. Dua bungkus tempe pedas dan sebungkus buah kembang semangkuk.

Seperti biasa, motorsikal kawan aku yang menjadi tunggangan. Kali ini aku pergi seorang diri kerana tidak mahu menyusahkan kawan aku yang sibuk menelaah pelajarannya. Dalam pukul 6 pm aku bergerak menuju ke destinasi, sepanjang perjalanan, aku melihat betapa cantiknya keindahan alam terbentang, bersama sawah padi yang menguning dan awanan yang kekuningan di sinari mentari petang. Sungguh menenangkan hati ini. Kelajuan aku tidak melebihi 70km/jam kerana aku mahu melihat alam sekitar sepuasnya.


Setibanya di rumah pak cik aku, sedikit makanan dihidangkan dan anaknya yang berusia dalam 1 tahun itu memandang aku dan cuba mengambil perhatianku. Macam terbalik rasanya kerana aku sepatutnya yang mengambil perhatian budak kecil. Aku seorang yang agak pemalu dan kurang pandai melayan budak kecik. Selalu juga buat mereka nangis. Tetapi, andai mereka sudah kenal aku, maka tidak berjaraklah mereka dari aku, sehingga aku mahu ke tandas pun nak ikut. Itulah aku yang susah memulakan perhubungan komunikasi dengan sesiapa sahaja sebenarnya. Kena banyak belajar sebabnya posting di Paediatric memerlukan kemahiran tersebut. InshaAllah, diharap segalanya akan memihak pada diri.

Perbualan aku bersama pak cik agak panjang dan aku tertarik pada masalah pak cik aku. Dia kurang sihat dan rawatannya di klinik telah terjejas kerana doktor yang merawatnya telah meninggal dunia. Apa yang menjadi tanda tanya ialah, umur doktor dan penyakit yang dialami. Beliau berumur bawah 40 tahun dan mengalami serangan jantung ketika raya kedua. Beliau juga seorang yang agak berisi(berbadan besar). Secara amnya, kerja sebagai doktor pula agak kurang bersenam. Pak cik aku pun pening, mengapa doktor yang merawat sakit jantung pun masih meninggal awal kerana sakit jantung. Pak cik juga memberitahu bahawa, 5 kawannya telah meninggal seminggu lalu kerana masalah jantung secara tiba-tiba.

Persoalannya…. Adakah kita takut tentang kenyataan di atas? Atau kenyataan itu hanya rekaan semata-mata? Terpulanglah, tetapi, sepanjang saya berada di ward perubatan, begitu ramai pesakit jantung sehingga penuh katil diisi oleh pesakit tersebut. Oleh yang demikian, ‘beriman’ pada ilmu itu perlu sebagai tanda kita bersyukur pada ilahi. Maksudnya ialah mengamalkan ilmu yang kita pelajari, termasuk diri ini yang sudah sedikit berisi dan kurang senaman kerana sibuk dengan alam pelajaran.

Obesiti atau kegemukan, merokok, dan cara hidup yang kurang bersenam (kurang menggunakan tenaga) merupaka faktor risiko kepada penyakit jantung… Anda semua pastinya tahu bukan ? Malah lelaki lebih mudah mendapat serangan jantung berbanding perempuan.

Kurangkan makanan berlemak, banyakan sayuran dan buah-buahan, banyakkan bersenam dan jangan merokok.


Serangan jantung secara tiba-tiba ibarat bom jangka yang memusnahkan hidup sebelum ajal.

Prevention is better than cure.

Perjalanan pulang aku ke USM, selepas solat maghrib sungguh merisaukan kerana lampu jalan agak kurang di Bachok. Namun, perjalanan aku ibarat disuluhi lampu yang tanpa henti apabila kenderaan lalu-lalang menerangi jalan. Sungguhpun serangga,kumbang ketika itu agak banyak melintasi perjalanan aku, namun itulah cabaran buat mata aku apabila kepedihan dihinggapi binatang kecil itu..